Pilihanraya kampus adalah medan persaingan mahasiswa. Mereka bukan
sahaja bersaing untuk menentukan siapa yang menjadi juara, malah yang lebih
penting ialah pihak mana yang mampu mengekalkan nilai-nilai murni sepanjang
persaingan.
Kita menolak cara politik seperti yang digambarkan oleh Aristotle,
iaitu Man is a Political Animal (Manusia adalah haiwan politik) yang
bermaksud aktiviti politik yang diamalkan oleh manusia adalah bersifat ‘Kehaiwanan’
bukannya ‘Kemanusiaan’
Medan Persaingan Idea, Bukan Emosi
Manifesto adalah kerangka idea mahasiswa bagi menyatakan tawaran yang
disediakan oleh setiap pihak. Dalam melaksanakan manifesto tersebut, setiap
pihak perlu mempunyai Political Will (Keazaman Politik) yang tinggi.
Ironinya, ada pihak yang menjadikan manifesto hanya sebagai tawaran
populis iaitu sebagai daya tarikan kepada pengundi sahaja, bukannnya bermatlamat
untuk dilaksanakan.
Dalam pilihanraya kampus, idea dikerah bukan sahaja dalam merangka
manifesto, malah dalam merangka strategi perlu kepada idea yang kreatif dan
cerdas. Soal emosi perlu dikesampingkan, bagi mengelakkan sikap cepat melatah
apabila ‘diserang’ oleh pihak lawan.
Medan Persaingan Mahasiswa, Bukan Parti Politik
Pilihanraya Kampus adalah gelanggang khas bagi mahasiswa. Agak malang
sekiranya ada parti politik yang ingin masuk campur dalam pilihanraya kampus.
Dalam satu siri pendedahan, iaitu Konspirasi Ops 2020, pihak
Pro-Mahasiswa berjaya membongkarkan strategi UMNO untuk menawan seluruh Institusi
Pengajian Tinggi Awam (IPTA) di Malaysia.
Sangat memalukan. Sepatutnya UMNO perlu menghabiskan masa mereka untuk melakukan
persiapan menghadapi Pakatan Rakyat (PR) dalam Pilihanraya Umum 13 (PRU 13)
bukannya masuk campur urusan mahasiswa.
Gelanggang UMNO adalah PRU-13, bukannya PRK 2012. Dan musuh politik
UMNO adalah Pakatan Rakyat, bukannya mahasiswa. Itu perlu jelas
Ia telah menzalimi mahasiswa (khususnya Pro-Mahasiswa) dengan
mewujudkan keadaan ‘Padang Tak Sama Rata’ persaingan antara Pro-Mahasiswa
dengan Pro-Aspirasi khususnya.
Medan Persaingan Membentuk Kematangan
Lord Palmerstone (bekas Perdana Menteri Britain) menyatakan ‘In
Politics There is No Friends or Enemies, There is Only Interests’ (dalam
Politik Tidak ada Kawan dan Lawan, yang ada Hanyalah Kepentingan)
Mungkin bagi sesetengah pihak agak sinis dengan kenyataan tersebut,
tapi bagi kami ia boleh dimurnikan iaitu dengan mengangkat nilai-nilai murni
sebagai kepentingan kita. Seperti kami berkepentingan untuk memperjuangkan
keadilan, kebajikan dan intelektual mahasiswa.
Selain itu, kecerdasan merangka strategi adalah sangat penting.
Kreatif, analisis, berwawasan menjadi faktor utama kejayaan strategi yang
dirangka. Tetapi, hakikatnya pertolongan Allah adalah yang paling hebat.
Pedoman yang boleh diambil dari kisah nabi iaitu selepas hijrah baginda
ke Madinah memerlukan statistik bilangan orang yang telah melafazkan Islam.
Para sahabat mengira dengan mengatakan mereka seramai 1500 orang. Ini sebagaimana
yang diriwayatkan oleh Imam Bukhari dan Imam Muslim.
Ini menunjukkan bahawa Rasulullah hendak mengetahui sejauh mana
kekuatan manusia pada pihaknya dengan maklumat ilmiah terperinci untuk
dijadikan ketentuan dan kesesuaiannya yang jelas berdasarkan fakta serta
keterangan.
Dalam memerah idea merangka manifesto dan strategi, satu nilai yang
kita dapat ialah kematangan. Kemantangan tersebut juga dapat diperolehi melalui
keupayaan kita menghadapi ujian kekalahan mahupun ujian kemenangan.
Salam Perjuangan
Akram Ikrami Taib Azamudden
Presiden,
Gabungan Mahasiswa Islam SeMalaysia (Gamis)
0 comments:
Post a Comment