Tuesday 22 January 2013

SIGMA : DISEBALIK ISU “ LISTEN & LET ME SPEAK “ [ SIRI II ] MENYEDARI PERANAN MAHASISWA SEBAGAI AGEN PERUBAHAN


SIGMA : DISEBALIK ISU “ LISTEN & LET ME SPEAK “  [ SIRI II ]
MENYEDARI PERANAN MAHASISWA SEBAGAI AGEN PERUBAHAN



Menyedari potensi mahasiswa dan menginsafi peranan universiti serta masa depan kebebasan intelek di Malaysia, saya juga berkeyakinan bahawa kerajaan sedia ada juga menghadapi krisis kepercayaan intra – parti dan tidak membudayakan etika kerja berpasukan dalam perjuangan mereka.



Isu “ Listen “ baru – baru ini menjadi bukti hal ini kerana sehingga hari ini, hampir kesemua kumpulan gabungan sekutu yang bernaung di bawah payung kerajaan Malaysia mengambil pendirian “ isolasi “ – malu untuk mengaku mereka adalah satu pasukan yang sama serta dengan mudah menyatakan “ Puan Sharifah Zohra do not represent us ” atau “KPT tidak ada kaitan dengan isu Sharifah - Bawani”.



Sayap kiri perjuangan bangsa dan negara, Wanita UMNO – Barisan Nasional juga dilihat membisu dan tidak tampil memberi sebarang komentar mahupun menyatakan pendirian. Mahasiswa bisa menterjemah tindakan diamnya mereka boleh dilihat sebagai menyatakan rasa tidak ambil peduli akibat tidak seteru dengan kewujudan SW1M itu sendiri.



 Mungkin juga Wanita UMNO – Barisan Nasional bersetuju dengan pendirian Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Najib dalam Sambutan Hari Wanita 2012 bahawa Malaysia tidak perlu ada pergerakan hak wanita. Tidak keterlaluan saya menggambarkan sikap ini mencerminkan pudarnya nilai kesatuan dan kebersamaan pasukan dalam menampung kesalahan dan risiko bersama – sama.



Ironinya, sikap ini juga membuatkan kami mahasiswa selaku pengundi muda juga turut meragui untuk mengekalkan kepimpinan sedia ada memandangkan tiga aspek pertimbangan dalam memilih kepimpinan negara Malaysia akan datang : Rekod Prestasi – Asas Perjuangan – Pemimpin yang baik ini semakin luntur dalam kerajaan yang ada hari ini.



Secara peribadi, saya bersetuju dengan tiga aspek KPI – Kayu Ukur  asas pertimbangan pengundi muda untuk memilih kepimpinan negara akan datang iaitu : Rekod Prestasi – Asas Perjuangan – Pemimpin yang baik sebagaimana yang dinyatakan oleh Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek selepas merasmikan Mesyuarat Perhimpunan Agung Tahunan Majlis Belia Malaysia ( MBN ) pada 20 Januari 2013, Ahad baru – baru ini.



Hari ini kami golongan mahasiswa sedang memerhati, menilai, belajar dan terus belajar apa yang berlaku disekeliling kami. Mahasiswa merupakan tunjang utama dalam peristiwa sejarah jatuhnya lapan orang pemimpin besar dunia seperti Juan Peron di Argentina pada tahun 1955, Perez J Menez di Venezuela (1958), Soekarno di Indonesia (1966), Ayub Khan di Pakistan (1969), Reza Pahlawi di Iran (1979), Jeneral Chun Doo Hwan di Korea Selatan (1987), Ferdinand Marcos di Filipina (1985) dan Soeharto di Indonesia (1998).



Kesemua pemimpin besar dunia di atas, digulingkan atas faktor penyelewengan dan rasuah yang berlaku dalam tempoh pentadbiran kepimpinan mereka. Ini bermakna mahasiswa sedar keperluan bangkit menentang kezaliman dan berani menggerakkan kebenaran. Potensi ini telah meyaksikan kemampuan peranan dan pengaruh aktivis mahasiswa menggerakkan perubahan sosial, budaya dan politik dalam arus kepimpinan negara.



Tidak menghairankan bahawa potensi yang ada pada mahasiswa ini menjadi tumpuan pihak berkepentingan dalam melobi pengundi muda seperti kami. Pemberian One Off - Gift khusus untuk mahasiswa seperti Baucer Buku 1 Malaysia, Kad Diskaun 1 Malaysia, rebat telefon pintar dan sebagainya adalah suatu usaha untuk membina persepsi dan mengaburi rasional pemikiran mahasiswa supaya tunduk dengan tekanan supaya kerajaan yang ada pada hari ini dipertahankan.



Saya berkeyakinan penuh hari ini mahasiswa Malaysia semakin matang menilai realiti sosial, ekonomi, politik yang berlaku dalam negara kita. Selindunglah kebenaran, mahasiswa akan cari gali bukan membuta tuli memangkah undi!




Adiela Kamarizzaman,
Timbalan Pengerusi,
Sinergi Gerakan Mahasiswa [ SIGMA ],
Gabungan Mahasiswa Islam Se – Malaysia.

0 comments:

Post a Comment