Friday 14 September 2012

Pilihanraya Kampus Bersih, Telus dan Berintegriti


PENDAHULUAN
Sejak kebelakangan ini dilihat demokrasi Malaysia semakin dicalari nilai ketulenannya dengan kepentingan tertentu pihak-pihak yang tidak bertanggungjawab. Pilihanraya kampus juga turut menerima tempias apabila dimanipulasikan oleh pihak-pihak tertentu untuk kepentingan peribadi mereka. Pilihanraya kampus yang sewajarnya berada dalam keadaan suasana politik yang paling bersih dan suci telah dikotori dengan politik luar yang berkepentingan . Tindakan mereka amat teliti dan terancang dalam menggunakan jentera kerajaan dan parti politik untuk mematikan idealisma dan aktivisma mahasiswa. Maka atas dasar itu, Pro-Mahasiswa sebagai parti politik mahasiswa yang berteraskan aktivisma dan idealisma mahasiswa dalam gerakan menjadikan “Bersih Kampus” ini sebagai perjuangan utama terutama dalam mendapatkan sistem pilihanraya kampus yang bersih,adil dan berintegriti di Malaysia. Hal ini kerana ketulenan dan kesucian medan pemilihan pemimpin mahasiswa ini  mampu menjamin kepimpinan mahasiswa yang berkualiti untuk masa hadapan negara.

“Academic chairs are many, but wise and noble teachers are few; lecture-rooms are numerous and large, but the number of young people who genuinely thirst after truth and justice is small.”  
- Albert Einstein.

TUNTUTAN
1-Penetapan tarikh pilihanraya kampus
2-Mahasiswa terlibat mengurus pilihanraya kampus
3-Pemantauan perjalanan pilihanraya kampus 
4- Sistem pengundian yang telus 
5- Kebebasan berkempen
6-Peruntukan kepada calon

ISU DAN TUNTUTAN

1-Penetapan tarikh pilihanraya kampus
ISU :
a) Universiti Malaya: Pilihanraya kampus 2012 dilewatkan sehingga bulan September 2012. Pembubaran Majlis Perwakilan Pelajar telah berlaku pada 21 mac 2012. Ini menandakan telah tamat satu sesi kepimpinan mahasiswa selama satu tahun . Ini adalah pengamalan biasa  dalam pemilihan  kepimpinan mahasiswa seperti mana yang tercatat di dalam Akta Universiti Kolej Universiti (AUKU) Perkara 48(4) yang menyatakan bahawa                
                                 
         “Ahli MPP dan pemegang jawatannya hendaklah dipilih selama satu tahun”

Tetapi apa yang terjadi ialah dalam pemilihan Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) pada tahun ini tidak berlaku. Walaupun pada awalnya pihak Hal Ehwal Pelajar (HEP) telah mengumumkan dan membuat penerangan tentang sistem pilhanraya kampus termasuklah penerangan dalam sistem baru iaitu sistem zon kepada semua pelajar pada bulan mac tahun ini di Dewan Tunku Canselor, Universiti Malaya.  Perkara ini mencacatkan lagi perjalanan pemilihan kepimpinan mahasiswa di kampus sehingga tiada badan rasmi mahasiswa yang dipilih oleh pelajar untuk menguruskan hal ehwal semasa berkenaan kebajikan mahasiswa termasuk juga program-program seperti festival konvokesyen.

b) Universiti Kebangsaan Malaysia  (UKM): MPP yang sudah tamat tempoh tidak diberikan notis pembubaran. Pembubaran Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) UKM sepatutnya berlaku pada sekitar bulan februari 2012 sepertimana yang tertakluk dalam perkara 48(4) Akta Universiti Kolej Universiti apabila telah tamat satu tahun tempoh kepimpinan. Tetapi pembubaran MPP masih tidak dijalankan oleh Hal Ehwal Pelajar sehingga banyak di kalangan ahli Majlis Perwakilan Pelajar yang tahun akhir sudah habis masa belajar dan hanya menunggu masa untuk bergraduasi. Kesannya adalah kepimpinan MPP tidak cukup ahli kerana sudah ramai habis belajar. Pihak HEP juga menganggap MPP adalah badan yang tidak sah . Hal ini demikian kerana ada diantara ahli MPP bukan lagi mahasiswa yang dianggap sebagai sah apabila sudah habis masa belajar dan kesan yang paling buruk dialami oleh mahasiswa, apabila tiada badan khas yang boleh mengurus masalah kebajikan mereka.

