Bengkel Penerangan GAMIS

Krew Penerangan GAMIS dilatih pengurusan media dan informasi

Kami Bersama-sama Rohingya

Nurul Izzah Anwar menandatangani sepanduk simbolik kebersamaan rakyat Malaysia dalam Isu Rohingya

Satira Politik Semasa GAMIS

Menampilkan seniman-seniman tanah air membacakan puisi satira mengenai isu politik semasa Malaysia

Memimpin Perjuangan

Perjuangan mestilah dipimpin dengan nilai akhlak yang tinggi...

Himpunan Aman Selamatkan Rohingya

Mengumpulkan wakil-wakil parti politik tanah air dan NGO-NGO bagi memperjuangkan nasib umat Islam Rohingya

Bersatu Demi Malaysia

Cadangan logo alternatif dari GAMIS dengan konsep merdeka rakyat, merdeka pemimpin dan bertemakan Bersatu Demi Malaysia. Logo ini adalah respon terhadap logo yang tidak professional dan tema yang tidak patriotik yang dicadangkan kerajaan Malaysia.



Showing posts with label berita. Show all posts
Showing posts with label berita. Show all posts

Sunday, 4 November 2012

PRU13: Agenda Khas Gamis Baru

Muhamad Azan Safar

Sepang, 4 Nov: Muktamar Gabungan Mahasiswa Islam SeMalaysia 2012 (Gamis) yang telah selesai semalam menjadikan PRU-13 sebagai agenda khas Gamis sesi ini.

Muktamar yang dihadiri hampir 200 orang perwakilan dari seluruh negara itu merupakan transisi kepimpinan Gamis era Akram Ikrami taib Azamudden kepada Presiden baru, Muhamad Azan Safar.

Menurut beliau, PRU-13 dan Pasca PRU-13 menjadi agenda khas Gamis bagi sesi ini kerana mahasiswa perlu memimpin massa untuk melakukan perubahan.

“Cabaran buat mahasiswa ialah memimpin massa dalam menghadapi perubahan, dan PRU-13 merupakan salah satu medan untuk perubahan”

“Sekiranya ahli Gamis mahukan Gamis berwajah baru, maka ahli Gamis juga mesti berubah menjadi baru, baik dari segi pemikiran dan juga sahsiah” tegas Muhamad Azan Safar.

Beliau yang merupakan Presiden Ikatan Studi Islam UKM (Isiukm) turut mencabar ahli Gamis, “Saya mencabar kalian supaya berani mencabar kelaziman. Kita bukan ahli gerakan yang pengikut setia tradisi generasi dahulu!”.

Ini sejajar dengan tema ucapan dasar beliau iaitu “Mahasiswa Memimpin Perubahan”. Ucapan dasar tersebut merangkumi 5 paksi utama iaitu, 1-Tabiyah Gerakan Bersifat Membina 2- Dakwah Era Baru Gamis 3- Jaringan Strategik Gamis 4- Sigma Perintis keterampilan Wanita Malaysia 5- Kepimpinan dan Budaya Kerja Profesional.

Yang menariknya, pihak Gamis memberi penghormatan kepada front mahasiswa lain iaitu Haluan-Siswa,Pkpim dan Karisma sebagai tetamu jemputan muktamar.

 Berikut Merupakan Organisasi Terkini GAMIS sesi 2012/2013


Presiden : Muhamad Azan Safar (UKM)
Timbalan Presiden : Mohd Eikhwan Bin M.Ali (UIA)

Pengerusi SIGMA : Aqilah Mukhtar (UPM)
Timbalan Pengerusi SIGMA : Nur Adiela Kamarizzaman (UIA)

Naib Presiden (Strategik & Mobilasi Massa) : Syis Abd Kadir (UM)
Naib Presiden (Jaringan Kampus) : Mohd Faiz Ismail (UPSI)

Setiausaha : M.Farid Hadhari M.Rusdi (USIM)
Timbalan setiausaha 1 : Adilah Hafizah Abd Halim (UPSI)
Timbalan setiausaha 2 : Hamiza Hani Omar (UKM)

Bendahari : M.Nazrin Bin M.Zohir (KUIS)
Timbalan Bendahari : Nur Liyana Omar (UKM)

Ketua Penerangan : Mohd Khairul Izzaz B. Ismail (UIA)
Timbalan Penerangan : Siti Rabiatul Adawiyah (UM)

Majlis Politik Nasional : Ahmad Afif Zulkipli (UKM)
Timbalan Majlis Politik Nasional : Sofwatul Aufa Bakri (UM)

Majlis Dakwah dan Kebajikan : Mohd Syakirin Bin Md Zahar (UPM)
Timbalan Majlis Dakwah dan Kebajikan : Atikah Abd.Rahman (UIA)

Majlis Tarbiyah dan Kepimpinan Nasional : Muhd Afdzal Shahabuddin (USIM)
Timbalan Majlis Tarbiyah dan kepimpinan Nasional : Siti Fatimah Rosli (UM)

Friday, 26 October 2012

Rohingya Semakin Tenat


Terkini, sejak 21 Oktober lepas, di kala muslim seluruh dunia di ambang dan sedang meraikan Hari Raya Qurban, muslim Rohingya menjadi mangsa korban tentera Mnyanmar dan penganut radikal Buddha Rakhine. Wanita-wanita dirogol, puluhan terkorban, ribuan rumah hangus, masjid-masjid dibakar, dan ratusan yang lain kini memerlukan rawatan
segera. Tragedi ini menjadikan dalam tempoh sebulan ini sahaja, 650 warga Rohingya telah terkorban, 1200 hilang dan 80000 orang hidup dalam pelarian.

