Bengkel Penerangan GAMIS

Krew Penerangan GAMIS dilatih pengurusan media dan informasi

Kami Bersama-sama Rohingya

Nurul Izzah Anwar menandatangani sepanduk simbolik kebersamaan rakyat Malaysia dalam Isu Rohingya

Satira Politik Semasa GAMIS

Menampilkan seniman-seniman tanah air membacakan puisi satira mengenai isu politik semasa Malaysia

Memimpin Perjuangan

Perjuangan mestilah dipimpin dengan nilai akhlak yang tinggi...

Himpunan Aman Selamatkan Rohingya

Mengumpulkan wakil-wakil parti politik tanah air dan NGO-NGO bagi memperjuangkan nasib umat Islam Rohingya

Bersatu Demi Malaysia

Cadangan logo alternatif dari GAMIS dengan konsep merdeka rakyat, merdeka pemimpin dan bertemakan Bersatu Demi Malaysia. Logo ini adalah respon terhadap logo yang tidak professional dan tema yang tidak patriotik yang dicadangkan kerajaan Malaysia.



Tuesday 22 January 2013

SIGMA : DISEBALIK ISU “ LISTEN & LET ME SPEAK “ [ SIRI II ] MENYEDARI PERANAN MAHASISWA SEBAGAI AGEN PERUBAHAN


SIGMA : DISEBALIK ISU “ LISTEN & LET ME SPEAK “  [ SIRI II ]
MENYEDARI PERANAN MAHASISWA SEBAGAI AGEN PERUBAHAN



Menyedari potensi mahasiswa dan menginsafi peranan universiti serta masa depan kebebasan intelek di Malaysia, saya juga berkeyakinan bahawa kerajaan sedia ada juga menghadapi krisis kepercayaan intra – parti dan tidak membudayakan etika kerja berpasukan dalam perjuangan mereka.



Isu “ Listen “ baru – baru ini menjadi bukti hal ini kerana sehingga hari ini, hampir kesemua kumpulan gabungan sekutu yang bernaung di bawah payung kerajaan Malaysia mengambil pendirian “ isolasi “ – malu untuk mengaku mereka adalah satu pasukan yang sama serta dengan mudah menyatakan “ Puan Sharifah Zohra do not represent us ” atau “KPT tidak ada kaitan dengan isu Sharifah - Bawani”.



Sayap kiri perjuangan bangsa dan negara, Wanita UMNO – Barisan Nasional juga dilihat membisu dan tidak tampil memberi sebarang komentar mahupun menyatakan pendirian. Mahasiswa bisa menterjemah tindakan diamnya mereka boleh dilihat sebagai menyatakan rasa tidak ambil peduli akibat tidak seteru dengan kewujudan SW1M itu sendiri.



 Mungkin juga Wanita UMNO – Barisan Nasional bersetuju dengan pendirian Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Najib dalam Sambutan Hari Wanita 2012 bahawa Malaysia tidak perlu ada pergerakan hak wanita. Tidak keterlaluan saya menggambarkan sikap ini mencerminkan pudarnya nilai kesatuan dan kebersamaan pasukan dalam menampung kesalahan dan risiko bersama – sama.



Ironinya, sikap ini juga membuatkan kami mahasiswa selaku pengundi muda juga turut meragui untuk mengekalkan kepimpinan sedia ada memandangkan tiga aspek pertimbangan dalam memilih kepimpinan negara Malaysia akan datang : Rekod Prestasi – Asas Perjuangan – Pemimpin yang baik ini semakin luntur dalam kerajaan yang ada hari ini.



Secara peribadi, saya bersetuju dengan tiga aspek KPI – Kayu Ukur  asas pertimbangan pengundi muda untuk memilih kepimpinan negara akan datang iaitu : Rekod Prestasi – Asas Perjuangan – Pemimpin yang baik sebagaimana yang dinyatakan oleh Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek selepas merasmikan Mesyuarat Perhimpunan Agung Tahunan Majlis Belia Malaysia ( MBN ) pada 20 Januari 2013, Ahad baru – baru ini.



Hari ini kami golongan mahasiswa sedang memerhati, menilai, belajar dan terus belajar apa yang berlaku disekeliling kami. Mahasiswa merupakan tunjang utama dalam peristiwa sejarah jatuhnya lapan orang pemimpin besar dunia seperti Juan Peron di Argentina pada tahun 1955, Perez J Menez di Venezuela (1958), Soekarno di Indonesia (1966), Ayub Khan di Pakistan (1969), Reza Pahlawi di Iran (1979), Jeneral Chun Doo Hwan di Korea Selatan (1987), Ferdinand Marcos di Filipina (1985) dan Soeharto di Indonesia (1998).



