Bengkel Penerangan GAMIS

Krew Penerangan GAMIS dilatih pengurusan media dan informasi

Kami Bersama-sama Rohingya

Nurul Izzah Anwar menandatangani sepanduk simbolik kebersamaan rakyat Malaysia dalam Isu Rohingya

Satira Politik Semasa GAMIS

Menampilkan seniman-seniman tanah air membacakan puisi satira mengenai isu politik semasa Malaysia

Memimpin Perjuangan

Perjuangan mestilah dipimpin dengan nilai akhlak yang tinggi...

Himpunan Aman Selamatkan Rohingya

Mengumpulkan wakil-wakil parti politik tanah air dan NGO-NGO bagi memperjuangkan nasib umat Islam Rohingya

Bersatu Demi Malaysia

Cadangan logo alternatif dari GAMIS dengan konsep merdeka rakyat, merdeka pemimpin dan bertemakan Bersatu Demi Malaysia. Logo ini adalah respon terhadap logo yang tidak professional dan tema yang tidak patriotik yang dicadangkan kerajaan Malaysia.



Thursday 27 September 2012

Bajet 2013: Mahasiswa Kecewa Prestasi Bajet 2012


Bajet 2012 yang telah diumumkan oleh Perdana Menteri pada September 2011 yang lalu dengan menunjukkan jumlah perbelanjaan yang disasarkan ialah RM232.8 Billion dengan anggaran pendapatan sebanyak RM 190 Billion. Ia merupakan bajet defisit selama 13 tahun berturut-turut bermula tahun 1998. Sungguhpun nilai defesit tahunan berkurangan kepada 4.7% berbanding tahun 2011, namun kesan daripada sikap dan amalan berhutang ini telah menjadi barah kepada mahasiswa khususnya dalam soal pinjaman pengajian.

Sebanyak RM 50.1 bilion ringgit iaitu hanya 21.6% daripada keseluruhan bajet diperuntukan untuk Pendidikan dan Pembangunan Modal Insan. Daripada jumlah itu, 37.2 bilion ringgit diperuntukkan kepada Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) manakala 12.9 bilion peruntukan yang diberikan kepada Kementerian Pengajian Tinggi. Bagi sebuah Negara membangun, fokus sepatutnya adalah ditelitikan kepada sektor pendidikan setidaknya 30% daripada jumlah keseluruhan bajet disalurkan kepada sektor yang berimpak tinggi ini. Ini sangat penting dalam memastikan pelaburan kerajaan dalam sektor ini memberikan pulangan yang positif dalam segenap aspek sesuai untuk institusi pengajian sebagai asas kepada pembangunan negara.

Dalam kemelut ekonomi yang semakin pulih dan suasana rencam negara membangun, Malaysia seharusnya memberikan fokus utama dalam melahirkan modal insan yang mampu menjana pendapatan negara pada masa akan datang. Namun malangnya, kelompok mahasiswa terus dibebankan dengan masalah hutang dan kos sara hidup yang tinggi ditambah pula dengan yuran pengajian yang mencanak naik. Kos sara hidup di Lembah Klang contohnya meningkat hampir 5% dengan kenaikan harga barang dan kegagalan kerajaan menyediakan solusi terbaik untuk menyelesaikan masalah tersebut. Hasil daripada ketempangan dalam fokus pembangunan modal insan inilah lahirnya kelompok remaja yang menjadi samseng serta keruntuhan nilai akhlak dan moral yang berlaku dalam negara yang menjadi pemain utama dalam siaran berita nasional hari ini.

Pendidikan di dalam negara seharusnya tidak diperniagakan kerana ia adalah tanggungjawab asasi sebuah kerajaan dengan memberikan pendidikan percuma kepada rakyat mereka bermula prasekolah hingga pengajian tinggi. Ini dibuktikan dengan kemampuan negara–negara membangun yang lain sperti Turki, Finland dan beberapa buah negara yang setaraf dengan kemampuan Malaysia. Kerajaan mesti berusaha kearah pelaksanaan pendidikan percuma berbanding peruntukan yang besar kepada sektor–sektor yang merugikan apatah lagi meruntuhkan pembinaan jati diri mahasiswa.