TUNTUTAN 
Berdasarkan apa yang berlaku, mahasiswa menuntut tarikh pilihanraya kampus ditetapkan dan diletakkan di dalam takwim setiap universiti. Hal ini kerana :

1-Ketulenan demokrasi yang meraikan kepada persaingan sihat tanpa ada campur tangan politik luar yang boleh mengganggu gugat perjalanan politik kampus.
2-Persediaan yang cukup buat calon mahasiswa yang ingin bertanding .
3-Mendidik kefahaman politik mahasiswa dalam membuat persediaan bagi menghadapi musim pilihanraya kampus.

2-Mahasiswa terlibat mengurus pilihanraya kampus
ISU :
a) Universiti Malaya : 
i - Mahasiswa tidak diberikan kuasa secara langsung untuk membuat keputusan dalam membincangkan berkenaan pilihanraya kampus mereka sendiri. Pihak pentadbiran Universiti membuat perbincangan berkenaan pilihanraya kampus tanpa perbincangan bersama mahasiswa. 

TUNTUTAN : 
Mahasiswa diberikan hak dalam membuat keputusan dalam jawatankuasa  mengurus pilihanraya kampus.  Mahasiswa tidak boleh diketepikan dalam mengurus pilihanraya kampus.  Individu atau pihak yang berhak terlibat dalam mengurus pilihanraya kampus adalah mantan kepada kepimpinan MPP yang lepas. Hal ini demikian kerana :

1-Memastikan pihak pentadbiran bersikap telus dalam mengurus pilihanraya kampus bersama mahasiswa.
2-Mahasiswa mempunyai hak mengurus pilihanraya dan menentukan corak politik dan kepimpinan mereka.
3-Memainkan peranan mahasiswa dalam menentukan kepimpinan mereka dalam menggerakkan pilihanraya kampus.

3-Pemantauan pilihanraya kampus 
ISU:
a) Mahasiswa telah mendapati bahawa wujud konspirasi terancang tangan-tangan asing yang digunakan untuk mematikan aktivisma mereka yang dikenali sebagai OPS 2020. Sebuah jentera yang dirancang oleh Jabatan Perdana Menteri bertujuan untuk menyekat kemaraan mahasiswa sebelum Pilihanraya Umum ke 13. Jentera OPS 2020 ini telah dibongkarkan oleh mahasiswa sehingga isu ini dibicarakan oleh parlimen pada 20 jun 2012 yang lepas. OPS 2020 yang menggunakan jentera kerajaan seperti Biro Tata Negara, Kementerian Pengajian Tinggi, Polis Diraja Malaysia dan lain-lain institusi kerajaan untuk mematikan aktivisma mahasiswa. Maka mahasiswa terpaksa berdepan  juga dengan  jentera kerajaan. 

b) Universiti Putra Malaysia (UPM) : Isu pembatalan kemenangan 10 orang calon Pro-Mahasiswa yang berlaku pada 25 februari 2011. Mereka dibatalkan pencalonan atas alasan berkempen secara berkumpulan. Isu ini kelihatan berat sebelah kerana calon Pro-Mahasiswa sahaja yang digantung kemenangan sedangkan calon Aspirasi tidak dikenakan apa-apa tindakan. Dan melalui isu ini  menyebabkan berlakunya tragedi berdarah pecah pintu di bangunan pentadbiran Universiti Putra Malaysia.


c) Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM): 
i - Pada waktu pilihanraya kampus 21 februari 2011 jawatankuasa pelaksanan PRK di kolej  memakai baju berlambang Aspirasi untuk meraih undi sedangkan dalam peraturan melarang memakai atau menggunakan sebarang perkara yang melambangkan identiti.

ii - jawatankuasa pelaksana PRK di kolej telah mencatat nombor siri dan no matrik pelajar yang turun mengundi sedangkan dalam peraturan, kertas undi adalah  rahsia.

iii -  Selain itu, perkara yang berlaku adalah aktiviti memancing undi di tempat membuang undi. Kewujudan kaunter/pondok panas - Buku Panduan Calon . mengikut peraturan pemilihan MPP Bahagian VII Perkara 52 : Kempen tamat pada jam 12.00 malam sehari sebelum hari mengundi dan tidak  dibenarkan memancing undi di kawasan yang ditentukan di tempat mengundi.

TUNTUTAN
Wujud badan bebas yang mampu untuk menilai dan memantau sepanjang proses dan perjalanan pilihanraya kampus setiap universiti. Perkara ini bagi memastikan pilihanraya kampus berjalan secara bersih, telus dan berintigriti sepanjang tempoh pilihanraya kampus tanpa ada pihak lain yang boleh memanipulasi pilihanraya kampus untuk kepentingan peribadi. Antara badan cadangan adalah Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (SUHAKAM), Badan Pemantau Pilihanraya Malaysia (MAFREL) dan  Institute for Democracy and Economic Affairs (IDEAS). Hali ini kerana : 

1-Pilihanraya kampus boleh diukur tahap standard ketelusannya.
2-Pilihanraya kampus dapat berjalan secara bersih,telus dan berintegriti tanpa ada pemanipulasian oleh mana-mana pihak tidak bertanggungjawab
3-Menunjukkan nilai politik ahli akademik yang mampu berpilihanraya secara dipantau.