Kesemua pemimpin besar dunia di atas, digulingkan atas faktor penyelewengan dan rasuah yang berlaku dalam tempoh pentadbiran kepimpinan mereka. Ini bermakna mahasiswa sedar keperluan bangkit menentang kezaliman dan berani menggerakkan kebenaran. Potensi ini telah meyaksikan kemampuan peranan dan pengaruh aktivis mahasiswa menggerakkan perubahan sosial, budaya dan politik dalam arus kepimpinan negara.



Tidak menghairankan bahawa potensi yang ada pada mahasiswa ini menjadi tumpuan pihak berkepentingan dalam melobi pengundi muda seperti kami. Pemberian One Off - Gift khusus untuk mahasiswa seperti Baucer Buku 1 Malaysia, Kad Diskaun 1 Malaysia, rebat telefon pintar dan sebagainya adalah suatu usaha untuk membina persepsi dan mengaburi rasional pemikiran mahasiswa supaya tunduk dengan tekanan supaya kerajaan yang ada pada hari ini dipertahankan.



Saya berkeyakinan penuh hari ini mahasiswa Malaysia semakin matang menilai realiti sosial, ekonomi, politik yang berlaku dalam negara kita. Selindunglah kebenaran, mahasiswa akan cari gali bukan membuta tuli memangkah undi!




Adiela Kamarizzaman,
Timbalan Pengerusi,
Sinergi Gerakan Mahasiswa [ SIGMA ],
Gabungan Mahasiswa Islam Se – Malaysia.

Sunday 20 January 2013

PENTADBIRAN UNIVERSITI & MASA DEPAN KEBEBASAN INTELEK



SIGMA : DISEBALIK ISU “ LISTEN & LET ME SPEAK “  [ SIRI I ]
PENTADBIRAN UNIVERSITI & MASA DEPAN KEBEBASAN INTELEK

                              
Baru – baru ini negara digemparkan dengan isu “ Listen! “ yang mendapat reaksi segera mahasiswa. Disebalik aspirasi dan keberanian melontarkan pendapat Saudari Bawani KS dan pendekatan Puan Sharifah Zohra menyantuni suara mahasiswi, saya terpanggil untuk mempersoalkan rasional program seumpama ini diadakan di sebuah kampus Institusi Pengajian Tinggi Awam ( IPTA ) yang tertakluk kepada Akta Universiti dan Kolej Universiti ( AUKU ) 1971.


Pindaan AUKU 2012 bersetuju supaya kampus tetap dikekalkan sebagai entiti yang bebas daripada pengaruh dan aktiviti politik kepartian seperti ditegaskan oleh YAB Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin. Walaupun menerima reaksi berbeza, pihak mahasiswa berpandangan bahawa perkara ini mestilah dihormati oleh semua pihak.


Kewujudan entiti yang dilihat  cuba bertindak sebagai “ ejen “ parti tertentu seperti Suara Wanita 1 Malaysia ( SW1M ) bukanlah perkara baru. Setelah meneliti aktiviti SW1M itu sendiri, ternyata ianya kaitan dengan parti politik utama kerajaan Barisan Nasional – UMNO. SW1M mempunyai kaitan lansung dengan Kongress India Muslim Malaysia yang diiktiraf keahliannya dalam Ahli Gabungan UMNO pada 27 Ogos 2010. Beberapa persoalan timbul disini, apakah objektif yang ingin dicapai oleh SW1M ini dan siapakah yang membiayai program – program seumpama ini?


Walaupun telah disahkan tiada pengaruh politik kepartian dalam forum ini sewaktu menerima kerjasama program tersebut pada awalnya, pihak penganjur  seharusnya dapat menjangkakan soalan dan pandangan mahasiswa sekitar realiti politik di Malaysia.


Dalam pandang sisi yang lain, saya bersetuju objektif forum tersebut yang bertujuan memberi kesedaran dan ilmu pengetahuan berkenaan dengan hak wanita. Namun, usaha ini harus dimurnikan dengan memberi penekanan soal pemilihan ahli panel agar acuan pemikiran yang dibentuk lebih bersifat adil dalam menilai sesuatu isu dan bukannya mengambil kesempatan untuk membina persepsi dan rasional yang mampu menguntungkan satu pihak sahaja terutamanya parti politik tertentu.


