Sunday 16 September 2012

DESAK PEMANTAUAN KETELUSAN PRK


KUALA LUMPUR, 16 September – Enam tuntutan yang dikemukakan oleh Pro-Mahasiswa Nasional iaitu penetapan tarikh pilihanraya kampus, mahasiswa terlibat dengan pengurusan pilihanraya, pemantauan pilihanraya kampus, kebebasan berkempen, sistem pengundian yang telus dan pendidikan kepada calon.

Demikian menurut Pengerusi Pro-Mahasiswa Nasional, Edikoup Lakip Sediyanto dalam sidang media semalam sempena Perarakan Mahasiswa Nasional 2012 : Merdekakan Pilihanraya Kampus yang dianjurkan oleh gabungan front-front mahasiswa seluruh Malaysia yang pada asalnya dirancang di Dataran Merdeka.

Beliau turut mempersoalkan sikap campur tangan dan manipulasi pihak kerajaan Barisan Nasional terhadap pilihanraya kampus-kampus tempatan untuk memenangkan calon yang berpihak kepada kerajaan, yang diistilahkan beliau sebagai konspirasi Operasi Tawan 20/20 Kampus (Ops 2020).

Dalam kenyataan beliau, antara ‘jentera’ kerajaan yang digunakan dalam konspirasi Ops 2020 termasuklah Biro Tatanegara (BTN), Polis Diraja Malaysia PDRM) dan Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) itu sendiri.

“Bermula dari dahulu hingga sekarang, banyak sangat peristiwa yang merisaukan mahasiswa, kita tidak tahu sistem keadilan kampus-kampus ini bagaimana? Kita nak ada pemantau yang boleh memberikan penarafan tahap ketelusan pilihanraya kampus,” ujar Edikoup kepada media.

Perarakan Mahasiswa Nasional semalam dihadiri lebih 800 mahasiswa dari seluruh negara, yang berarak menuju ke Kompleks Beli-Belah Sogo setelah dihalang oleh pasukan polis dari memasuki Dataran Merdeka. Perarakan diselangi dengan sudut pidato oleh pimpinan-pimpinan mahasiswa dari pelbagai front, di samping nyanyian lagu kebangsaan, ikrar dan pengibaran Jalur Gemilang sebagai simbol patriotik mahasiswa sempena Hari Malaysia 16 September.

0 comments:

Post a Comment