Pembunuhan terancang ke atas muslim Rohingya yang dilakukan di atas basis sentimen perkauman dan agama itu berterusan sehingga kini sementelah lagi Presiden Mnyanmar, Thein Sein mendapat restu dari Amerika Syarikat. Semenjak pulang dari lawatan ke negara itu, Thein Sein bukan sahaja telah membatalkan perjanjian diplomasi kemanusiaan
dengan OIC bahkan telah menganjurkan demonstrasi bagi membantah pendirian dan sikap OIC dan PBB berkenaan isu tersebut.

Lebih malang lagi, ketika kebanyakan negara-negara OIC dan ASEAN serta NGO di peringkat antarabangsa sedang mengumpul dana dan mengusahakan bantuan kemanusiaan untuk membantu warga Rohingya, Thein Sein pula sedang sibuk untuk mendapatkan bantuan ketenteraan dari Amerika Syarikat bagi melenyapkan warga Rohingya dari bumi Burma.

Gabungan Mahasiswa Islam SeMalaysia (GAMIS) melihat isu ini sangat penting untuk diberi perhatian serius oleh semua pihak bagi segera mengatur tindakan yang lebih berkesan untuk menamatkan kekejaman yang sedang berlaku itu. Justeru, GAMIS ;

1. Menyeru kerajaan Malaysia untuk mengambil inisiatif memberi tekanan kepada Mnyanmar supaya menghentikan keganasan ke atas warga Rohingya di Arakan dan segera menghantar misi bantuan.

2. Mendesak Majlis Keselamatan PBB, serta negara-negara OIC, ASEAN dan EU untuk menghantar pasukan pengaman bagi melindungi mangsa keganasan.

3. Menggesa negara jiran Burma, khususnya Bangladesh untuk membuka dan mengiktiraf penempatan untuk pelarian Rohingya.

4. Meminta umat Islam seluruh dunia untuk bersatu-padu membantu warga Rohingya secara material dan spiritual.

GAMIS sangat berharap agar isu ini juga dapat ditamatkan segera dengan pengiktirafan kerakyatan warga Rohingya oleh pemerintah Myanmar. Dengan demikian, keamanan dan kemakmuran dapat dinikmati oleh seluruh
rakyat Myanmar.

GAMIS, Inspirasi Anak Muda!

Mohd Eikhwan bin M. Ali
Naib Presiden 1
Gabungan Mahasiswa Islam SeMalaysia (Gamis)

Monday, 24 September 2012

Mahasiswa Islam Tolak Politik Fitnah!


GOMBAK, 23 September – Pertubuhan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM) dengan jalinan solidariti Gabungan Mahasiswa Islam SeMalaysia (GAMIS), Kelab Rakan Siswa Islah Malaysia (KARISMA), Ma’ruf Club UIAM dan kumpulan We Unite For Islam (WUFI) semalam sepakat sebulat suara menyokong dan menuntut proses Pilihanraya Kampus (PRK) yang telus dan bersih bersempena dengan PRK yang berlangsung serentak di kebanyakan universiti di seluruh Malaysia 25 September ini.

Perkara tersebut dinyatakan dalam sidang media bersama wartawan malam kelmarin di Pusat Gerakan PKPIM di Greenwood, Gombak dengan diwakili oleh Fazril Salleh, Penolong Setiausaha PKPIM Pusat, Eikhwan Ali, Naib Presiden GAMIS, Amirudin Ismail, Presiden Ma’ruf Club UIAM, Mohd Saiful Mat Amin, Pengerusi WUFI UIAM.

Fazril Saleh dalam kenyataan beliau menegaskan PRK penting sebagai wahana kemasyarakatan dalam konteks alam kampus dalam melahirkan masyarakat yang bertanggungjawab dan beramanah untuk melantik kepimpinan melalui proses demokrasi.

Justeru solidariti pertubuhan mahasiswa Islam kelmarin sebulat suara menolak segala bentuk perancangan, tindakan dan percubaan sama ada oleh pihak Kementerian Pengajian Tinggi (KPT), mahupun pihak universiti dalam usaha memenangkan calon pilihan universiti atau ‘Pro-Universiti’.

“Segala tindakan songsang yang mencabuli prinsip-prinsip asas demokrasi dalam PRK adalah pencabulan terhadap hak mahasiswa dan penghinaan terhadap unversiti,” ujar Eikhwan Ali yang dalam masa yang sama mengecam pihak-pihak terbabit sebagai penderhaka terhadap negara dan bangsa.

Mohd Saiful Mat Amin ketika disoal mengenai kebanyakan calon yang ‘ditaja’ pihak tertentu berlatarbelakangkan islamik, beliau tidak menafikan memang wujudnya situasi tersebut khususnya di kampus UIAM berdasarkan maklumat-maklumat yang diperoleh demi memenangi hati para pengundi kampus yang semakin berminat dengan Islam.

Minggu lalu di UIAM digemparkan dengan penyebaran surat fitnah terhadap perlantikan Timbalan Dekan yang baru bagi Bahagian Hal Ehwal Pelajar UIAM, Datuk Mizan Hitam yang ditandatangani oleh Perdana Menteri Malaysia, Dato’ Seri Najib.