Jika benar penganjur telus dan adil, mengapa tidak dijemput ahli panel yang terdiri dari kepelbagaian latar belakang dan kepakaran serta bukan hanya menampilkan panelis yang berteraskan ideologi politik kepartian yang sempit semata – mata supaya mahasiswa dapat menilai secara adil dan holistik?


Perbincangan yang terbuka dan matang seperti inilah yang seharusnya diberikan penekanan selaras dengan apa yang telah disimpulkan dalam Wacana PRU13 : Siapa jadi Pilihan? yang dianjurkan Majlis Profesor Negara ( MPN ) pada 17 Januari 2013 baru – baru ini yang menyatakan bahawa tahap kematangan politik rakyat Malaysia harus dipertingkatkan.


Justeru, program yang berbaur “ hasutan “ dan juga “ doktrinisasi “ seumpama ini sewajibnya tidak diberi laluan untuk dianjurkan di dalam kampus. Atas dasar memikirkan masa depan universiti dan kebebasan intelek, suka saya mengingatkan kepada semua pentadbiran universiti IPTA mahupun IPTS, agar bersedia untuk menerima kunjungan program ini masuk dalam universiti seluruh Malaysia kerana UUM bukanlah universiti pertama menganjurkan forum sebegini pada 8 Disember 2012 memandangkan Jabatan Hal Ehwal Pelajar & Alumni Universiti Pendidikan Sultan Idris ( UPSI ) telah pun menerima kerjasama ‘parti politik’ ini pada 7 November 2012 sebagaimana yang dilampirkan melalui surat dalam portal rasmi UPSI. Agaknya pada 7 Februari 2013 akan datang, pentadbiran universiti mana perlu bersedia?



Adiela Kamarizzaman,
Timbalan Pengerusi,
Sinergi Gerakan Mahasiswi [ SIGMA ],
Gabungan Mahasiswa Islam Se – Malaysia [ GAMIS ].


Penulis juga merupakan Timbalan Presiden II Ma’ruf Club Universiti Islam Antarabangsa Malaysia sesi 2011/2012.

Thursday 17 January 2013

Listen : Kenyataan Pengerusi Sinergi Gerakan Mahasiswi, GAMIS KEDAH

Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang.

Fenomena LISTEN yang hangat dimainkan sekarang mencetuskan kemarahan dan gelombang kebangkitan dalam kalangan mahasiswa amnya dan masyarakat umumnya. Fenomena ini rentetan daripada Forum Suara Mahasiswa yang bertajuk “Seiringkah Mahasiswa & Politik” yang telah diadakan pada 8 Disember 2012 yang lalu di Dewan Muadzzam Shah, Universiti Utara Malaysia.

Isu yang dibangkitkan adalah hak dan kebebasan bersuara. Sahabat saya, Bawani KS dinafikan haknya untuk mengutarakan pendapat sebagai pengaju soalan. Tindakan Sharifah Zohra Jabeen Syed Shah Miskin yang merupakan Presiden Suara Wanita 1 Malaysia selaku moderator menunjukkan seolah-olah beliau tidak menghormati institusi pendidikan negara yang mendokong kebebasan akademik dalam berhujah dan berbeza pendapat. 

Dalam mana-mana diskusi mahupun forum, ahli panel dan juga audien mempunyai ruang dan hak untuk menyuarakan pandangan masing-masing, malahan ia perlu ditangani secara professional supaya keadaan menjadi tenang, bukan dengan memotong percakapan atau soalan yang diajukan dengan cara menarik pembesar suara sebelum sempat soalan habis diajukan. Tindakan Sharifah agak keterlaluan dan tidak menunjukkan contoh yang baik sebagai seorang pemimpin NGO yang berpendidikan di depan lebih 2000 mahasiswa yang hadir dalam forum tersebut.

Bawani KS seorang mahasiswa Universiti Utara Mahasiswa dalam jurusan Sarjana Muda Undang-Undang telah dimalukan secara terang-terangan apabila dikatakan kurang tahap pendidikan terutamanya pendidikan hormat warga yang lebih dewasa. Hal ini jelas menjatuhkan imej seorang mahasiswa. Perlu diingat mahasiswa adalah golongan intelektual dan semakin matang dalam menelaah isu-isu politik Negara. . 

