Tuesday 4 September 2012

Kampus Kita Bukan Lubuk Buaya


Kesalahan berfikir dan berencana yang sangat malang bahkan merugikan yang dilakukan oleh para pentadbir Institut Pengajian Tinggi adalah apabila menjadikan kampus dan warganya sebuah teritori yang tidak berpartisipasi di arena politik. Sedangkan kampus yang menjadi tempat lahirnya para bijaksana, pasti mempunyai sumber daya yang berpotensi untuk mengambil peranan strategik dalam arena politik tanah air.

Lebih parah lagi, adanya pelbagai peraturan demi menghalang para pensyarah dan mahasiswa dari memberi sumbangan langsung dalam pembangunan politik. Lalu, peranan kampus sebagai pusat membina ketamadunan ilmu dan peradaban budi dimandulkan dengan pendidikan ‘job oriented’ dan sengaja dibiarkan budaya hedonisme bersarang.

Kesannya, sebahagian besar siswazah yang bergraduasi dengan pelbagai taraf kelulusan, tidak memiliki kesedaran politik (political awareness) yang membina dan gagal menunaikan tanggungjawab sosial (social responsibility) dengan berkesan.

Bahaya jangka masa panjang jika keadaan ini berterusan ialah lahirnya kepimpinan negara dan generasi bangsa yang mementingkan diri sendiri dan hilangnya budaya permuafakatan serta semangat tolong-menolong dan gotong-royong dalam membangunkan Malaysia untuk berhadapan dengan pelbagai peranan dan cabaran pada masa hadapan.

Kualiti ‘terpelajar’ dengan kemampuan untuk menguji yang benar dan yang salah dengan pendapat yang beralasan berdasarkan ilmu yang dimiliki oleh mahasiswa sepatutnya mampu diterjemah dengan memikul tanggungjawab mencari dan membela kebenaran, juga menentang sebarang bentuk penyelewengan dan kebatilan.

Maka, kerana kebimbangan terhadap kemampuan mahasiswa ini, pemerintah korup sedaya upaya mengahalang daripada wujudnya hubungan ‘mutual simbiosis’ yang komprehensif, kompetitif & konstruktif antara rakyat dan pemerintah, dan sekadar menjadikan hubungan itu sebagai hubungan objek-subjek demi mengekalkan kedudukan dan kekuasaan yang sedang dimiliki.

Biarlah ummah boleh mendekati kampus dan mendapat manfaat daripada kita. Jangan biarkan ummah menjadi seperti pemancing yang tidak dapat merasai nikmatnya udang galah kerana sang buaya. Ayuh bebaskan kampus kita! Kampus kita bukan lubuk buaya.

Eikhwan Ali
Naib Presiden, Gamis

0 comments:

Post a Comment