Tuesday 1 January 2013

2013 Tahun Kebangkitan Mahasiswa

      Lebih 1000 mahasiswa bersama Gabungan Mahasiswa Islam Semalaysia (GAMIS) telah berkumpul di Dataran Merdeka sewaktu Sambutan Tahun Baru 2013 dalam operasi Dakwah Dirasai Gamis (ORKED 2013). Dalam operasi tersebut, Presiden Gamis, Mohd Azan Safar melancarkan kempen Mahasiswa Mahu Tukar Kerajaan dengan menetapkan tahun 2013 sebagai tahun perubahan dari kekejaman rejim kepada keadilan pemerintahan.

Sesungguhnya mahasiswa pada hari ini tidak dapat bersabar lagi dengan kezaliman kerajaan sekarang. Mahasiswa pada hari ini dibebankan dengan hutang pendidikan, kos sara hidup yang tinggi dan peluang pekerjaan yang kian tipis. Mahasiswa yang tidak berkemampuan untuk membiayai bayaran pendidikan terpaksa memohon pinjaman PTPTN. Namun kerajaan pula mengambil kesempatan dengan meletakkan cas bayaran yang tinggi, dan memberikan diskaun hanya bagi yang membayar awal. Logikkah mahasiswa yang baru tamat belajar dapat membayar sejumlah wang yang banyak, ditambah pula dengan kos sara hidup yang semakin meninggi, kenaikan harga barang, harga minyak dan sebagainya? Bagai jatuh ditimpa tangga, kerajaan pula langsung tidak dapat menjamin peluang pekerjaan bagi mahasiswa yang baru tamat pembelajaran. Sungguh kasihan mahasiswa sekarang dibuli oleh kerajaan sendiri. Pekerjaan tak dapat, hutang sudah menimbun di belakang.

Ditambah pula dengan politik kotor yang dimainkan. Budaya kronisme berlegar-legar dalam kerajaan. Wang rakyat diperjudikan. Rasuah berleluasa. Kesalahan pemimpin kerajaan dipandang sebelah mata. Inikah keadilan yang kita mahukan? Oleh itu, GAMIS bersama mahasiswa komited untuk memperjuangkan nasib rakyat. Demi melihat Malaysia berkembang pesat, maju dan sejahtera rakyatnya, GAMIS berpendirian tegas bahawa kerajaan hari ini perlu ditukar dengan kerajaan yang lebih adil dan saksama.

Acara klimaks pada malam sambutan tahun baru 2013, ORKED 2013 GAMIS di Dataran Merdeka adalah gimik mahasiswa membakar kain rentang mahasiswa tukar kerajaan, beberapa topeng pemimpin politik negara seperti YAB Najib Abdul Razak dan Dato' Seri Rais Yatim. Reaksi ini memberi mesej jelas kepada kerajaan sekarang bahawa kempen GAMIS 'Mahasiswa Mahu Tukar Kerajaan' akan rancak berlangsung di seluruh negara bagi memberi kesedaran kepada rakyat akan kezaliman pemerintah sekarang.
Tahun 2013 tahun perubahan!

Saya Yang Benar,

Izzaz Ismail
Ketua Penerangan

1 comments:

  1. 'GAMIS berpendirian tegas bahawa kerajaan hari ini perlu ditukar dengan kerajaan yang lebih adil dan saksama'
    Adil dan saksama yang macam mana di maksudkan... PR ke yg adil dan saksama tue.. rasanya BN & PR pun sama jer kedua-duanya cakap tak serupa bikin..... Mahasiswa2 yang ada sekarang jauh lebih beruntung jika dibandingkan dgn alumni2 korang... Jangan jadi kufur nikmat dik... nnt Allah tarik balik baru nak muhasabah diri dah tak guna... so, adalah lebih baik adik2 belajar bersungguh-sungguh.. capai keputusan cemerlang dapat CGPA 3.5 above.. so tak payah bayar balik PTPTN tue... dan adalah lebih bermanfaat kalau adik2 study elok2, lepas study, boleh kerja atau jadi usahawan yang dapat menyumbang kepada ekonomi dan pembangunan negara dan klu nak masuk politik pun boleh.. hah time tue l baru adik perbetulkan apa yang di katakan tidak adil tue..

    ReplyDelete