Sharifah juga bukan hanya tidak menghormati soalan yang diajukan malahan memberikan analogi yang tidak masuk akal dan tidak ada kaitan dengan soalan dan fakta yang diajukan oleh saudari Bawani.

Justeru, saya bagi pihak Gamis Kedah yang juga selaku mahasiswa Universiti Utara Malaysia menggesa Presiden Suara Wanita 1 Malaysia Sharifah Zohra Jabeen Syed Shah Miskin untuk tampil kehadapan dengan kadar segera untuk memohon maaf kepada saudari Bawani secara terbuka dan terang-terangan seperti mana beliau telah menjatuhkan imej saudari Bawani secara terbuka.

Saya juga ingin merakamkan ucapan tahniah kepada Saudari Bawani yang telah menunjukkan kewibawaan seorang mahasiwa dan berani mengetengahkan isu-isu politik Negara dengan tegas dan berprinsip.

Salute to Bawani KS
We Are All Bawani !




NUR IZZATI BT HAMBALI,
Pengerusi Sinergi Gerakan Mahasiswi, GAMIS KEDAH

Wednesday 16 January 2013

Masalah Haiwan tidak selesaikan tuntutan pendidikan percuma

Setinggi ucapan tahniah dan syabas diucapkan kepada saudari Bawani atas keberanian dalam menegakkan kebenaran dan melawan arus pendoktrinan yang berlaku. Pendoktrinan dan permainan politik berat sebelah ini bukan perkara baru di Univiersiti-unviersiti tempatan. Saudari Bawani membawa dan mencetuskan satu fenomena baru takkala semangat Himpunan Kebangkitan Rakyat masih segar dan tersemat dalam diri setiap rakyat. GAMIS selaku sebuah NGO yang mengumpulkan mahasiswa-mahasiswa Islam seluruh Malaysia dan juga terlibat di dalam kancah politik tanah air memberikan sokongan penuh terhadap tindakan saudari Bawani dan pihak kami juga bersedia untuk membuat tindakan-tindakan seterusnya bagi mengembalikan kuasa mahasiswa.
Terkilan
Tiada sokongan moral kepada saudari Bawani membuatkan kami risau akan fenomena yang melanda kebanyakan mahasiswa dan mahasiswi di IPT. Sebagai seorang Islam, mendiamkan diri takkala kezaliman berlaku di depan mata adalah satu perbuatan yang tidak dibenarkan di dalam Islam. Tidak dinafikan bahawasanya mahasiswa telah hilang roh perjuangannya takkala sanggup melihat rakan sendiri dimalukan di tempat sendiri oleh orang luar.
Cabaran
GAMIS dengan ini mengambil satu inisiatif untuk mencabar Syarifah Zohra Jabeen Syed Shah Miskin untuk duduk sepentas dengan Saudari Bawani berbincang dan berdebat soal pendidikan percuma bukannya masalah haiwan. Kita sedia menyediakan tempat dan SIGMA akan menjadi moderator bagi perbincangan ini. Kami mahasiswa akan turun dan memenuhi ruang-ruang dewan jika Syarifah sedia menyahut cabaran ini.

GAMIS MENERAJU PERUBAHAN!

Ahmad Afif bin Zulkifli
Ketua Majlis Politik Nasional GAMIS

Kecaman dari gamis kedah

Uum dihebahkan dengan penyebaran video berkenaan dengan tindakan tidak professional oleh Pengerusi Suara Wanita 1 Malaysia, Sharifah Zohra Jabeen ke atas seorang mahasiswi uum, ketika mengendalikan forum mahasiswa di uum.

Beliau dilihat menghalang mahasiswi tersebut daripada memberikan pendapat berkenaan dengan isu PTPTN ketika sesi soal jawab, sedangakn itu adalah sesi soal jawab. Lebih daripada itu beliau merendah-rendahkan mahasiswi tersebut secara angkuh dihadapan orang ramai. Beliau juga mempertikaikan isi yang ingin diutarakan oleh mahasiswi tersebut dengan membuat perbandingan yang amat tidak akademik.