Selain itu, pelajar-pelajar di universiti berkenaan turut menerima beberapa risalah fitnah yang tercetak padanya dikeluarkan oleh WUFI, namun WUFI menafikan sekeras-kerasnya risalah tersebut dikeluarkan oleh pihak mereka.

Sunday, 16 September 2012

DESAK PEMANTAUAN KETELUSAN PRK


KUALA LUMPUR, 16 September – Enam tuntutan yang dikemukakan oleh Pro-Mahasiswa Nasional iaitu penetapan tarikh pilihanraya kampus, mahasiswa terlibat dengan pengurusan pilihanraya, pemantauan pilihanraya kampus, kebebasan berkempen, sistem pengundian yang telus dan pendidikan kepada calon.

Demikian menurut Pengerusi Pro-Mahasiswa Nasional, Edikoup Lakip Sediyanto dalam sidang media semalam sempena Perarakan Mahasiswa Nasional 2012 : Merdekakan Pilihanraya Kampus yang dianjurkan oleh gabungan front-front mahasiswa seluruh Malaysia yang pada asalnya dirancang di Dataran Merdeka.

Beliau turut mempersoalkan sikap campur tangan dan manipulasi pihak kerajaan Barisan Nasional terhadap pilihanraya kampus-kampus tempatan untuk memenangkan calon yang berpihak kepada kerajaan, yang diistilahkan beliau sebagai konspirasi Operasi Tawan 20/20 Kampus (Ops 2020).

Dalam kenyataan beliau, antara ‘jentera’ kerajaan yang digunakan dalam konspirasi Ops 2020 termasuklah Biro Tatanegara (BTN), Polis Diraja Malaysia PDRM) dan Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) itu sendiri.

“Bermula dari dahulu hingga sekarang, banyak sangat peristiwa yang merisaukan mahasiswa, kita tidak tahu sistem keadilan kampus-kampus ini bagaimana? Kita nak ada pemantau yang boleh memberikan penarafan tahap ketelusan pilihanraya kampus,” ujar Edikoup kepada media.

Perarakan Mahasiswa Nasional semalam dihadiri lebih 800 mahasiswa dari seluruh negara, yang berarak menuju ke Kompleks Beli-Belah Sogo setelah dihalang oleh pasukan polis dari memasuki Dataran Merdeka. Perarakan diselangi dengan sudut pidato oleh pimpinan-pimpinan mahasiswa dari pelbagai front, di samping nyanyian lagu kebangsaan, ikrar dan pengibaran Jalur Gemilang sebagai simbol patriotik mahasiswa sempena Hari Malaysia 16 September.

MAHASISWA IKRAR TOLAK MANIPULASI


KUALA LUMPUR, 16 September – Lebih 800 mahasiswa dari seluruh pelusuk Malaysia berhimpun dan berarak di jalan menuju ke Dataran Merdeka bagi menunjukkan solidariti mahasiswa terhadap pilihanraya kampus yang bersih dan telus di samping menunjukkan bantahan terhadap campur tangan pihak kerajaan dalam isu pilihanraya kampus.

Himpunan ini dianjurkan secara bersama oleh Gabungan Mahasiswa Islam SeMalaysia (GAMIS), Solidariti Mahasiswa Malaysia (SMM), Pro-Mahasiswa Nasional (Pro-MN), Majlis Perwakilan Pelajar Nasional (MPPN), Inspirasi Anak Muda Malaysia (Inspirasi), Aksi Mahasiswa Peduli, DEMA, Legasi Mahasiswa Progresif dan front-front lain.

Perarakan bermula pada pukul 2.30 petang di perkarangan Masjid Jamek, seterusnya berarak melalui Jalan Tun Perak, merentasi Jalan Raja Laut dan berhenti di perkarangan Kompleks Sogo. Di Sogo, beberapa pimpinan mahasiswa dari pelbagai front menyampaikan pidato antaranya Pengerusi Pro Mahasiswa Nasional, Edikoup Lakip Sediyanto, Pengerusi SMM, Safwan Anang Talib, Presiden GAMIS, Akram Ikrami, Pengerusi SIGMA, Rohayu Rusli dan beberapa pimpinan mahasiswa lain.

Safwan Anang dalam ucapan beliau menegaskan walaupun memorandum bantahan telah dihantar kepada Kementerian Pengajian Tinggi dan Hal Ehwal Pelajar di beberapa kampus, namun tuntutan-tuntutan yang dihantar tidak langsung diendahkan bahkan dibakul sampahkan.

Dalam masa yang sama, Naib Presiden GAMIS Eikhwan Ali memberi amaran kepada Perdana Menteri Malaysia, Dato’ Seri Najib Abdul Razak supaya jangan menyakiti hati rakyat jika tidak mampu memuaskan hati rakyat atau jika tidak, kerajaan sendiri akan ditumbangkan oleh rakyat.

“Kita tidak beriman kepada demokrasi, kita tidak beriman kepada pengundian (tidak), tetapi kita beriman kepada keadilan yang dibawa oleh Islam. Apa sahaja agama, apa sahaja kaum, Islam meletakkan keadilan untuk semua,” ujar Presiden GAMIS, Akram Ikrami juga dalam ucapan beliau.

Perarakan diteruskan pada pukul 3.30 petang menuju ke Dataran Merdeka melalui Jalan Tuanku Abdul Rahman. Di Dataran Merdeka, pihak polis menyekat laluan masuk ke dataran dan meminta supaya perhimpunan disuraikan secepat mungkin.

