Thursday 6 September 2012

Pesanan Buat Petugas Dakwah Kampus


Keringat yang mengalir dalam melaksanakan dakwah amat besar di sisi Allah taala. Bagi daei kampus yang bersengkang mata menjalankan amanah dakwah di kampus, cukuplah hadis ini sebagai motivasi buat kalian.

"Dua mata yang diharamkan dari api neraka ialah mata yang menangis kerana takut kepada Allah , dan mata yang menjaga serta mengawasi Islam dan umatnya dari (gangguan) kaum kafir." (Hadis Riwayat Bukhari)

Sejurus mendapat perkhabaran tentang pengkhianatan yang dilakukan terhadap beberapa persatuan mahasiswa islam kampus di Malaysia, hati saya terdetik inilah menjadi sunnah dalam perjuangan, golongan yang membawa dakwah akan sentiasa ditentang. Ada yang kecewa, ada yang luka dan ada yang merana. Menjadi satu keistimewaan buat golongan pemuda yang berada dalam medan dakwah ialah jiwa yang kental. 

“dan kami kisahkan kepada kamu (penceritaan al-kahfi) dengan kebenaran, sesungguhnya mereka itu golongan muda (fityah) yang beriman kepada Tuhan mereka dan kami gandakan kepada mereka itu dengan Hidayah…”

Meneliti sirah perjuangan Islam dari zaman berzaman, kelibat kepemudaan sentiasa mengiringi siri meletakkan kebenaran berada di kemuncaknya. Tegas dengan prinsip perjuangan telah menempatkan setiap insan yang membawa panji Islam diancam halangan dan dugaan, lantas Allah sahaja yang menjadi pelindung mereka. Begitulah sifat kepemudaan yang dipaparkan dalam sejarah kegemilangan Islam. Gerakan mereka sentiasa segar mendokong kepimpinan Islam sepertimana Usamah bin Zaid, Sollahudin Al-Ayyubi, Muhammad Al-Fateh, Nuruddin Az-Zinki dan sebagainya. 

Selepas semua bertungkus-lumus untuk menanam benih cintakan Islam kepada pelajar baru melalui minggu orientasi, kini para daei kampus akan menempuh medan tempur yang lebih dahsyat iaitu Pilihanraya Kampus yang akan berlangsung tidak lama lagi. 

Justeru, saya titipkan beberapa pesanan buat daei di kampus, semoga dengan pesanan ini dapat mengubat jiwa dan memberi semangat kepada kalian. Yang lebih utama supaya gerakan dakwah yang kita bawa benar-benar berjaya.

Memaknakan Sebuah Gerakan Mahasiswa Islam 

Kita boleh bersetuju bahawa situasi di Malaysia sangat berbeza di negara yang disebutkan di atas tadi. Namun, soal mabadi’ (prinsip) yang ingin diserlahkan bukan bersifat anjal, ia sentiasa kukuh berdiri dengan matlamat menzahirkan kebenaran Agama itu mengatasi segala-galanya, walaupun dibenci dan dicerca golongan penentang. Soalnya, bagaimana sebuah gerakan mahasiswa Islam mampu bernafas di celah-celah komuniti yang pelbagai khususnya di Malaysia ini?

Gerakan Inklusif Bernafas Panjang

Walaupun kelompok yang membina gerakan ini ialah golongan muda khasnya mahasiswa/i, namun realiti yang perlu difahami ialah kita masih bersama dengan variasi lapisan masyarakat. Maka, identiti gerakan mahasiswa Islam seharusnya dikenali oleh masyarakat, bukan kita hanya berpencak di pentas kemahasiswaan tanpa melihat kepada isu setempat yang berlaku. 

Gerakan mahasiswa perlu sentiasa cakna sehingga masyarakat mampu mengiktiraf gerakan mahasiswa sebagai sebuah gerakan yang hidup di tengah masyarakat. Kelemahan yang berlaku hari ini apabila masyarakat kurang merasai gerakan mahasiswa kerana kita dilihat ekslusif dalam membicarakan isu-isu tertentu. 