Tindakan sedemikian mendapat reaksi kurang senang daripada seluruh pencinta kebebasan bersuara di negara ini. Lebih-lebih lagi peristiwa ini mendapat reaksi balas daripada Timbalan Menteri Pengajian Tinggi Malaysia, Dato’ Saifuddin Abdullah yang juga kurang senang dengan tindakan Sharifah itu. Kesemua maklum balas yang diluahkan adalah mengutuk tindakan bodoh Sharifah.
Diperingkat GAMIS Kedah, kami mengutuk sekeras kerasnya tindakan biadap, tidak cerdik yang ditonjolkan oleh Pengerusi Suara Wanita 1 malaysia itu. Tindakan Sharifah itu tidak lebih kepada bersifat mengampu dan membodek pihak Kerajaan Malaysia dan pentadbir universiti. Beliau yang nampak lebih hina dan jelek dari mahasiswi tersebut.

Sepatutnya sebagai seorang wanita, beliau seharusnya bersifat secara matang dan beradab untuk mengendalikan sesuatu majlis. Bukan lebih kepada merendah rendahkan orang lain. Apa makna memegang jawatan sebagai Pengerusi Suara Wanita 1malaysia, tetapi menghalang wanita dalam berhujah. 

Kami menyeru secara terhormat agar Sharifah segera memohon maaf kepada mahasiswi tersebut secara terbuka atas tindakan beliau itu. Keangkuhan beliau memohon maaf kepada mahasiswi tersebut akan terus dikecam oleh semua pihak.

Cukuplah pihak pentadbir yang pro Kerajaan Umno BN dengan tindakan bodoh menyekat suara keramat mahasiswa. Listen! Listen! Listen! Listen! Listen! Mahasiswa sudah muak dengan permainan bodoh pihak pentadbir ini.

Amaran kami, jika pihak kerajaan masih ingin menggula gulakan mahasiwa dengan ilmu kebodohan ini, tunggulah nasibmu di Pru-13 nanti. Tahniah Bawani! Malaysia tanpa Umno!


Muhammad Zulfarid Bin Mansoor
Ketua Penerangan Gamis Kedah

Tuesday 15 January 2013

Kenyataan Rasmi Presiden Gamis terhadap Isu Bawani dan Azrul

Ulasan saya berkaitan apa yang berlaku terhadap kes Bawani di UUM dan juga kes Azrul yang digantung tugasnya di Bank Islam mencerminkan kepada kita satu perkara yang lebih penting ialah rosaknya nilai sistem di negara kita yang harus direjuvenasi segera.

Persoalan yang harus ditanya kepada semua orang ialah kenapa boleh wujudnya mereka yang bermentaliti seperti Aunty Listen yang sangat dangkal dalam cara fikir dan tindakannya malah telah disokong oleh sebahagian besar mahasiswa UUM. Tidak lebih dari bagaimana universiti hari ini lebih gemar untuk menyuntik doktrinisasi sempit berbanding memberi pencerahan yang lebih segar kepada mahasiswa.

Hasilnya sebagai contoh, pemegang-pemegang polisi pada hari ini sangat takut untuk mendengar suara dan kritikan mereka yang berbeza pandangan hingga akhirnya telah menutup ruang kepada perkembangan idea dan rasional sebagaimana yang telah menimpa Saudara Azrul yang digantung perkhidmatannya oleh Bank Islam.

Aunty Listen hanyalah mangsa yang lahir dicelah kemandulan nilai sistem yang ada di negara kita baik sistem pendidikan mahupun demokrasi.
Solving the real problem is more important rather than just playing around with presented problem. Jika tidak kita akan sentiasa melihat kemunculan orang seperti Aunty Listen ini lagi dan peristiwa ini sentiasa akan berulang tanpa kesudahan dalam epilog sejarah negara kita. 





 
















Muhamad Azan Safar
Presiden,
Gabungan Mahasiswa Islam Se-Malaysia

Demokrasi Malaysia yang mati,kemana mahu pergi?Listen,let’s GAMIS speak.



Kebobrokan dalam negara ternyata jelas apabila Ketua Ekonomi Bank Islam Malaysia Berhad (BIMB) digantung tugas hanya kerana ramalan berkaitan kekalahan tipis Barisan Nasional (BN) dalam Pilihan Raya Umum akan datang. Kenyataan Saudara Azrul Azwar Ahmad Tajuddin dalam Regional Outlook Forum di Singapura, 10 Januari lepas memaksa beliau digantung tugas gara-gara mempamerkan demokrasi matang dan hak kebebasan bersuara. 