Himpunan berakhir pada pukul 4 petang dengan laungan ikrar dan lagu Negaraku oleh peserta himpunan yang hadir. Antara kandungan ikrar mahasiswa ialah memperjuangkan hak keadilan dan kebebasan kepada seluruh lapisan masyarakat di universiti, menolak sebarang tindakan memanipulasi mahasiswa, dan mengutamakan kebajikan mahasiswa.

(lagi gambar)
























Sunday, 12 August 2012

Rohingya: "We Kill Them Because They Are Muslims!"


KUALA LUMPUR: "Kami membunuh mereka (Rohingya) tidak lain tidak bukan kerana mereka orang Islam," demikian wakil Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM) Cikgu Azmi Abdul Hamid memetik kata-kata salah seorang pemimpin Buddha Myanmar sebagai asbab utama penghapusan etnik Rohingya hari ini.

Dalam pidato beliau sempena Himpunan Keamanan Umat Islam Rohingya anjuran GAMIS baru-baru ini, beliau menyifatkan Arakan sebagai Under Siege yang diistilahkan beliau sebagai dikepung dari luar dan dalam dari menerima apa-apa bantuan dan perlindungan.

"Jikalau hari ini Gaza diserang habis-habisan (oleh Zionis) dari luar, maka hari ini Arakan diserang habis-habisan dari dalam. Rohingya will be wiped out completely!" tegas beliau dalam pidatonya di hadapan mahasiswa-mahasiswi yang hadir.


"Semenjak Muslim Rohingya ditindas berpuluh-puluh tahun yang lalu, mereka tidak dapat makan apa-apa kecuali terpaksa makan batang pisang. Hari ini mereka ditindas lebih teruk, mereka hanya makan getah! Mereka ini hidup pun tidak, mati pun tidak," ujar beliau.

Beliau turut sama melahirkan rasa kekecewaan terhadap pemimpin-pemimpin kerajaan Malaysia yang tidak sedikit pun mengambil inisiatif untuk membantu penduduk Rohingya walaupun Malaysia merupakan negara jiran. Beliau memaklumkan telah menghantar surat desakan kepada Perdana Menteri Malaysia, Timbalan Perdana Menteri, Menteri Luar Negeri dan Menteri Pertahanan agar diambil tindakan terhadap kekejaman yang berlaku namun sedikit pun tiada respon yang positif.

"Baru-baru ini YB Kamarudin Jaafar (Ahli Parlimen PAS) mengusulkan (isu kekejaman Rohingya) di Parlimen, ditolak oleh Tan Sri Pandikar Amin mengatakan usul tidak relevan," tambah beliau menambah rasa kekecewaannya terhadap sikap remeh segelintir kerajaan terhadap sensitiviti umat Islam.

Beliau memberi jaminan akan tetap melancarkan Flotilla Bantuan Kemanusiaan ke Myanmar untuk disalurkan kepada penduduk Rohingya tidak lama lagi, dengan memaklumkan penglibatan lebih 70 wakil antarabangsa dari seluruh dunia dan lebih 50 NGO serta turut akan menawarkan 5 tempat kepada mahasiswa untuk bersama-sama ekspidisi keamanan tersebut. Pidato beliau disambut dengan laungan takbir yang kuat dari hadirin.

__________________________

Penerangan GAMIS

Divide & Rule Penyumbang Kekejaman Rakhine


KUALA LUMPUR: Dasar pecah & perintah atau istilah baratnya divide & rule yang berlaku sekian lama yang diperkenalkan oleh penjajah Inggeris bagi memecahkan wilayah umat Islam adalah antara punca utama berlakunya penindasan kejam terhadap umat Islam Rohingya di Arakan sehingga ke hari ini.

Demikian pidato yang disampaikan oleh Professor Dr. Kamaruzzaman bin Yusof, pensyarah di Institut Kajian Rantau Asia Barat di hadapan lebih 200 mahasiswa-mahasiswi semasa Himpunan Keamanan Selamatkan Umat Islam Rohingya yang dianjurkan GAMIS baru-baru ini.

Beliau dalam pidatonya memperincikan latar belakang sejarah bagaimana berlakunya pergaduhan yang dicetuskan oleh etnik Rakhine terhadap etnik muslim Rohingya semenjak hampir 80 tahun yang lalu yang membawa kepada pembunuhan beramai-ramai umat Islam Rohingya di Arakan sehingga ke hari ini.

"Tragedi yang berlaku hari ini (terhadap muslim Rohingya) adalah strategi negara-negara tertentu di dunia ini yang sengaja mencipta polemik untuk menghapus dan mengusir kelompok-kelompok tertentu yang tidak disukai pemerintah negara tersebut, demi kepentingan tertentu mereka," kata beliau.

Dalam pidato beliau menegaskan kepada seluruh mahasiswa yang hadir agar menjadi agen penerangan kepada masyarakat tentang isu sebenar di sebalik kekejaman yang berlaku di Myanmar dengan memanfaatkan media baru yang ada seperti laman sosial Facebook dan Twitter.

Turut sama berucap dalam himpunan tersebut ialah Nurul Izzah Anwar mewakili PKR, Kamaruzzaman Muhammad mewakili PAS, Rashid Roslan sebagai Presiden Union of World Rohingya Organization dan Cikgu Azmi Abdul Hamid mewakili NGO bertindak iaitu Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM). Wakil UMNO dan ILMU tidak tampil hadir dalam himpunan solidariti tersebut.