Malang sekali bagi mahasiswa yang dibebankan dengan pinjaman PTPTN yang sentiasa menghambat mereka, ia menunjukkan tidak nampak ruang yang cerah untuk mereka memenuhi peluang pekerjaan yang disediakan. Ditambah pula dengan dasar baru kerajaan yang diumumkan Perdana Menteri iaitu menaikkan had umur persaraan daripada 58 tahun kepada 60 tahun memberikan impak yang besar kepada graduan saban tahun. Ini belum lagi dikira akan kebanjiran warga asing yang mengisi tempat kerja yang sepatutnya dipenuhi oleh anak watan.

Terdapat juga kesusahan beberapa buah IPTA dan IPTS yang tidak mencukupi kelengkapan fasiliti yang sempurna hingga masih banyak universiti yang menyewa rumah kedai sebagai tempat pembelajaran dan pengajaran mereka. Mereka seolah-olah menjadi pelajar 'tabung uji' dalam keadaan universiti yang tidak bersedia untuk memenuhi keperluan asasi dalam pembelajaran. Tidak ditambah lagi dengan pertumbuhan cawangan-cawangan universiti di kawasan yang tidak strategik serta dilihat lebih kepada memenuhi pembangunan di kawasan menteri – menteri.

Mahasiswa kecewa dengan polisi dan dasar yang digunakan kerana tidak mampu memberikan impak yang besar kepada pembangunan negara pada masa akan datang. Generasi baru mesti melakukan sesuatu khususnya mengharapkan Bajet 2013 yang akan dibentangkan nanti digunakan bukan hanya untuk menjadi ‘gula-gula’ pilihanraya, tetapi menjadi pelaburan penting demi kemajuan negara pada masa hadapan.

GAMIS, Inspirasi Anak Muda!

Akram Ikrami Bin Taib Azamudden
Presiden
GabunganMahasiswa Islam SeMalaysia (GAMIS)        
            

Monday 24 September 2012

Mahasiswa Islam Tolak Politik Fitnah!


GOMBAK, 23 September – Pertubuhan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM) dengan jalinan solidariti Gabungan Mahasiswa Islam SeMalaysia (GAMIS), Kelab Rakan Siswa Islah Malaysia (KARISMA), Ma’ruf Club UIAM dan kumpulan We Unite For Islam (WUFI) semalam sepakat sebulat suara menyokong dan menuntut proses Pilihanraya Kampus (PRK) yang telus dan bersih bersempena dengan PRK yang berlangsung serentak di kebanyakan universiti di seluruh Malaysia 25 September ini.

Perkara tersebut dinyatakan dalam sidang media bersama wartawan malam kelmarin di Pusat Gerakan PKPIM di Greenwood, Gombak dengan diwakili oleh Fazril Salleh, Penolong Setiausaha PKPIM Pusat, Eikhwan Ali, Naib Presiden GAMIS, Amirudin Ismail, Presiden Ma’ruf Club UIAM, Mohd Saiful Mat Amin, Pengerusi WUFI UIAM.

Fazril Saleh dalam kenyataan beliau menegaskan PRK penting sebagai wahana kemasyarakatan dalam konteks alam kampus dalam melahirkan masyarakat yang bertanggungjawab dan beramanah untuk melantik kepimpinan melalui proses demokrasi.

Justeru solidariti pertubuhan mahasiswa Islam kelmarin sebulat suara menolak segala bentuk perancangan, tindakan dan percubaan sama ada oleh pihak Kementerian Pengajian Tinggi (KPT), mahupun pihak universiti dalam usaha memenangkan calon pilihan universiti atau ‘Pro-Universiti’.

“Segala tindakan songsang yang mencabuli prinsip-prinsip asas demokrasi dalam PRK adalah pencabulan terhadap hak mahasiswa dan penghinaan terhadap unversiti,” ujar Eikhwan Ali yang dalam masa yang sama mengecam pihak-pihak terbabit sebagai penderhaka terhadap negara dan bangsa.

