WANITA
: JURUBINA MASYARAKAT CEMERLANG
SEJARAH
STATUS WANITA
Tanggal 08 Mac 2013 merupakan satu tarikh penghargaan
buat insan yang bergelar wanita kerana hari ini adalah Hari Wanita Antarabangsa
(International Women’s Day). Sejarah Hari Wanita Antarabangsa diceritakan dalam
pelbagai versi, ada yang mengatakan bahawa ianya muncul ketika zaman Revolusi
di Russia pada tahun 1917 dan ada juga yang mengatakan bahawa ianya mula
diraikan apabila Persatuan Wanita Sosialis Antarabangsa memilih tarikh ini
untuk dijadikan sebagai Hari Wanita Sedunia pada tahun 1975.
Walaupun
peristiwanya berbeza tetapi matlamatnya adalah sama iaitu memartabatkan hak
kaum wanita di muka bumi, memberi pengiktirafan dan penghargaan kepada wanita
sama ada yang berkerjaya mahupun suri rumahtangga. Pada zaman dahulu termasuklah
zaman arab Jahiliyah yakni zaman-zaman sebelum kedatangan Islam, wanita sering
kali dengan kepercayaan pembawa malapetaka, mereka ditindas tanpa sebarang
kebebasan fizikal dan spiritual. Sejarah keganasan melampau pada zaman Arab
Jahiliyah jelas terserlah dengan sifat kejam yang tertanam di jiwa para suami
dan bapa sehinggakan apabila isteri sedang mengandungkan anak perempuan, mereka
akan bersiap siaga menggali kubur biarpun bayi perempuan itu belum lahir ke
muka bumi.
Di
saat bayi itu dilahirkan, belum pun sempat si bayi membuka mata mengenal dunia,
melihat cahaya dunia, bayi perempuan itu akan ditanam secara hidup-hidup ke
dalam liang lahad yeng telah disediakan. Si bapa percaya bahawa kelahiran
seorang anak perempuan akan membawa bencana seperti akan mencemarkan nama
keluarga sehingga keluarga yang akan menanggung malu. Sebaliknya berlaku andai
anak lelaki yang dilahirkan, mereka akan berbangga dengan setiap kelahiran anak
lelaki.
Walaubagaimanapun,
kedatangan Islam menjadi penawar buat kesedihan dan penderitaan wanita. Segala
penindasan, kezaliman dan penghinaan ke atas wanita telah dihentikan. Islam
mengembalikan hak- hak wanita, segala-segalanya yang telah dirampas seperti
kedudukannya, hartanya dan maruahnya juga telah dikembalikan.
Martabat
wanita diangkat kembali dan kepentingan wanita dalam kehidupan di dunia
diiktiraf kembali oleh kaum lelaki sebagaimana Adam meminta dikurniakannya
seorang teman yakni Hawa untuk menemaninya menjalankan kehidupan sebagai manusia
di syurga jua di muka bumi.
PERANAN
WANITA ARUS MODEN
Ketahuilah bahawa disebalik raut wajah yang lembut itu,
tergalas tugasan yang sangat besar sebagai seorang wanita. Di sini suka saya
utarakan ruang utama dimana wanita banyak memainkan peranannya.
1.
Institusi
rumah tangga dan keluarga
Bagi sebuah rumahtangga dan keluarga adalah terbina dari
hubungan suami isteri dan anak. Firman Allah S.W.T :
Allah menjadikan bagi kamu isteri-isteri daripada jenis
kamu sendiri dan menjadi bagi kamu dari isteri kamu itu anak, cucu dan memberi
rezeki dari yang baik (Al-Nahl:72)
Rumahtangga merupakan asas kepada pembentukan sesebuah
masyarakat. Anggota masyarakat yang yang baik asalnya daripada keluarga yang
terdidik. Kepincangan dalam masyarakat sebahagiannya adalah berpunca daripada
keretakan keluarga.
Perlu diketahui, hidup berkeluarga bukanlah tuntutan adat semata,
tetapi amanah Allah. Bagi menghayati rumahtangga yang terjamin keharmonianya
adalah berdasarkan tiga asas utama iaitu hubungan berasaskan ketaqwaan,
pergaulan dan peribadi yang mulia serta melaksanakan tanggungjawab bersama.
Tidak dapat dinafikan, terdapat pelbagai cabaran di pihak wanita dalam
berhadapan dengan suami dan anan-anak. Maka, kesabaran adalah perlu bagi
mengelakkan perpecahan.
2.
Wanita
dan masyarakat
Tanggungjawab membangunkan masyarakat supaya menghayati
Islam menjadi tanggungjawab bersama. Begitu juga wanita menjadi sayap kiri
lelaki dalam melaksanakan amar ma’ruf nahi mungkar serta menyebarkan dakwah.