Thursday, 9 August 2012

Misi Dakwah Gamis ke Sabah



SABAH (JULAI 2012) : Rombongan pimpinan Gabungan Mahasiswa Islam SeMalaysia (GAMIS) yang terdiri daripada NAIB PRESIDEN 2 GAMIS,BENDAHARI GAMIS,PENGERUSI MPN,PENGERUSI SIGMA DAN TIMBALAN PENGERUSI MTKN ke  negeri dibawah bayu  selama seminggu telah dijalankan dengan jayanya pada 10 hingga 15 Julai lalu..Pada masa yang sama,menjalankan aktiviti dakwah di pedalaman  di negeri bawah bayu,Sabah. Rombongan ini juga bersama-sama dengan sekumpulan Aktivis Dakwah iaitu An-Nasru Team dan juga bekerjasama dengan Persatuan Siswazah Sabah Serta Kelab Remaja Ukhuwwah yang sentiasa bergerak bagi menjayakan agenda misi dakwah dinegeri Sabah.Pada masa yang sama melahirkan pelapis-pelapis pejuang islam di SABAH.
                                                                Bersama Aktivis Dakwah An - Nasru Team
Pertemuan pertama diadakan di sekitar kawasan bandar Kota Kinabalu bersama-sama adik-adik pelajar Sekolah Agama Al- Hafiz Bandar Sierra dengan memberikan sedikit kata-kata motivasi oleh Pimpinan Gamis.Pada sebelah malam pula,Forum  pimpinan Gamis dan Sigma bersama dengan adik-adik Sekolah Menengah Tamparuli . Pelbagai perkara dan permasalahan serta anjakan potensi diri kepada adik-adik SMK Tamparuli yang dikongsikan bersama dalam pertemuan tersebut khususnya berkaitan isu agama,sosial dan perkongsian di alam Mahasiswa.
Kehangatan suasana dakwah khususnya di Sabah telah membuka ruang yang cukup baik untuk gerak kerja dakwah yang masih terbentang luas buat pendakwah islam walau dimana tempat sekalipon. Negeri bawah bayu masih memerlukan penggerak dakwah yang menggelarkan dirinya pejuang menegakkan panji-panji islam.Seterusnya perjalanan aktiviti dakwah telah bermula ke lokasi pertama iaitu Kampung Paus,Ranau.Dalam perjalanan tersebut pelbagai cabaran dan benda baru telah kami redahi.Disetiap perjalanan 2 kilometer terpampangnya gereja @ church yang didirikan oleh mubaligh kristian yang sentiasa hadir dan bersama  dihati rakyat SABAH.Pada masa yang sama juga,dalam perjalanan laluan ke destinasi yang kami tujui,kami telah terjumpa satu perkataan  di sebuah papan yang mengatakan “SINALAU BAKAS ……500 meter dihadapan”,terdetik di pemikiran kami kemungkinan ada tempat makanan untuk singgah bagi merehatkan kami yang masih mengambil masa perjalanan selama 7 jam ke sana.Rupa-rupanya apabila ditanya daripada salah seorang penggerak Aktivis Dakwah An-Nasru Team,SINALAU BAKAS membawa maksud BABI BAKAR @ KHINZIR BAKAR.Di sepanjang perjalanan tersebut,banyak gerai-gerai SINALAU BAKAS dibuka.
Gereja dan Kristianisasi berleluasa disabah.Setiap 2 kilometer perjalanan


JAM 3 petang,Penggerak-penggerak dakwah akan memulakan Akiviti dakwah di Ranau.setelah sampai dari perjalanan yang mengambil banyak cabaran semasa dalam perjalanan kami.Kemudian penggerak-penggerak dakwah akan dibawa seorang  ustaz yang berada dikampung tersebut selama 5 tahun menyampaikan serta member pengisian islam kepada masyarakat kampong tersebut.Kami telah dibawa ke sebuah kampong yang jauh perjalanan dari jalan yang bertar sepanjang 100 km jauh di pendalaman.Setelah sampai disana kunjungan kami telah disambut dengan empat keluarga muslim ,sehingga menyebabkan pihak kami terasa terharu keatas teruja nya mereka apabila diluahkan perasaan penduduk tersebut yang mana inilah pertama kali pendakwah islam masuk ke ke Kampung Paus,Ranau yang jauh di pendalaman tersebut.Pelbagai perkongsian agama telah kami berdiskusi daripada sekecil-kecil perkara sehinggalah sebesar-besar perkara.Pada masa yang sama juga pengagihan makanan telah diberikan kepada penduduk Kg Paus.Dan sebelum kami bertolak ke tempat lain kami telah dimaklumkan oleh penduduk kampong tersebut yang mana mahu mewakafkan sebidang tanah untuk diwakafkan buat surau.Jam 6 Petang ,Kami bertolak keluar dari pendalaman kampung tersebut dan bermalam di Pekan Ranau,pada masa yang sama pengisian kepada penduduk pekan Ranau serta pengagihan makanan kepada penduduk yang memerlukan sahaja.