Mohd Saiful Mat Amin ketika disoal mengenai kebanyakan calon yang ‘ditaja’ pihak tertentu berlatarbelakangkan islamik, beliau tidak menafikan memang wujudnya situasi tersebut khususnya di kampus UIAM berdasarkan maklumat-maklumat yang diperoleh demi memenangi hati para pengundi kampus yang semakin berminat dengan Islam.

Minggu lalu di UIAM digemparkan dengan penyebaran surat fitnah terhadap perlantikan Timbalan Dekan yang baru bagi Bahagian Hal Ehwal Pelajar UIAM, Datuk Mizan Hitam yang ditandatangani oleh Perdana Menteri Malaysia, Dato’ Seri Najib.

Selain itu, pelajar-pelajar di universiti berkenaan turut menerima beberapa risalah fitnah yang tercetak padanya dikeluarkan oleh WUFI, namun WUFI menafikan sekeras-kerasnya risalah tersebut dikeluarkan oleh pihak mereka.

Thursday 20 September 2012

PRK: Medan Persaingan Mahasiswa


Pilihanraya kampus adalah medan persaingan mahasiswa. Mereka bukan sahaja bersaing untuk menentukan siapa yang menjadi juara, malah yang lebih penting ialah pihak mana yang mampu mengekalkan nilai-nilai murni sepanjang persaingan.

Kita menolak cara politik seperti yang digambarkan oleh Aristotle, iaitu Man is a Political Animal (Manusia adalah haiwan politik) yang bermaksud aktiviti politik yang diamalkan oleh manusia adalah bersifat ‘Kehaiwanan’ bukannya ‘Kemanusiaan’

Medan Persaingan Idea, Bukan Emosi

Manifesto adalah kerangka idea mahasiswa bagi menyatakan tawaran yang disediakan oleh setiap pihak. Dalam melaksanakan manifesto tersebut, setiap pihak perlu mempunyai Political Will (Keazaman Politik) yang tinggi.

Ironinya, ada pihak yang menjadikan manifesto hanya sebagai tawaran populis iaitu sebagai daya tarikan kepada pengundi sahaja, bukannnya bermatlamat untuk dilaksanakan.

Dalam pilihanraya kampus, idea dikerah bukan sahaja dalam merangka manifesto, malah dalam merangka strategi perlu kepada idea yang kreatif dan cerdas. Soal emosi perlu dikesampingkan, bagi mengelakkan sikap cepat melatah apabila ‘diserang’ oleh pihak lawan.

Medan Persaingan Mahasiswa, Bukan Parti Politik

Pilihanraya Kampus adalah gelanggang khas bagi mahasiswa. Agak malang sekiranya ada parti politik yang ingin masuk campur dalam pilihanraya kampus.

Dalam satu siri pendedahan, iaitu Konspirasi Ops 2020, pihak Pro-Mahasiswa berjaya membongkarkan strategi UMNO untuk menawan seluruh Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) di Malaysia.

Sangat memalukan. Sepatutnya UMNO perlu menghabiskan masa mereka untuk melakukan persiapan menghadapi Pakatan Rakyat (PR) dalam Pilihanraya Umum 13 (PRU 13) bukannya masuk campur urusan mahasiswa.

Gelanggang UMNO adalah PRU-13, bukannya PRK 2012. Dan musuh politik UMNO adalah Pakatan Rakyat, bukannya mahasiswa. Itu perlu jelas

Ia telah menzalimi mahasiswa (khususnya Pro-Mahasiswa) dengan mewujudkan keadaan ‘Padang Tak Sama Rata’ persaingan antara Pro-Mahasiswa dengan Pro-Aspirasi khususnya.

