SIGMA : DISEBALIK ISU “ LISTEN & LET ME SPEAK “ [ SIRI I ]
PENTADBIRAN UNIVERSITI
& MASA DEPAN KEBEBASAN INTELEK
Baru – baru ini negara digemparkan
dengan isu “ Listen! “ yang mendapat reaksi segera mahasiswa. Disebalik
aspirasi dan keberanian melontarkan pendapat Saudari Bawani KS dan pendekatan
Puan Sharifah Zohra menyantuni suara mahasiswi, saya terpanggil untuk
mempersoalkan rasional program seumpama ini diadakan di sebuah kampus Institusi
Pengajian Tinggi Awam ( IPTA ) yang tertakluk kepada Akta Universiti dan Kolej
Universiti ( AUKU ) 1971.
Pindaan AUKU 2012 bersetuju supaya
kampus tetap dikekalkan sebagai entiti yang bebas daripada pengaruh dan
aktiviti politik kepartian seperti ditegaskan oleh YAB Menteri Pengajian
Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin. Walaupun menerima reaksi berbeza,
pihak mahasiswa berpandangan bahawa perkara ini mestilah dihormati oleh semua
pihak.
Kewujudan entiti yang dilihat cuba bertindak sebagai “ ejen “ parti
tertentu seperti Suara Wanita 1 Malaysia ( SW1M ) bukanlah perkara baru. Setelah
meneliti aktiviti SW1M itu sendiri, ternyata ianya kaitan dengan parti politik
utama kerajaan Barisan Nasional – UMNO. SW1M mempunyai kaitan lansung dengan
Kongress India Muslim Malaysia yang diiktiraf keahliannya dalam Ahli Gabungan
UMNO pada 27 Ogos 2010. Beberapa persoalan timbul disini, apakah objektif yang
ingin dicapai oleh SW1M ini dan siapakah yang membiayai program – program
seumpama ini?
Walaupun telah disahkan tiada
pengaruh politik kepartian dalam forum ini sewaktu menerima kerjasama program
tersebut pada awalnya, pihak penganjur
seharusnya dapat menjangkakan soalan dan pandangan mahasiswa sekitar
realiti politik di Malaysia.
Dalam pandang sisi yang lain, saya
bersetuju objektif forum tersebut yang bertujuan memberi kesedaran dan ilmu
pengetahuan berkenaan dengan hak wanita. Namun, usaha ini harus dimurnikan
dengan memberi penekanan soal pemilihan ahli panel agar acuan pemikiran yang
dibentuk lebih bersifat adil dalam menilai sesuatu isu dan bukannya mengambil
kesempatan untuk membina persepsi dan rasional yang mampu menguntungkan satu
pihak sahaja terutamanya parti politik tertentu.
Jika benar penganjur telus dan adil,
mengapa tidak dijemput ahli panel yang terdiri dari kepelbagaian latar belakang
dan kepakaran serta bukan hanya menampilkan panelis yang berteraskan ideologi
politik kepartian yang sempit semata – mata supaya mahasiswa
dapat menilai secara adil dan holistik?
Perbincangan yang terbuka dan matang
seperti inilah yang seharusnya diberikan penekanan selaras dengan apa yang
telah disimpulkan dalam Wacana PRU13 :
Siapa jadi Pilihan? yang dianjurkan Majlis Profesor Negara ( MPN ) pada 17
Januari 2013 baru – baru ini yang menyatakan bahawa tahap kematangan politik
rakyat Malaysia harus dipertingkatkan.
Justeru, program yang berbaur “
hasutan “ dan juga “ doktrinisasi “ seumpama ini sewajibnya tidak diberi laluan
untuk dianjurkan di dalam kampus. Atas dasar memikirkan masa depan universiti
dan kebebasan intelek, suka saya mengingatkan kepada semua pentadbiran universiti
IPTA mahupun IPTS, agar bersedia untuk menerima kunjungan program ini masuk
dalam universiti seluruh Malaysia kerana UUM bukanlah universiti pertama
menganjurkan forum sebegini pada 8 Disember 2012 memandangkan Jabatan Hal Ehwal
Pelajar & Alumni Universiti Pendidikan Sultan Idris ( UPSI ) telah pun
menerima kerjasama ‘parti politik’ ini pada 7 November 2012 sebagaimana yang
dilampirkan melalui surat dalam portal rasmi UPSI. Agaknya pada 7 Februari 2013 akan datang, pentadbiran universiti mana
perlu bersedia?
Adiela Kamarizzaman,
Timbalan Pengerusi,
Sinergi Gerakan Mahasiswi [ SIGMA ],
Gabungan Mahasiswa Islam Se –
Malaysia [ GAMIS ].
Penulis juga merupakan Timbalan
Presiden II Ma’ruf Club Universiti
Islam Antarabangsa Malaysia sesi 2011/2012.
0 comments:
Post a Comment