                            Pengagihan makanan kepada penduduk        SIGMA bersama adikadik Kg. Paus

                            TAPAK WAKAF PEMBINAAN SURAU              Suasana dikampung
Pada keesokan harinya,kami bertolak awal pagi untuk bergerak ke destinasi dakwah seterusnya iaitu di Pekan Pitas dengan melalui perjalanan yang sama,dan kami telah singgah sebentar di kaki bukit Gunung Kinabalu bagi menikmati keindahan alam ciptaan Allah S.W.T.Semasa berada dikaki bukit tersebut,sedikit usrah telah dijalankan dikaki Gunung Kinabalu yang disampaikan oleh Naib Presiden 2 GAMIS : Ustaz Muhammad Najmi Bin Ahmad dan Juga Pengerusi Sinergi Gerakan Mahasiswi (SIGMA) :Ustazah Rohayu Binti Rusli. Antara usrah yang disampaikan dalam  30 minit itu, banyak member makna kepada kami semua untuk meneruskan gerak kerja dakwah seterusnya dan memberi semangat kepada kami dikalangan group dakwah serta menikmati keindahan alam flora dan fauna yang semulajadi dicipta oleh Allah S.W.T dikaki bukit Gunung Kinabalu.Semoga manfaat tersebut menyuburkan lagi gerak kerja dakwah kami seterusnya.  
Selepas selesai USRAH dikaki bukit GUNUNG KINABALU kami gagahkan kembali bergerak terus untuk meneruskan aktiviti dakwah kami yang seterusnya ke Pekan Pitas yang mengambil masa 6 jam perjalanan.Dalam perjalanan tersebut kami terpaksa melalui jalan yang tidak berturap dan kalau nak katakan kereta biasa seperti proton,kancil dan sebagainya boleh mengalami kerosakan.kerana dari segi permukaan jalan yang tidak rata.

Alhamdulillah perjalanan ke Pekan Pitas telah sampai,disini Gamis telah dtugaskan untuk berprogram bersama adik-adik di 2 buah sekolah menengah yang berjauhan antara satu sama lain.Disamping itu,disebelah malam pula  Gamis telah memberi pengisian kepada penduduk masyarakat setempat,penyampaian tersebut disampaikan oleh NAIB PRESIDEN 2 GAMIS.Dan juga pertemuan bersama penduduk dikawasan Kampung dibawah jajahan Pekan PITAS.Pada hari yang ke-5,Gamis bersama aktivis dakwah yang lain bergerak bersama terus ke destinasi yang ke tiga iaitu Kota Belud.Ziarah dan penyerahan sedikit sumbangan kepada penduduk Kampung Kawang-Kawang Rosok,disekitar Kota Belud Sabah.Ucapan alu-aluan oleh Naib Presiden 2 GAMIS kepada penduduk kampung serta memberi semangat kepada ibu bapa agar kekal teguh bersama islam .seterusnya penyerahan sumbangan ikhlas barangan kepada penduduk kampung tersebut.Pengerusi SIGMA telah bersama ibu-ibu disana dengan menyelami masalah dan rintihan penduduk disitu hadapi,menyebabkan kesukaran dan sebak dihati apabila kita lihat dihadapan kita sendiri setiap luahan dan rintihan yang ingin disampaikan. 
                                         Ustaz Najmi                 Bersama Penduduk Kampung
Hari Ke-6,pertemuan Mahabbah GAMIS PUSAT bersama GAMIS SABAH dan juga wakil setiap kampus dinegeri sabah yang bertempat disekitar Bandar Kota Kinabalu.Pertemuan ini telah berlangsung selama satu hari yang membincangkan tentang hala tuju GAMIS Sabah dan gerak kerja yang akan dilaksanakan kelak.Serta penjelasan mengenai isu yang berlaku disemenanjung dan jugak portfolio sebagai GAMIS Negeri.Diharapakan segala perbincangan dan resolusi yang dibincangkan bersama selama satu hari tidak disia-siakan begitu sahaja.Semoga dengan gerak kerja yang bersama ini dapat menyatu kembali hubungan dan gerak kerja GAMIS.Pertemuan ini ,di akhiri dengan satu resolusi yang telah diberi mandat kepada Gamis negeri untuk dilaksanakan.Seterusnya,sebelah malam,pertemuan SIGMA Pusat bersama dengan Sigma Negeri Sabah yang membincangkan gerak kerja dan perlaksanaan SIGMA disabah agar sayap mahasiswi terus menggempur medan mahasiswi.

Alhamdulillah ,Selesai sudah rombongan GAMIS PUSAT ke negeri bawah bayu bagi melaksanakan segala objektif dan misi yang ingin dicapai semasa keberadaan kami disana.Diharapkan sahabat Gamis Sabah terus komited dan bergerak dengan lebih laju dan tuntas setelah mendengar perkongsian dan penjelasan serta segala masalah yang dibelenggu kepada Gamis Sabah sebelum ini





Wednesday, 8 August 2012

Lawatan Kerja Wakil GAMIS ke Mesir


Kaherah (April 2012) : Kunjungan Gabungan Mahasiswa Islam SeMalaysia (GAMIS) ke Bumi ‘Anbiya Mesir selama seminggu telah dijalankan dengan jayanya pada 21 hingga 27 April lalu. Delegasi itu juga adalah bertitik tolak daripada lawatan rasmi serta penyampaian sumbangan kewangan daripada Yang Berhormat Dr. Hajah Halimah Ali, selaku Exco Kerajaan Negeri Selangor kepada Badan Kebajikan Anak Selangor Mesir (BKASM). GAMIS telah diwakili oleh Presiden iaitu saudara Akram Ikrami Bin Taib Azamudden yang juga Pengerusi Majlis Permuafakatan Mahasiswa Selangor (MPMS) suatu badan yang diwujudkan di bawah portfolio Jawatankuasa Pendidikan Tinggi Kerajaan Negeri Selangor.  Sepanjang keberadaan di sana, delegasi dibantu oleh pihak pimpinan BKASM serta Pegawai Hal Ehwal Pelajar Selangor Mesir.