Medan Persaingan Membentuk Kematangan

Lord Palmerstone (bekas Perdana Menteri Britain) menyatakan ‘In Politics There is No Friends or Enemies, There is Only Interests’ (dalam Politik Tidak ada Kawan dan Lawan, yang ada Hanyalah Kepentingan)

Mungkin bagi sesetengah pihak agak sinis dengan kenyataan tersebut, tapi bagi kami ia boleh dimurnikan iaitu dengan mengangkat nilai-nilai murni sebagai kepentingan kita. Seperti kami berkepentingan untuk memperjuangkan keadilan, kebajikan dan intelektual mahasiswa.

Selain itu, kecerdasan merangka strategi adalah sangat penting. Kreatif, analisis, berwawasan menjadi faktor utama kejayaan strategi yang dirangka. Tetapi, hakikatnya pertolongan Allah adalah yang paling hebat.

Pedoman yang boleh diambil dari kisah nabi iaitu selepas hijrah baginda ke Madinah memerlukan statistik bilangan orang yang telah melafazkan Islam. Para sahabat mengira dengan mengatakan mereka seramai 1500 orang. Ini sebagaimana yang diriwayatkan oleh Imam Bukhari dan Imam Muslim.

Ini menunjukkan bahawa Rasulullah hendak mengetahui sejauh mana kekuatan manusia pada pihaknya dengan maklumat ilmiah terperinci untuk dijadikan ketentuan dan kesesuaiannya yang jelas berdasarkan fakta serta keterangan.

Dalam memerah idea merangka manifesto dan strategi, satu nilai yang kita dapat ialah kematangan. Kemantangan tersebut juga dapat diperolehi melalui keupayaan kita menghadapi ujian kekalahan mahupun ujian kemenangan.

Salam Perjuangan

Akram Ikrami Taib Azamudden
Presiden,
Gabungan Mahasiswa Islam SeMalaysia (Gamis)

Monday 17 September 2012

Isu Penghinaan Nabi, Sisi Pandang Mahasiswa


Mencabar sentiviti agama akan mengundang polemik. Isu menghina agama Islam khususnya Nabi Muhammad SAW bukanlah perkara baharu. Isu ini telah lama berlaku. Ia muncul dan diakhiri dengan bantahan.

Begitu cantik arahan Allah yang melarang umat Islam menghina agama lain, hikmahnya supaya orang bukan Islam tidak menghina agama Islam. Seperti firman Allah:


Dan janganlah kamu memaki sembahan-sembahan yang mereka sembah selain Allah, karena mereka nanti akan memaki Allah dengan melampaui batas tanpa pengetahuan. Demikianlah Kami jadikan setiap umat menganggap baik pekerjaan mereka. Kemudian kepada Tuhan merekalah kembali mereka, lalu Dia memberitakan kepada mereka apa yang dahulu mereka kerjakan” (Al-An'am: 108)

Perbuatan menghina agama lain adalah tindakan biadap dan tidak bertamadun. Walaupun barat gah dengan peradaban mereka, hakikatnya mereka tidak mahu akur dengan kemuliaan Nabi Muhammad SAW. Sedangkan, seorang tokoh barat Michael H. Hart secara telusnya meletakkan Nabi Muhammad SAW pada kedudukan pertama sebagai manusia paling berpengaruh di dalam buku beliau The 100: A Ranking pf the Most Influential Person in History.


Gabungan Mahasiswa Islam SeMalaysia (Gamis) selaku gerakan mahasiswa islam di Malaysia memandang isu ini dalam pelbagai sudut:

1-  Isu ini muncul kerana salah faham  golongan barat terhadap peribadi sebenar Nabi Muhammad SAW


2- Isu ini ditimbul sebagai provokasi dari barat supaya umat islam bertindak luar kawalan, seterusnya akan mencemarkan nama baik Islam, seperti contoh membunuh warga barat, membakar bangunan kedutaan dn sebagainya.


3- Isu ini juga mampu menyatukan hubungan antara dua pihak yang bertentangan dari sudut fahaman agama mahupun ideologi politik. Kerana mempertahankan agama lain dari dihina adalah isu sejagat.