4- Sistem pengundian yang telus 
ISU :
a) Universiti Malaya :
 i - Antara yang pernah berlaku adalah ketika pilihanraya kampus januari 2010 apabila sistem e-undi yang dijalankan di Universiti Malaya berlakunya server down  semasa hari pengundian di enam buah komputer di kolej kediaman kedua belas (Raja Dr Nazrin Shah). Hampir 30 orang pelajar terhalang daripada mengundi dalam tempoh masa setengah jam tergendala.
Dan selepas itu,  satu lagi laporan diterima mengenai kes yang sama  kepada komputer-komputer pengundian di pusat mengundi kolej kediaman keempat dan sekali lagi berlaku di pusat mengundi di fakulti ekonomi dan pentadbiran (FEP). perkara ini yang menyebabkan tertubuhnya gerakan mahasiswa “BANTAH E-Voting”.

ii – Dan pada pilihanraya kampus 2011 juga berlaku masalah yang lebih kurang sama apabila tiga lagi sistem e-undi yang diperkenalkan iaitu e-penamaan, e-bantahan, e-rayuan dan e-undi. Selain itu, terdapat juga kriteria tambahan yang ditambah oleh university yang dimasukkan dalam sistem pilihanraya kampus iaitu bengkel untuk calon. 

Beberapa isu kecil telah berlaku antaranya adalah berkenaan calon yang mendaftar agak lewat tetapi masih dibenarkan untuk mendaftar bengkel dan menyebabkan dia ditolak pencalonan. 

b) Universiti Sains Malaysia : 
i – pada pilihanraya kampus 2011 , masalah yang berlaku berkenaan dengan sistem pilihanraya kampus adalah yang pertama berkenaan tentang Borang calon . Tiada penerangan untuk pengendalian borang calon diberikan oleh Hal Ehwal Pelajar. Yang kedua adalah berkaitan dengan data lengkap keputusan akhir yang tidak dipamerkan kepada semua mahasiswa. Bilangan mahasiswa yang turun mengundi secara keseluruhan, dan bilangan undi rosak tidak dipamerkan.

TUNTUTAN :
Pemurnian dan penambahbaikan sistem pilihanraya kampus dengan campuran dwi sistem elektronik dan manual. Pengundian dilakukan  secara elektronik dan boleh  mengeluarkan salinan kertas undi elektronik  untuk dimasukkan ke dalam peti undi untuk membolehkan kiraan semula dibuat . Hal ini kerana :

1-Kiraan semula boleh dibuat apabila berlaku ketidak puas hatian calon yang bertanding atau terdapat perbezaan kiraan undi yang kecil.
2-Menjamin ketelusan sistem pilihanraya tanpa ada manipulasi sistem oleh pihak-pihak yang tidak bertanggungjawab.
3-Mengelak perkara-perkara tidak terduga yang boleh menjejaskan sistem elektronik 
seperti penggodaman, putus bekalan elektrik, virus dan lain-lain.

5- Kebebasan berkempen

a) Tempoh kempen
i –Universiti Malaya : Bermula dengan pilihanraya kampus tahun 2010  sehingga tahun 2012 tempoh berkempen dipendekkan daripada tujuh hari kepada hanya 3 hari untuk berkempen kepada 15 ribu orang mahasiswa .Masa yang diberikan ini tidak mencukupi dan terlalu pendek apatah lagi calon yang bertanding terikat dengan jadual kuliah pembelajaran. Hari minggu juga turut dikira sebagai hari berkempen ,hal  ini menyusahkan pelajar untuk berkempen terutama untuk berkempen pada pelajar-pelajar di luar kampus. 

ii – Universiti Sains Malaysia : Tempoh hari berkempen tidak tetap dan dilakukan pada   hari minggu.

iii-– Universiti Teknologi Malaysia : Pada pilihanraya kampus februari 2011 lepas terdapat peraturan baru yang dibuat oleh pihak pentadbiran yang menyekat mahasiswa untuk berkempen. Antaranya :
1-speaker corner hanya boleh diadakan di tempat yang dibenarkan oleh pihak urusetia pilihanraya sahaja.
2-Setiap calon hanya terhad berucap 3 kali sahaja semasa berkempen di speaker corner
3-Tidak dibenarkan berkempen secara berkumpulan.

