Akhir bulan Julai kali ini ditutup dengan
pertemuan yang amat bermakna buat pimpinan Gabungan Mahasiswa Islam Se-Malaysia
(GAMIS) Pusat. Setelah berbincang akhirnya tokoh ilmuan terkenal Malaysia, Dr.
Zulkifli Mohamad Al-Bakri sudi untuk menerima lawatan daripada pihak GAMIS
dalam menjayakan misi menghubungkan mahasiswa Islam dengan barisan tokoh dan
ilmuan.
Pertemuan itu dihadiri seramai 5 orang
pimpinan GAMIS pusat serta beberapa anak didik Dr. Zulkifli Al-Bakri yang
kebanyakannya mahasiswa daripada USIM. Pertemuan yang berlangsung selama hampir
satu jam dimanfaatkan untuk mendapat beberapa noktah penting seputar isu yang
melibatkan fiqh siasi dan isu-isu fiqh khususnya di Malaysia.
Dengan sifat yang begitu merendah diri, Dr.
Zulkifli amat mengalu-alukan kedatangan kami ke pejabat baru beliau. Bahkan,
beliau mencadangkan kepada peringkat GAMIS agar sentiasa bertemu dengan
tokoh-tokoh ilmuan untuk mendapat manfaat daripada mereka dalam menyelesaikan
isu-isu ummat yang berlaku mutakhir ini.
Pertemuan tersebut dimulai dengan taujihat
motivasi daripada Dr. Zulkifli dengan mengambil kata-kata hikmah mantan
timbalan rektor Universiti Madinah kepada mahasiswa, bahawa seharusnya
mahasiswa ini menjadi pemimpin dan bukan hanya sekadar dipimpin.
Memberikan gambaran kepada mahasiswa bahawa ada tanggungjawab yang perlu digalas
oleh mahasiswa untuk membela ummat kini dan masa hadapan. Namun bukan hanya
mahasiswa yang punya semangat (hamasah) yang kuat, akan tetapi perlu disulami
dengan hikmah kebijaksanaan yang cerdas.
“Saya tidak kagum dengan mahasiswa yang hanya
bersemangat. Tapi pemuda yang disulami ilmu, ditambah dengan akhlak yang
tinggi, dan pemikiran yang cukup besar, dan memberikan makna bahawa inilah
Islam yang sebenar yang ingin dibawa”.
“Kita lihat Solahuddin Al-Ayyubi, Muhammad
Al-Fateh, mereka ini bukan sahaja ada semangat, akan tetapi ada hikmah
kebijaksanaan yang cukup luar biasa. Untuk menjadi seperti ini perlu kepada
sejumlah pengorbanan. Mahasiswa perlu bijaksana, punya akal yang besar, dada
yang lapang, akhlak yang luhur lagi mulia.”, tutur Dr. Zulkifli kepada kami
selaku pimpinan mahasiswa, membawa satu pencerahan yang mampu memaknakan
gerakan mahasiswa arus perdana.
Mahasiswa & Gerakan Islam: beberapa
noktah penting
“antum a’lamu biumuri dunyakum, kamu lebih
mengetahui dunia kemahasiswaan kamu”. Dr. Zul memuqadimahkan jawapan berkenaan
peranan yang boleh mahasiswa mainkan dalam sesebuah gerakan. Tambahnya lagi,
perkara pertama mahasiswa perlu membaca dan memahami maksud sebenar gerakan
Islam. Dengan mengambil kira konsep
‘bersatu terhadap perkara yang disepakati, dan berlapang dada terhadap perkara
khilaf’, ia akan menentukan corak kita menilai yang mana satu musuh dan yang
mana satu krisis kecil yang perlu diabaikan. Kedua, banyakkan bertemu
tokoh-tokoh yang pelbagai, dengan melihat pandangan serta halatuju mereka.
Setiap dari kita ialah pendakwah, bukan hakim sepertimana kata Syeikh Hassan
Hudaibi. Maka, seharusnya kita memahami prinsip dakwah yang tegas, akan tetapi
perlu memperhalusi asalib (bentuk) dakwah yang sebahagiannya bersifat ijtihadi,
dan boleh dilihat keberkesanannya melalui kefahaman, pengalaman dan tajribah
yang konsisten.
Anjurkan
Wacana, Simpulkan Tindakan
Di antara
perkara yang amat dititik beratkan ialah memperkasakan siri-siri wacana ilmiah
yang memberikan pencerahan terhadap kekaburan islam masa kini. Namun, wacana
bukan dalam bentuk yang makro seperti perbincangan isu hudud, akan tetapi
menjurus ke arah yang lebih serius. Seperti contoh, anjurkan wacana berkenaan
isu kecurian, isu buang bayi, jual dadah, dan sebagainya yang lebih berfokus
sekaligus mendatangkan sarana dan solusi yang tepat. Oleh sebab itu, setiap isu
yang ingin dibawa perlu masak, dan keluarkan outcome yang jelas.
“Ini lah
perkara yang pernah ditekankan oleh Guru kami, Dr. Wahbah Az-Zuhaili. Kata
beliau, di antara cabaran yang belum dapat ummat islam laksanakan ialah membuat
taqnin. Tahap ini belum diperhalusi dengan elok. Sewajarnya, mahasiswa
yang berjiwa besar perlu datangkan dengan satu perundangan (taqnin),
sepertimana yang pernah dikeluarkan oleh Dr. Muhammad Al-Ghazzali dengan Ahwal
Syakhsiahnya dan Abdul Qader Audah dengan tasyri’ jinaie.
Perjuangkan
Isu Dalam, seterusnya Luar.
Isu dalam
yang dimaksudkan ialah berkenaan dengan sistem pendidikan mahasiswa, dan
menghidupkan ruh islami di dalam universiti. Ini perkara yang perlu diambil
berat oleh mahasiswa. Kita tidak mahu melahirkan mahasiswa yang ber’akademik’
namun lesu. Bukan hanya terfokus kepada markah, pointer dan seumpamanya. Bahkan kita tidak mahu menjadi seperti
Harvard, yang mana pernah seorang tenaga pengajar di sana mengatakan ‘aku
melihat Harvard penuh ilmu namun tiada ruh’.
Kita lihat
contoh Aristotle. Bagaimana beliau menghidupkan suasana pembelajaran yang
kadangkala santai, namun amat bermakna. Pernah suatu ketika Aristotle
melontarkan soalan berkenaan ‘iffah’ dan meminta pelajarnya membincang
persoalan itu. Namun perkara ini amat membuka ufuk minda seorang pelajar untuk
terus berfikir, bukan hanya disuap di kuliah pengajian.
Selain itu,
mahasiswa juga boleh untuk memperjuangkan isu luaran seperti pengagihan zakat,
institusi kehakiman, namun perlu berjumpa dengan pakar dalam perkara tersebut
dan hadam segala maklumat berkaitannya.
Perkara ini perlu diteliti agar mahasiswa mampu untuk membawa mafahim
(kefahaman) kepada ummat dalam konteks memberi kesedaran sebenar berkenaan
Islam.
Pertemuan kami diakhiri dengan santapan juadah
Iftar. Dr. Zulkifli menghadiahkan naskhah buku “ Nota buat Anakku’ kepada
setiap pimpinan GAMIS yang hadir. Perkongsian ilmah itu sangat bermakna buat
kami selaku pimpinan gerakan mahasiswa Islam dalam mencorak gerakan kini dan
akan datang.
0 comments:
Post a Comment