Perkembangan yang sangat menarik di Malysia apabila dua parti terbesar iaitu Pas dan UMNO mungkin akan bersama dalam satu demonstrasi bantahan terhadap filem kontroversi yang menghina nabi Muhammad iaitu Innocence of Muslims pada 21 September 2012.





Pihak Gamis mencadangkan penyelesaian:

1- Selain bantahan, sewajarnya umat Islam memberi kesedaran dan penjelasan sebenar peribadi nabi Muhammad dalam bentuk filem dengan pelbagai versi bahasa. Pihak parti politik seharusnya menggunakan bakat lakonan artis-artis yang sudah terlibat dengan parti mereka. Bagi Pas dan UMNO ia bukan perkara mustahil kerana Pas mempunyai Hairie Othman, Abby Abadi, Adam Hamid dan lain-lain. Manakala pihak UMNO pula Rozaidi Abdul Jamil (Zed Zaidi), Aflin Shauki Aksan dan lain-lain.

2- Golongan cerdik pandai dari kalangan ahli akademik, NGO, ahli politik mahupun mahasiswa perlu menggerakkan dialog peradaban antara agama. Dialog ini sangat penting bagi merungkai salah faham antara agama di samping itu, ia mampu mengeratkan lagi hubungan antara agama.

Gamis secara konsisten membantah segala bentuk penghinaan yang dilakukan terhadap mana-mana agama. Dalam masa yang sama pihak Gamis menyeru kepada umat Islam agar bertindak dengan penuh adab dan akhlak islam dalam menyatakan bantahan penghinaan terhadap nabi Muhammad SAW.

GAMIS, Inspirasi Anak Muda!

Akram Ikrami Taib Azamudden
Presidenm
Gabungan Mahasiswa Islam SeMalaysia (Gamis)

Sunday 16 September 2012

DESAK PEMANTAUAN KETELUSAN PRK


KUALA LUMPUR, 16 September – Enam tuntutan yang dikemukakan oleh Pro-Mahasiswa Nasional iaitu penetapan tarikh pilihanraya kampus, mahasiswa terlibat dengan pengurusan pilihanraya, pemantauan pilihanraya kampus, kebebasan berkempen, sistem pengundian yang telus dan pendidikan kepada calon.

Demikian menurut Pengerusi Pro-Mahasiswa Nasional, Edikoup Lakip Sediyanto dalam sidang media semalam sempena Perarakan Mahasiswa Nasional 2012 : Merdekakan Pilihanraya Kampus yang dianjurkan oleh gabungan front-front mahasiswa seluruh Malaysia yang pada asalnya dirancang di Dataran Merdeka.

Beliau turut mempersoalkan sikap campur tangan dan manipulasi pihak kerajaan Barisan Nasional terhadap pilihanraya kampus-kampus tempatan untuk memenangkan calon yang berpihak kepada kerajaan, yang diistilahkan beliau sebagai konspirasi Operasi Tawan 20/20 Kampus (Ops 2020).

Dalam kenyataan beliau, antara ‘jentera’ kerajaan yang digunakan dalam konspirasi Ops 2020 termasuklah Biro Tatanegara (BTN), Polis Diraja Malaysia PDRM) dan Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) itu sendiri.

“Bermula dari dahulu hingga sekarang, banyak sangat peristiwa yang merisaukan mahasiswa, kita tidak tahu sistem keadilan kampus-kampus ini bagaimana? Kita nak ada pemantau yang boleh memberikan penarafan tahap ketelusan pilihanraya kampus,” ujar Edikoup kepada media.

Perarakan Mahasiswa Nasional semalam dihadiri lebih 800 mahasiswa dari seluruh negara, yang berarak menuju ke Kompleks Beli-Belah Sogo setelah dihalang oleh pasukan polis dari memasuki Dataran Merdeka. Perarakan diselangi dengan sudut pidato oleh pimpinan-pimpinan mahasiswa dari pelbagai front, di samping nyanyian lagu kebangsaan, ikrar dan pengibaran Jalur Gemilang sebagai simbol patriotik mahasiswa sempena Hari Malaysia 16 September.