Gerakan Keilmuan 

Teras kepada Islam ialah Ilmu. Wahyu pertama menjadi simbolik ketamadunan Islam itu meletakkan asas ilmu sebagai necara timbangan, mengukur di antara sebuah kegemilangan dan kemunduran. Maka, bagi mempersadakan sebuah gerakan, tidak dapat tidak perlu ditekankan soal penguasaan ilmu ini. Harus difahami, bahawa gerakan keilmuan merupakan sebahagian daripada jihad fisabilillah. Dengan sebab itu Allah tatkala melakarkan ayat-ayat jihad di dalam surah  at-taubah ayat 122, terdapat penekanan khusus kepada satu golongan (thaifah) untuk mencari dan mendalami ilmu agama.

Dr. Yusuf Al-Qaradhawi telah mengisyaratkkan akan kepentingan perkara ini di dalam kitabnya ‘Al-Hal Al-Islami Faridhatun wa Dharuratun’. Malah, terma ‘mahasiswa’ itu sendiri sudah mengangkat nilai keilmuan yang harus dikuasai mengikut posisi masing-masing. Sebagai contoh, negara sangat memerlukan kepada tenaga pakar dalam bidang ekonomi untuk menganalisis rangka ekonomi yang stabil serta pragmatik, penilaian terhadap sistem politik yang demokratik, saintis yang mampu menjalankan inovasi yang menjadi solusi kepada isu alam sekitar. Maka siapakah yang lebih layak mengisi ruang ini melainkan sebuah gerakan mahasiswa yang sedar serta berdaya ilmu untuk memenuhi tuntutan tersebut. Benarlah kalam Saidina Ali R.A “Kebenaran tidak akan diketahui hanya dengan segolongan lelaki, ketahuilah sesuatu kebenaran itu sepertimana yang diketahui oleh ahlinya”.

Gerakan Menerang, Bukan Menyerang

Dunia dirasakan makin sempit tatkala seluruh maklumat hanya boleh didapati di depan mata skrin komputer. Inilah zaman maklumat. Setiap perkara yang dibicarakan perlu dialas dengan maklumat, fakta dan sebagainya agar maklumat tersebut autentik dan bukan hanya sekadar persepsi kosong. Maka, seharusnya dalam mempersadakan misi gerakan, angle seperti inilah yang seharusnya dikuasai dan dimanfaatkan oleh sesebuah gerakan. 

Kita sedia maklum, sudah terlalu banyak maklumat diseleweng hingga menimbulkan kekusutan dalam pemikiran masyarakat. Maka, sebuah gerakan mahasiswa perlu tampil sebagai ejen penerang, bukan hanya sekadar menyerang mana-mana organisasi khususnya yang berkepentingan politik. Anjurkan debat, hidupkan dialog, suburkan wacana. Namun harus ditekankan, bukan sahaja kita mengurus program bertemakan Islam. Tariq Ramadhan pernah menyentuh perkara ini dalam ucapannya, agar kita menghidupkan wacana dan dialong berkenaan isu-isu global, kemanusiaan, pemanasan alam sekitar dan menyentuh juga isu lokal yang dekat dengan hati masyarakat.

Gerakan Hanya Alat 

Di akhir kalam ini, ingin saya ingatkan bahawa sesungguhnya kita hanyalah alat untuk Islam terus berkembang. Jika tiada kita, Allah boleh menggantikan kelemahan kita ini dengan sesuatu yang lebih baik lagi. Maka, sebagai sebuah gerakan mahasiswa Islam, kita perlu terus memantapkan orientasi gerakan kita agar Allah sentiasa memelihara kita dalam perjuangan ini dan menjadikan gerakan ini sebagai ‘alat yang terbaik’ untuk memenangkan Islam khususnya di Malaysia. 
 
Gamis, Inspirasi Anak Muda!

Akram Ikrami bin Taib Azamudden
Presiden, Gamis

0 comments:

Post a Comment