Sunday 13 January 2013

Isu Kalimah “ALLAH”

Para ulama’ telah berbeza pandangan berkenaan hukum penggunaan kalimah “ALLAH” dalam kalangan orang-orang bukan Islam. Sebahagiannya berpendapat HARUS digunakan, dan sebahagian yang lain pula mengHARAMkannya. Kedua-duanya mengemukakan hujah berdasarkan kepada nas-nas al-Quran dan al-Hadith serta aspek logik akal, sejarah dan penggunaan bahasa. Lebih menarik, kedua-duanya mempunyai hujah balas terhadap satu sama lain.

Bagi memanfaatkan perbezaan itu untuk mengeluarkan hukum berkenaan dengannya (penggunaan kalimah “ALLAH”) di Malaysia, ia berhajat kepada kemahiran memerhati, meneliti dan mencermati realiti semasa dan setempat hal-hal yang berkaitan dengannya meliputi aspek sosio-budaya, politik dan perundangan.


Tidak dapat tidak, setelah ada dua pilihan, untuk memilih hanya satu, - dalam permasalahan ini – ia mesti dinilai dengan ilmu fiqh as-siyasah as-syar’iyyah secara teori dan pengalaman daripada pengamalannya untuk menimbang tara antara maslahah dan mafsadah daripadaya (kedua-dua pandangan yang berbeza itu).

Maka, biarlah para ulama’ dan sarjana-sarjana Islam di bidang sosiologi, politik dan perundangan berperanan menyelesaikannya. Namun, pandangan dan keputusan yang dibuat dengan tidak ikhlas serta dengan tujuan-tujuan batil – mendapatkan atau mempertahankan kuasa politik – mestilah ditolak dan tidak dipakai.

Apa yang penting daripada kedua-duanya (sama ada melarang atau membenarkan) ialah :

  1. Memperkasakan institusi pendidikan agama Islam di semua peringkat (pra-sekolah, rendah, menengah dan pendidikan tinggi) meliputi kurikulum dan ko-kurikulum, pengurusan dan pentadbiran, suasana pembelajaran serta kemahiran dan keupayaan para pendidik supaya setiap individu Muslim mengenal Allah dan mengesakannya serta mengimani sifat-sifat kesempurnaannya.
  2. Menaiktaraf mata pelajaran Agama Islam sebagai subjek wajib dan sebagai syarat lulus peperiksaan kepada pelajar-pelajar beragama Islam supaya mereka mengetahui dan memahami tuntutan Allah di dalam al-Quran dan al-Sunnah meliputi perkara-perkara halal dan haram serta batas-batas iman dan kufur.
  3. Memperhebatkan usaha dakwah dalam kalangan masyarakat bukan Islam melalui dialog, forum, dakwah fardhiyyah dan bantuan kebajikan agar mereka mengenali Allah, Tuhan Sekalian Alam yang telah mengutuskan seorang rasul yang membawa rahmat untuk sekalian alam dengan risalah Islam yang syumul, benar dan adil.
  4. Merangka, meminda dan menguat-kuasakan undang-undang berkaitan yang perlu bagi menangani kalimah “ALLAH” disalahgunakan sehingga mengelirukan khususnya masyarakat Islam serta menjejaskan kesucian dan sifatnya yang muqaddas.

Tugas-tugas ini mestilah dipikul secara bersama oleh semua pihak – kerajaan, parti politik, NGO, media dan masyarakat – bagi memastikan kalimah “ALLAH” menjadi yang tertinggi dan tiada yang lebih tinggi melainkanNya.
Berkelahi sehingga terpasar hukum-hukum yang bermacam-macam dan bercanggah antara satu sama lain akan semakin mengelirukan semua orang – masyarakat Islam dan bukan Islam – berkenaan penggunaan kalimah itu. Duduk, bincang dan sepakat!

Saya yang benar,
EIKHWAN ALI
Timb. Presiden,
Gabungan Mahasiswa Islam Se-Malaysia (GAMIS).

0 comments:

Post a Comment