MAHASISWA IKRAR TOLAK MANIPULASI


KUALA LUMPUR, 16 September – Lebih 800 mahasiswa dari seluruh pelusuk Malaysia berhimpun dan berarak di jalan menuju ke Dataran Merdeka bagi menunjukkan solidariti mahasiswa terhadap pilihanraya kampus yang bersih dan telus di samping menunjukkan bantahan terhadap campur tangan pihak kerajaan dalam isu pilihanraya kampus.

Himpunan ini dianjurkan secara bersama oleh Gabungan Mahasiswa Islam SeMalaysia (GAMIS), Solidariti Mahasiswa Malaysia (SMM), Pro-Mahasiswa Nasional (Pro-MN), Majlis Perwakilan Pelajar Nasional (MPPN), Inspirasi Anak Muda Malaysia (Inspirasi), Aksi Mahasiswa Peduli, DEMA, Legasi Mahasiswa Progresif dan front-front lain.

Perarakan bermula pada pukul 2.30 petang di perkarangan Masjid Jamek, seterusnya berarak melalui Jalan Tun Perak, merentasi Jalan Raja Laut dan berhenti di perkarangan Kompleks Sogo. Di Sogo, beberapa pimpinan mahasiswa dari pelbagai front menyampaikan pidato antaranya Pengerusi Pro Mahasiswa Nasional, Edikoup Lakip Sediyanto, Pengerusi SMM, Safwan Anang Talib, Presiden GAMIS, Akram Ikrami, Pengerusi SIGMA, Rohayu Rusli dan beberapa pimpinan mahasiswa lain.

Safwan Anang dalam ucapan beliau menegaskan walaupun memorandum bantahan telah dihantar kepada Kementerian Pengajian Tinggi dan Hal Ehwal Pelajar di beberapa kampus, namun tuntutan-tuntutan yang dihantar tidak langsung diendahkan bahkan dibakul sampahkan.

Dalam masa yang sama, Naib Presiden GAMIS Eikhwan Ali memberi amaran kepada Perdana Menteri Malaysia, Dato’ Seri Najib Abdul Razak supaya jangan menyakiti hati rakyat jika tidak mampu memuaskan hati rakyat atau jika tidak, kerajaan sendiri akan ditumbangkan oleh rakyat.

“Kita tidak beriman kepada demokrasi, kita tidak beriman kepada pengundian (tidak), tetapi kita beriman kepada keadilan yang dibawa oleh Islam. Apa sahaja agama, apa sahaja kaum, Islam meletakkan keadilan untuk semua,” ujar Presiden GAMIS, Akram Ikrami juga dalam ucapan beliau.

Perarakan diteruskan pada pukul 3.30 petang menuju ke Dataran Merdeka melalui Jalan Tuanku Abdul Rahman. Di Dataran Merdeka, pihak polis menyekat laluan masuk ke dataran dan meminta supaya perhimpunan disuraikan secepat mungkin.

Himpunan berakhir pada pukul 4 petang dengan laungan ikrar dan lagu Negaraku oleh peserta himpunan yang hadir. Antara kandungan ikrar mahasiswa ialah memperjuangkan hak keadilan dan kebebasan kepada seluruh lapisan masyarakat di universiti, menolak sebarang tindakan memanipulasi mahasiswa, dan mengutamakan kebajikan mahasiswa.

(lagi gambar)
