Pada 8 disember 2012 yang lalu, Universiti Utara Malaysia,Sintok Kedah mengadakan sebuah forum bertajuk “seiringkah mahasiswa dengan politik”.Seperti kebiasaan forum lain, ruangan soal jawab dan memberi pandangan dibuka kepada semua hadirin.Lantas,bangun seorang hadirin,Saudari Bawani KS, memberi pandangan beliau.Antara pandangan yang diutarakan ialah tentang Ambiga (Pengerusi bersama Bersih) sebagai pencetus anarki di Malaysia dan Pak Samad sebagai pencetus kepada orang-orang gila yang membuat demonstrasi jalanan. Beliau kemudiannya  menjelaskan kepada sidang dewan mengenai pergerakan Bersih yang menurutnya sah di sisi undang-undang serta sebuah gerakan non-partisan. Jeliknya, belum sempat saudari Bawani menghabiskan hujah beliau,salah seorang dari panelis forum Sharifah Zohra Jabin Shah Miskin menjauhkan pembesar suara dari Saudari Bawani sebagai isyarat berhenti berhujah.Hampir 10 kali Sharifah Zohra menyebut listen dan diakhiri dengan let me speak.Akhirnya,Saudari Bawani diam tanpa menyempurnakan hujah.

Secara umum, situasi Saudara Azrul Azwar Ahmad Tajuddin dan Saudari Bawani mempunyai persamaan.Saudara Azrul Azwar mengemukakan fakta,akhirnya beliau digantung.Saudari Balwani juga mengemukakan fakta dan pandangan,beliau dimalukan.Saudara Azrul Azwar berbeza pandangan dengan pihak pemerintah,begitu juga Saudari Bawani,Akhirnya,inilah nasib mereka berdua.Persamaan paling besar dalam hal ini ialah, matinya sistem demokrasi di Malaysia.Walaupun dengan mengemukakan  fakta yang benar dan tepat kuasa emosi dan keangkuhan mengatasi segalanya.

Dalam hal ini,Gabungan Mahasiswa Islam Se-Malaysia mempunyai beberapa tuntutan kearah Malaysia yang lebih demokratik:

  1. Pihak yang bertanggungjawab harus menarik balik pergantungan tugas saudara Azrul Azwar Ahmad Tajuddin dalam tempoh 24 jam dari sekarang dan diberikan hak untuk bertugas seperti biasa.
  2. GAMIS mendesak Saudari Sharifah Zohra Jabin Shah Miskin yang juga Pengerusi Suara Wanita 1 Malaysia, memohon maaf secara terbuka kepada Saudari Bawani.Ini adalah kerana,dengan permohonan maaf tersebut,ia mengi’tiraf kuasa idealisme dan intelektualisme mahasiswa.
  3. Menjelang PRU 13,perbanyakkan debat terbuka dalam kalangan pemimpin utama negara bagi memberi peluang para pemimpin membentangkan hujah mereka.Biar rakyat menjadi hakim.Secara jujurnya,mahasiswa Malaysia masih ternanti-nanti debat antara Datuk Seri Najib Tun Razak,Perdana Menteri Malaysia dan Datuk Ser Anwar Ibrahim,Ketua Pembangkang.

Akhir,sekali GAMIS menolak budaya doktrinisasi murahan kerana ia akan mematikan hujah dan memperbodohkan masyarakat.Dalam masa yang sama, itulah petanda matinya demokrasi.Tolak doktrinisasi,hidupkan demokrasi!
GAMIS memimpin perubahan!



Saya yang benar,
Mohd Khairul Izzaz Ismail
Ketua Penerangan,
Gabungan Mahasiswa Islam Se-Malaysia (GAMIS)

Sunday 13 January 2013

Isu Kalimah “ALLAH”

Para ulama’ telah berbeza pandangan berkenaan hukum penggunaan kalimah “ALLAH” dalam kalangan orang-orang bukan Islam. Sebahagiannya berpendapat HARUS digunakan, dan sebahagian yang lain pula mengHARAMkannya. Kedua-duanya mengemukakan hujah berdasarkan kepada nas-nas al-Quran dan al-Hadith serta aspek logik akal, sejarah dan penggunaan bahasa. Lebih menarik, kedua-duanya mempunyai hujah balas terhadap satu sama lain.

Bagi memanfaatkan perbezaan itu untuk mengeluarkan hukum berkenaan dengannya (penggunaan kalimah “ALLAH”) di Malaysia, ia berhajat kepada kemahiran memerhati, meneliti dan mencermati realiti semasa dan setempat hal-hal yang berkaitan dengannya meliputi aspek sosio-budaya, politik dan perundangan.