Dalam menunaikan tugasan pembinaan masyarakat, terdapat beberapa ciri penting
yang perlu ada pada setiap wanita iaitu :
a.
KeIslaman
dan keimanan yang teguh dan jelas
Penglibatan lahiriah dalam Islam adalah jelas daripada
kepercayaan yang teguh terhadap rukun iman
dan konsep hidup Islam serta yakin sepenuhnya kepada Allah swt. Dialah
pemberi rezeki dan penentu keadaan sama ada kebaikan dan keburukan.
Iman yang
hakiki membentuk keseluruhan peribadi dan hati budi wanita solehah. Kekuatan
jiwa, keikhlasan hati dan kehalusan peribadi menjadikan mereka lebih kuat
daripada batu dan besi.
b.
Berilmu
Wanita hendaklah memenuhkan jiwanya dengan ilmu pengetahuan
kerana ilmu pengetahuan sebagai alat yang boleh membina diri wanita dan
masyarakat. Beberapa tokoh cendiakawan wanita terdahulu seperti Aisyah isteri
Rasulullah saw yang mahir dalam bidang ilmu hadis, Fatimah Al-Zahra puteri
Rasulullah mahir di dalam ilmu Fiqh.
Manakala isteri Harun Ar-Rasyid, Siti
Zubaidah di bawah kebijaksanaannya, dibina empangan Ain Zubaidah di Mekah.
Kesemua tokoh-tokoh ini mencerminkan ketinggian ilmu yang dimiliki oleh para
wanita mampu menjadi bekalan yang penting untuk membangunkan masyarakat.
Berkata Maryam Jameelah :
Wanita yang buta huruf dan lesu tidak mungkin akan
dapat menghadapi pengaruh anti Islam yang mengancam anak-anak siang dan malam.
Hanya ibu yang bijak, berpelajaran dan bersemangat sahaja boleh menghadapi tugas-tugas
ini.
c.
Sentiasa
melatih rohani untuk khusyuk kepada Allah
Al-Zakirat ialah wanita yang selalu berzikir mengingati
Allah swt. Lisannya tidak banyak menceritakan keburukan orang lain, tetapi
lebih banyak menyebut yang positif dan membangun. Tetapi tidak pula membisu
dalam menentang kemungkaran dan kezaliman.
Tanda hati yang telah diresapi iman apabila dia menjadi
tenang, bening dan merendahkan diri. Hatinya khusyuk, mesra ketika mengadah
kepada Allah ketika ramai mahupin keseorangan dan sentiasa ingat bahawa
pandangan Allah tertumpu padanya.
3.
Wanita
dan Negara
Wanita berperanan ke arah pembentukan Negara Islam.
Sebagai contoh, dalam Negara yang yang mengamalkan demokrasi kuasa memilih
terletak di tangan rakyat. Maka menjadi tanggungjawab wanita menyertai sistem
politik pilihanraya serta menyedarkan anggotanya betapa penting undi rakyat
untuk menentukan ketua Negara dan sistem pemerintahannya.
Wanita tidak rela tinggal bediam diri tanpa menentang
kebatilan. Terkilan hatinya jika tidak turut serta menyertai perjuangan. Kerana
itu, Nusaibah telah mengetuai delegasi berjumpa Rasulullah saw memohon
kebenaran untuk mereka mengambil bahagian dalam jihad sebagaimana yang disertai
oleh kaum lelaki.
KESIMPULAN
Gejala
penjajahan pemikiran barat telah menular dalam kehidupan wanita hari ini
seperti menjadikan wanita sebagai alat perdagangan, hiburan dan pengiklanan. Hal
ini menyaksikan peranan wanita adalah penting dalam menghadapi arus penjajahan
hari ini.
Wanita
mestilah melihatkan kemampuan ilmu dan berfikiran tinggi dalam mempertahankan
kemurnian aqidah dan akhlak di tengah-tengah masyarakat yang penuh cabaran ini.
Sesungguhnya, tangan yang menghayun buaian juga bisa menggoncang dunia.
Dengan
penuh keinsafan dan menyedari realiti wanita hari ini, Sinergi Gerakan Mahasiswi [ SIGMA GAMIS ] bersedia
menyatakan komitmen untuk “ Merintis
Ketrampilan Holistik Wanita Muda Malaysia “ agar praktikaliti Islam
sebagai cara hidup yang menyeluruh dapat dinikmati bukan sahaja generasi Muslim
malahan penganut bukan Islam juga.
SELAMAT HARI WANITA SEDUNIA 2013!
Aqilah Mukhtar,
Pengerusi SIGMA GAMIS,
2012/2013.