Friday 14 September 2012

Pilihanraya Kampus Bersih, Telus dan Berintegriti


PENDAHULUAN
Sejak kebelakangan ini dilihat demokrasi Malaysia semakin dicalari nilai ketulenannya dengan kepentingan tertentu pihak-pihak yang tidak bertanggungjawab. Pilihanraya kampus juga turut menerima tempias apabila dimanipulasikan oleh pihak-pihak tertentu untuk kepentingan peribadi mereka. Pilihanraya kampus yang sewajarnya berada dalam keadaan suasana politik yang paling bersih dan suci telah dikotori dengan politik luar yang berkepentingan . Tindakan mereka amat teliti dan terancang dalam menggunakan jentera kerajaan dan parti politik untuk mematikan idealisma dan aktivisma mahasiswa. Maka atas dasar itu, Pro-Mahasiswa sebagai parti politik mahasiswa yang berteraskan aktivisma dan idealisma mahasiswa dalam gerakan menjadikan “Bersih Kampus” ini sebagai perjuangan utama terutama dalam mendapatkan sistem pilihanraya kampus yang bersih,adil dan berintegriti di Malaysia. Hal ini kerana ketulenan dan kesucian medan pemilihan pemimpin mahasiswa ini  mampu menjamin kepimpinan mahasiswa yang berkualiti untuk masa hadapan negara.

“Academic chairs are many, but wise and noble teachers are few; lecture-rooms are numerous and large, but the number of young people who genuinely thirst after truth and justice is small.”  
- Albert Einstein.

TUNTUTAN
1-Penetapan tarikh pilihanraya kampus
2-Mahasiswa terlibat mengurus pilihanraya kampus
3-Pemantauan perjalanan pilihanraya kampus 
4- Sistem pengundian yang telus 
5- Kebebasan berkempen
6-Peruntukan kepada calon

ISU DAN TUNTUTAN

1-Penetapan tarikh pilihanraya kampus
ISU :
a) Universiti Malaya: Pilihanraya kampus 2012 dilewatkan sehingga bulan September 2012. Pembubaran Majlis Perwakilan Pelajar telah berlaku pada 21 mac 2012. Ini menandakan telah tamat satu sesi kepimpinan mahasiswa selama satu tahun . Ini adalah pengamalan biasa  dalam pemilihan  kepimpinan mahasiswa seperti mana yang tercatat di dalam Akta Universiti Kolej Universiti (AUKU) Perkara 48(4) yang menyatakan bahawa                
                                 
         “Ahli MPP dan pemegang jawatannya hendaklah dipilih selama satu tahun”

Tetapi apa yang terjadi ialah dalam pemilihan Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) pada tahun ini tidak berlaku. Walaupun pada awalnya pihak Hal Ehwal Pelajar (HEP) telah mengumumkan dan membuat penerangan tentang sistem pilhanraya kampus termasuklah penerangan dalam sistem baru iaitu sistem zon kepada semua pelajar pada bulan mac tahun ini di Dewan Tunku Canselor, Universiti Malaya.  Perkara ini mencacatkan lagi perjalanan pemilihan kepimpinan mahasiswa di kampus sehingga tiada badan rasmi mahasiswa yang dipilih oleh pelajar untuk menguruskan hal ehwal semasa berkenaan kebajikan mahasiswa termasuk juga program-program seperti festival konvokesyen.

b) Universiti Kebangsaan Malaysia  (UKM): MPP yang sudah tamat tempoh tidak diberikan notis pembubaran. Pembubaran Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) UKM sepatutnya berlaku pada sekitar bulan februari 2012 sepertimana yang tertakluk dalam perkara 48(4) Akta Universiti Kolej Universiti apabila telah tamat satu tahun tempoh kepimpinan. Tetapi pembubaran MPP masih tidak dijalankan oleh Hal Ehwal Pelajar sehingga banyak di kalangan ahli Majlis Perwakilan Pelajar yang tahun akhir sudah habis masa belajar dan hanya menunggu masa untuk bergraduasi. Kesannya adalah kepimpinan MPP tidak cukup ahli kerana sudah ramai habis belajar. Pihak HEP juga menganggap MPP adalah badan yang tidak sah . Hal ini demikian kerana ada diantara ahli MPP bukan lagi mahasiswa yang dianggap sebagai sah apabila sudah habis masa belajar dan kesan yang paling buruk dialami oleh mahasiswa, apabila tiada badan khas yang boleh mengurus masalah kebajikan mereka.