Tidak dapat tidak, setelah ada dua pilihan, untuk memilih hanya satu, - dalam permasalahan ini – ia mesti dinilai dengan ilmu fiqh as-siyasah as-syar’iyyah secara teori dan pengalaman daripada pengamalannya untuk menimbang tara antara maslahah dan mafsadah daripadaya (kedua-dua pandangan yang berbeza itu).

Maka, biarlah para ulama’ dan sarjana-sarjana Islam di bidang sosiologi, politik dan perundangan berperanan menyelesaikannya. Namun, pandangan dan keputusan yang dibuat dengan tidak ikhlas serta dengan tujuan-tujuan batil – mendapatkan atau mempertahankan kuasa politik – mestilah ditolak dan tidak dipakai.

Apa yang penting daripada kedua-duanya (sama ada melarang atau membenarkan) ialah :

  1. Memperkasakan institusi pendidikan agama Islam di semua peringkat (pra-sekolah, rendah, menengah dan pendidikan tinggi) meliputi kurikulum dan ko-kurikulum, pengurusan dan pentadbiran, suasana pembelajaran serta kemahiran dan keupayaan para pendidik supaya setiap individu Muslim mengenal Allah dan mengesakannya serta mengimani sifat-sifat kesempurnaannya.
  2. Menaiktaraf mata pelajaran Agama Islam sebagai subjek wajib dan sebagai syarat lulus peperiksaan kepada pelajar-pelajar beragama Islam supaya mereka mengetahui dan memahami tuntutan Allah di dalam al-Quran dan al-Sunnah meliputi perkara-perkara halal dan haram serta batas-batas iman dan kufur.
  3. Memperhebatkan usaha dakwah dalam kalangan masyarakat bukan Islam melalui dialog, forum, dakwah fardhiyyah dan bantuan kebajikan agar mereka mengenali Allah, Tuhan Sekalian Alam yang telah mengutuskan seorang rasul yang membawa rahmat untuk sekalian alam dengan risalah Islam yang syumul, benar dan adil.
  4. Merangka, meminda dan menguat-kuasakan undang-undang berkaitan yang perlu bagi menangani kalimah “ALLAH” disalahgunakan sehingga mengelirukan khususnya masyarakat Islam serta menjejaskan kesucian dan sifatnya yang muqaddas.

Tugas-tugas ini mestilah dipikul secara bersama oleh semua pihak – kerajaan, parti politik, NGO, media dan masyarakat – bagi memastikan kalimah “ALLAH” menjadi yang tertinggi dan tiada yang lebih tinggi melainkanNya.
Berkelahi sehingga terpasar hukum-hukum yang bermacam-macam dan bercanggah antara satu sama lain akan semakin mengelirukan semua orang – masyarakat Islam dan bukan Islam – berkenaan penggunaan kalimah itu. Duduk, bincang dan sepakat!

Saya yang benar,
EIKHWAN ALI
Timb. Presiden,
Gabungan Mahasiswa Islam Se-Malaysia (GAMIS).

Wednesday 2 January 2013

Mahasiswa dan Pilihanraya Umum Ke-13



 Dekad ini menyaksikan mahasiswa berdepan dengan suasana yang begitu getir.Kuasa ketiga,peranan sebagai kumpulan pendesak  mesti dioptimumkan.Pilihan raya Umum ke-13,merupakan agenda utama mahasiswa Malaysia.Pelbagai analisis dbuat tentang PRU-13 akan datang.Ada yang menyatakan,Malaysia bakal ditadbir kerajaan baru,ada suara  sinis menyatakan jika bertukar pemerintahan negara ,maka huru haralah negara.Biarlah apapun analisis,kita tunggu keputusan PRU-13.

 Di sini,Gabungan Mahasiswa Islam Se-Malaysia(GAMIS)  mempunyai 3 pendirian:
1)Asas kepada perjuangan mahasiswa iaitu menjadi agen semak dan imbang bertukar kepada slogan ‘Mahasiswa Mahu Tukar Kerajaan’.Hal ini bukanlah kerana  sudah bias pada mana-mana parti,tetapi hanya dengan menukar kerajaan ,Malaysia akan selamat!
2)Mahasiswa ingin kebebasan politik yang mutlak.Jangan sekat para ahli akedemik,penjawat awam ,mahasiswa dan seluruh rakyat Malaysia  untuk menyatakan pendirian politik mereka atau parti apakah pilihan mereka.Amatlah jelik,jika kita mengisytiharkan Malaysia sebagai negara demokrasi akan tetapi hak bersuara dan berpartisipasi di sekat.
3)Mahasiswa tolak politik tidak matang,politik kotor dan seumpama dengannya.Hal ini,kerana,setiap kali datangnya pilihanraya umum,ada sahaja isu lapuk yang dimainkan.Isu kalimah allah,isu amanat Tuan Guru Haji Hadi sebagainya.Mungkin juga ia adalah untuk menutup isu utama seperti isu lynas,Deepak dan pemborosan wang negara.