TUNTUTAN : 
Tempoh berkempen diberikan kepada calon yang bertanding selama 5 hari kuliah. Hal ini kerana :
1-Masa yang lebih mencukupi untuk calon berkempen kepada seluruh mahasiswa kampus.
2- tidak menyusahkan calon untuk berkempen kepada pelajar-pelajar terutama di luar kampus dan boleh fokus berkempen di dalam kampus.

b) Media bebas:
i - Universiti Tun Hussein Onn Malaysia : -Perkara yang berlaku adalah larangan calon UTHM bagi  menggunakan media laman sosial facebook pada pilihanraya kampus 2011. Kebebasan calon untuk berkempen manggunakan media massa amat terhad dan membelakangi zaman. Calon tidak dibenarkan berkempen menggunakan facebook, twitter, friendster,blog dan media massa lain. 

TUNTUTAN :
Mahasiswa diberikan kebebasan mengunakan apa jenis media dalam berkempen. Hal ini kerana :
1-Membuka seluas-luasnya peluang untuk calon mengekspresikan diri mereka dalam berkempen.
2-Berkempen seiring dengan perkembangan media massa.

c) Lokasi kempen
i - Universiti Malaya : tempat yang diberikan untuk calon mahasiswa berkempen amat terhad dan terpaksa bercampur dengan birokrasi yang tidak sepatutnya timbul. Calon mahasiswa yang diberikan autoriti oleh universiti untuk berkempen disekat untuk berkempen di kolej-kolej kediaman.  Calon terpaksa membuat permohon 2 hari awal untuk mendapat keizinan kolej-kolej kediaman sebelum dibenarkan masuk ke kolej-kolej kediaman sedangkan kolej masih di dalam lingkungan dalam university dan amat bias apabila parti yang berpihak pada university tidak perlu meminta kepada izin kolej kediaman

TUNTUTAN : 
Calon diberikan kebebasan seluas-luasnya untuk berkempen di dalam universiti termasuk kolej kediaman. Hal ini kerana :
1-tidak menghadkan calon mahasiswa untuk berjumpa semua pelajar.
2-Mengelak birokrasi yang boleh merencatkan mahasiswa untuk berkempen.

d) Mekanisma berkempen : Universiti Malaya : Mekanisma atau bahan kempen mahasiswa tidak bebas. Bahan kempen terlalu mengikat calon dan terpaksa mengikut spesifikasi yang tidak bebas. Antaranya ialah bahan kempen yang hanya dihadkan kepada jenis font, saiz fontm kandungan bahan yang tertentu seperti nama calon,fakulti dan gambar sahaja. Segala jenis banner atau poster yang tidak menepati spesifikasi akan ditolak.

TUNTUTAN : 
Calon dibenarkan untuk menggunakan apa sahaja cara dan jenis mekanisma untuk berkempen. Hal ini kerana :
1-Menambah kreativiti mahasiswa dalam berkempen dengan pelbagai jenis bahasa, corak kempen dalam bahan kempen.
2-Memberi corak pilihanraya kampus yang menarik dengan persaingan secara bebas dan sihat.

6 - Peruntukan kepada calon
a) Universiti Malaya : Ramai calon mahasiswa yang bertanding kebiasaanya menggunakan modal sendiri untuk bertanding. Modal dikeluarkan oleh mereka bagi penyediakan dana untuk bahan penerangan, bahan kempen dan lain-lain dalam proses pilihanraya kampus.

b)Universiti Kebangsaan Malaysia : Kebanyakan mahasiswa yang bertanding menggunakan modal sendiri untuk pembiayaan proses penamaan dan kempen dalam pilihanraya kampus

c)Universiti Putra Malaysia : Calon menggunakan duit sendiri dalam proses kempen  setiap pilihanraya kampus.

TUNTUTAN : 
Calon diberikan peruntukan khusus untuk bertanding samada dalam bentuk tunai atau material. Hal ini kerana :

1-Tidak membebankan mahasiswa yang berhutang dan dalam masa yang sama menyiapkan diri untuk bertanding.
2-Memberikan semangat kepada mahasiswa untuk lebih berbakti kepada universiti setelah bertanding.

PENUTUP
Mahasiswa adalah golongan cerdik pandai dan bukan pelajar sekolah. Maka cara didikannya juga adalah dengan cara mahasiswa. Maka dengan ini, Pilihanraya kampus merupakan cerminan kepada pilihanraya umum ke 13 yang akan datang. Demokrasi dan ketelusan dalam pemilihan kepimpinan kampus menjadi pendidikan politik mahasiswa dalam melahirkan bakal  pemimpin negara kelak. Ia perlulah melalui didikan politik dari alam kampus sebelum keluar menjadi pemimpin negara kelak.

Disediakan oleh:
Pro Mahasiswa Nasional

0 comments:

Post a Comment