Bersama Pimpinan Badan Kebajikan Anak Selangor Mesir
(BKSAM)
Pertemuan pertama diadakan dengan seluruh barisan kepimpinan BKASM di Musolla Darul Ehsan, Rumah Selangor. Pelbagai perkara dan permasalahan yang dikongsikan bersama dalam pertemuan tersebut khususnya berkaitan kebajikan dan akademik mahasiswa. GAMIS dan MPMS mengambil kesempatan tersebut dengan mewujudkan perhubungan serta jaringan diantara anak Selangor Mesir dengan kerajaan negeri Selangor. Saudara Akram Ikrami juga sempat memberikan kuliah subuh di musolla tersebut dengan dihadiri semua penghuni rumah Selangor.



Kehangatan suasana revolusi “arab spring” khusunya di Mesir telah membuka ruang yang cukup baik untuk gerakan Ikhwanul Muslimin (IM) melalui Parti Kesejahteraan  dan Keadilan (FJP) dalam Pilihanraya membentuk Kerajaan baru Mesir. Delegasi tersebut juga telah membuat pertemuaan rasmi dengan Naib Mursyidul Am 2 Syeikh Jumu’ah di Pejabat Agung Ikhwanul Muslimin , Jabal Mukattom. Walaupun tidak dapat bertemu dengan Syeikh Muhammad Badi’ ,Mursyidul Am IM, Ramah mesra selama hampir satu jam itu telah dimanfaatkan dengan perkongsian isu semasa dunia dan kata-kata nasihat daripada tokoh pemimpin gerakan berpengaruh itu. 

Antara amanat penting yang ditinggalkan oleh Syeikh Jumu’ah kepada mahasiswa dan anak muda ialah;
1) Menjaga perhubungan dengan Allah SWT.
2) Menjadi mahasiswa yang cemerlang dalam akademik kerana kita tidak mahu membina sebuah negara dikalangan mereka yang gagal.
3) Mengukuhkan ukhwah sesama umat Islam.
4) Meletakkan asas dan memperkasa persoalan tarbiyah.

Naib Mursyidul Am Ikhwanul Muslimin (tengah)
Syeikh Jumu'ah

Perkongsian berkenaan dengan isu semasa mahasiswa Malaysia serta perkongsian idea bersama  Persatuan Pelajar-pelajar Perubatan Malaysia-Mesir (PERUBATAN) di Sayyidah Zainab juga berlangsung dengan baik. GAMIS juga diminta untuk turut sama meneliti permasalahan yang berlaku kepada pelajar perubatan di Mesir antaranya berkenaan lambakan palajar-pelajar yang menjadi mangsa agensi – agensi yang menguruskan penghantaran serta kemasukan pelajar ke Mesir.



Saudara Akram Ikrami juga turut berkelapangan bersama mahasiswa- mahasiswa anak Kelantan dalam sesi Kuliah Subuh di Wisma Kelantan Darul Naim. Di samping itu, turut dimanfaatkan sepenuhnya  perkongsian mesra bersama pimpinan anak Kelantan serta melawati rumah penginapan pelajar Kelantan yang masih baru siap hasil sumbangan Kerajaan Negeri Kelantan.

Presiden menyampaikan ucapan

Program “Night Of Change” (NOC) sempena musim peperiksaan anjuran Pelajar Perubatan Cawangan Mansurah (PCM) juga telah menjemput saudara Akram Ikrami dan YB Dr.Halimah Ali untuk menyampaikan ceramah dalam majlis tersebut. Dalam majlis yang dihadiri oleh 250 orang pelajar perubatan daripada 3 cawangan itu, saudara Akram telah diminta menyentuh berkenaan tajuk “ Muslim Front Liner”. Antara yang ditekankan dalam ucapan 30 minit itu, adalah tentang tanggungjawab serta amanah yang dipikul oleh pelajar perubatan dalam membawa gelaran Doktor perubatan yang didasari fikrah Islamiah. Selain itu, turut dibawa juga aspek kepimpinan Islam yang menjadi tonggak pembinaan serta pengukuhan sebuah tamadun Islam seterusnya mnyelesaikan segala permasalahan dunia hari ini. Yb Dr halimah juga telah memberikan motivasi yang cukup berkesan disamping perkongsian pengalaman menarik bertepatan dengan beliau yang juga berlatar belakangkan bidang perubatan.  

Presiden GAMIS juga tidak melepaskan peluang mengadakan perbincangan santai bersama barisan Badan Pengurus Persekutuan Melayu Republik Arab Mesir (PMRAM) yang diadakan di Pejabat PMRAM di Masakin Osman, Hayyu Sabi’e. Hadir bersama dalam pertemuan tersebut ialah Presiden PMRAM sendiri saudara Abdul Aziz bin Ali dan beberapa orang Badan Pengurus PMRAM yang lain. Pertemuan yang berlangsung hampir 2 jam itu telah digunakan sebaiknya dengan perkongsian situasi semasa mahasiswa Malaysia dan cadangan tambah baik daripada pihak PMRAM.  