 
GAMIS,sekali lagi menekankan bahawa,pada PRU 13 akan datang GAMIS bukan lagi agen semak imbang pentadbiran negara.Akan tetapi,MAHASISWA MAHU TUKAR KERAJAAN!Cukuplah tempoh uji 50 tahun yang diberikan kepada UMNO untuk memerintah negara banyak kepincangan sedikit kebaikan. Mahasiswa inginkan Malaysia lebih amanah dan adil.

MAHASISWA MAHU TUKAR KERAJAAN!

 

Saya yang benar,
Muhamad Azan Safar
Presiden Gabungan Mahasiwa Islam Se-Malaysia(GAMIS)

Tuesday 1 January 2013

2013 Tahun Kebangkitan Mahasiswa

      Lebih 1000 mahasiswa bersama Gabungan Mahasiswa Islam Semalaysia (GAMIS) telah berkumpul di Dataran Merdeka sewaktu Sambutan Tahun Baru 2013 dalam operasi Dakwah Dirasai Gamis (ORKED 2013). Dalam operasi tersebut, Presiden Gamis, Mohd Azan Safar melancarkan kempen Mahasiswa Mahu Tukar Kerajaan dengan menetapkan tahun 2013 sebagai tahun perubahan dari kekejaman rejim kepada keadilan pemerintahan.

Sesungguhnya mahasiswa pada hari ini tidak dapat bersabar lagi dengan kezaliman kerajaan sekarang. Mahasiswa pada hari ini dibebankan dengan hutang pendidikan, kos sara hidup yang tinggi dan peluang pekerjaan yang kian tipis. Mahasiswa yang tidak berkemampuan untuk membiayai bayaran pendidikan terpaksa memohon pinjaman PTPTN. Namun kerajaan pula mengambil kesempatan dengan meletakkan cas bayaran yang tinggi, dan memberikan diskaun hanya bagi yang membayar awal. Logikkah mahasiswa yang baru tamat belajar dapat membayar sejumlah wang yang banyak, ditambah pula dengan kos sara hidup yang semakin meninggi, kenaikan harga barang, harga minyak dan sebagainya? Bagai jatuh ditimpa tangga, kerajaan pula langsung tidak dapat menjamin peluang pekerjaan bagi mahasiswa yang baru tamat pembelajaran. Sungguh kasihan mahasiswa sekarang dibuli oleh kerajaan sendiri. Pekerjaan tak dapat, hutang sudah menimbun di belakang.

Ditambah pula dengan politik kotor yang dimainkan. Budaya kronisme berlegar-legar dalam kerajaan. Wang rakyat diperjudikan. Rasuah berleluasa. Kesalahan pemimpin kerajaan dipandang sebelah mata. Inikah keadilan yang kita mahukan? Oleh itu, GAMIS bersama mahasiswa komited untuk memperjuangkan nasib rakyat. Demi melihat Malaysia berkembang pesat, maju dan sejahtera rakyatnya, GAMIS berpendirian tegas bahawa kerajaan hari ini perlu ditukar dengan kerajaan yang lebih adil dan saksama.

Acara klimaks pada malam sambutan tahun baru 2013, ORKED 2013 GAMIS di Dataran Merdeka adalah gimik mahasiswa membakar kain rentang mahasiswa tukar kerajaan, beberapa topeng pemimpin politik negara seperti YAB Najib Abdul Razak dan Dato' Seri Rais Yatim. Reaksi ini memberi mesej jelas kepada kerajaan sekarang bahawa kempen GAMIS 'Mahasiswa Mahu Tukar Kerajaan' akan rancak berlangsung di seluruh negara bagi memberi kesedaran kepada rakyat akan kezaliman pemerintah sekarang.
Tahun 2013 tahun perubahan!

Saya Yang Benar,

Izzaz Ismail
Ketua Penerangan