Selain itu, PMRAM juga turut melahirkan beberapa perkara untuk turut diambil jasa baik GAMIS berkenaan masalah serta pencabulan hak mahasiswa di sana:


1) Permasalahan berkenaan Imtihan Qabul (ujian kelayakan) bagi kemasukan ke Universiti Al-Azhar.
2) Pemusatan pelajar – pelajar di hanya satu muhafazah (daerah) iaitu kaherah berbanding sebelum ini di serata muhafazah di Mesir.
3) Isu pencabulan hak keatas tanah seluas 2212 meter persegi Asrama Rumah Melayu (ARMA) sejak 20  tahun lalu.
4) Lambakan agensi-agensi yang tidak bertanggungjawab dalam menguruskan penghantaran pelajar-pelajar ke Mesir khusunya pelajar perubatan.

Presiden PMRAM menyampaikan cenderamata kenangan
Segala permasalahan yang timbul itu juga turut dibangkitkan dalam pertemuan sejam bersama pihak Kedutaan Malaysia Mesir dengan Duta Malaysia sendiri terlibat di dalam perbincangn tersebut. Turut hadir dalam pertemuan itu juga adalah pegawai Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) dan pegawai lain yang dihantar bertugas di sana. Pelbagai perkara yang dilontarkan dijelaskan oleh Duta dan Pegawai-pegawai yang terlibat. Turut diberikan juga cadangan –cadangan penyelesaian yang diambil perhatian oleh pihak Kedutaan.


Selain itu, Presiden GAMIS juga sempat menziarahi pimpinan Dewan Perwakilan Mahasiswa (DPM) cawangan Shoubra serta berpeluang menyampaikan kuliah subuh di Markaz DPM Shoubra dengan dihadiri hampir 60 orang mahasiswa yang mengikuti bidang pengajian Qiraat dan Tahfiz. Turut dibincangkan juga soal perubahan serta pembekuan mu’adalah (MOU) diantara Institut Pengajian Tinggi (IPT) di Malaysia dengan Universiti Al-Azhar cawangan Shoubra yang memeberi kesan pengurangan pelajar ke sana.

Majlis Motivasi dan penyerahan sumbangan dana oleh YB Dr Halimah Ali juga turut diadakan di Dataran Haiyul Asyir kepada BKSAM dengan dihadiri hampir 300 orang mahasiswa dari pelbagai negeri. Saudara Akram Ikrami turut sama diberikan ruang untuk menyapaikan ucapan serta perkongsian di dalam majlis tersebut dengan diakhiri simbolik penyerahan dana oleh Yb Dr Halimah sendiri.

GAMIS komited untuk membantu PMRAM dalam membawa segala permasalahan yang dihadapi oleh mahasiswa Malaysia di Mesir kepada pihak yang berwajib di Malaysia khusunya Kementerian Pengajian Tinggi supaya ianya dapat diselesaikan sebaik mungkin. Ini bagi menjamin kebajikan serta hak mahasiswa disana dipelihara. 


Tuesday, 7 August 2012

Ziarah Mahabbah : GAMIS bersama Dr. Zulkifli Al-Bakri

Akhir bulan Julai kali ini ditutup dengan pertemuan yang amat bermakna buat pimpinan Gabungan Mahasiswa Islam Se-Malaysia (GAMIS) Pusat. Setelah berbincang akhirnya tokoh ilmuan terkenal Malaysia, Dr. Zulkifli Mohamad Al-Bakri sudi untuk menerima lawatan daripada pihak GAMIS dalam menjayakan misi menghubungkan mahasiswa Islam dengan barisan tokoh dan ilmuan. 

Pertemuan itu dihadiri seramai 5 orang pimpinan GAMIS pusat serta beberapa anak didik Dr. Zulkifli Al-Bakri yang kebanyakannya mahasiswa daripada USIM. Pertemuan yang berlangsung selama hampir satu jam dimanfaatkan untuk mendapat beberapa noktah penting seputar isu yang melibatkan fiqh siasi dan isu-isu fiqh khususnya di Malaysia.

Monday, 30 July 2012

Sumbangan Untuk Saudara Rohingya

Hati umat Islam kembali luka, selepas isu kekejaman terhadap rakyat Syria, kini masyarakat Islam Rohingya menjadi mangsa kekejaman. 


Bukan sekadar harta benda dimusnahkan, malah mereka dibunuh dengan begitu kejam. Peristiwa tersebut menggambarkan proses 'pembersihan' etnik yang sangat dahsyat berlaku ke atas saudara kita Rohingya.


Seperti yang telah dimaklumkan sebelum ini, pihak Gabungan Mahasiswa Islam SeMalaysia (Gamis) yang diwakili oleh Akram Ikrami Taib Azamudden, Presiden Gamis telah menghadiri persidangan meja bulat "Rethinking Student Movement Reform".


Persidangan tersebut yang juga dihadiri oleh Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia dan Haluan-Siswa telah sepakat untuk memperjuangkan isu-isu umat Islam sama ada di peringkat nasional mahupun antarabangsa, yang terdekat isu Rohingya.


GAMIS menyeru semua umat Islam khususnya mahasiswa untuk bersama memperjuangkan nasib umat Islam di seluruh dunia yang ditindas. Tambahan pula pada bulan Ramadhan, usaha ini perlu dipergiatkan sesuai dengan tema bulan perjuangan.


Di samping itu, golongan mahasiswa perlu menjadi agen penyebaran maklumat, baik maklumat berbentuk digital, cetak ataupun lisan. 


Justerus, GAMIS menyeru kepada semua masyarakat untuk menghulurkan bantuan bagi membantu masyarakat Islam Rohingya. 




Berikut adalah badan yang membuat kutipan


MAPIM -


Akaun Sekretariat Himpunan Ulama Rantau Asia (MAPIM)
BIMB bernombor 12047010037282