TUNTUTAN 
Berdasarkan apa yang berlaku, mahasiswa menuntut tarikh pilihanraya kampus ditetapkan dan diletakkan di dalam takwim setiap universiti. Hal ini kerana :

1-Ketulenan demokrasi yang meraikan kepada persaingan sihat tanpa ada campur tangan politik luar yang boleh mengganggu gugat perjalanan politik kampus.
2-Persediaan yang cukup buat calon mahasiswa yang ingin bertanding .
3-Mendidik kefahaman politik mahasiswa dalam membuat persediaan bagi menghadapi musim pilihanraya kampus.

2-Mahasiswa terlibat mengurus pilihanraya kampus
ISU :
a) Universiti Malaya : 
i - Mahasiswa tidak diberikan kuasa secara langsung untuk membuat keputusan dalam membincangkan berkenaan pilihanraya kampus mereka sendiri. Pihak pentadbiran Universiti membuat perbincangan berkenaan pilihanraya kampus tanpa perbincangan bersama mahasiswa. 

TUNTUTAN : 
Mahasiswa diberikan hak dalam membuat keputusan dalam jawatankuasa  mengurus pilihanraya kampus.  Mahasiswa tidak boleh diketepikan dalam mengurus pilihanraya kampus.  Individu atau pihak yang berhak terlibat dalam mengurus pilihanraya kampus adalah mantan kepada kepimpinan MPP yang lepas. Hal ini demikian kerana :

1-Memastikan pihak pentadbiran bersikap telus dalam mengurus pilihanraya kampus bersama mahasiswa.
2-Mahasiswa mempunyai hak mengurus pilihanraya dan menentukan corak politik dan kepimpinan mereka.
3-Memainkan peranan mahasiswa dalam menentukan kepimpinan mereka dalam menggerakkan pilihanraya kampus.

3-Pemantauan pilihanraya kampus 
ISU:
a) Mahasiswa telah mendapati bahawa wujud konspirasi terancang tangan-tangan asing yang digunakan untuk mematikan aktivisma mereka yang dikenali sebagai OPS 2020. Sebuah jentera yang dirancang oleh Jabatan Perdana Menteri bertujuan untuk menyekat kemaraan mahasiswa sebelum Pilihanraya Umum ke 13. Jentera OPS 2020 ini telah dibongkarkan oleh mahasiswa sehingga isu ini dibicarakan oleh parlimen pada 20 jun 2012 yang lepas. OPS 2020 yang menggunakan jentera kerajaan seperti Biro Tata Negara, Kementerian Pengajian Tinggi, Polis Diraja Malaysia dan lain-lain institusi kerajaan untuk mematikan aktivisma mahasiswa. Maka mahasiswa terpaksa berdepan  juga dengan  jentera kerajaan. 

b) Universiti Putra Malaysia (UPM) : Isu pembatalan kemenangan 10 orang calon Pro-Mahasiswa yang berlaku pada 25 februari 2011. Mereka dibatalkan pencalonan atas alasan berkempen secara berkumpulan. Isu ini kelihatan berat sebelah kerana calon Pro-Mahasiswa sahaja yang digantung kemenangan sedangkan calon Aspirasi tidak dikenakan apa-apa tindakan. Dan melalui isu ini  menyebabkan berlakunya tragedi berdarah pecah pintu di bangunan pentadbiran Universiti Putra Malaysia.


c) Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM): 
i - Pada waktu pilihanraya kampus 21 februari 2011 jawatankuasa pelaksanan PRK di kolej  memakai baju berlambang Aspirasi untuk meraih undi sedangkan dalam peraturan melarang memakai atau menggunakan sebarang perkara yang melambangkan identiti.

ii - jawatankuasa pelaksana PRK di kolej telah mencatat nombor siri dan no matrik pelajar yang turun mengundi sedangkan dalam peraturan, kertas undi adalah  rahsia.

iii -  Selain itu, perkara yang berlaku adalah aktiviti memancing undi di tempat membuang undi. Kewujudan kaunter/pondok panas - Buku Panduan Calon . mengikut peraturan pemilihan MPP Bahagian VII Perkara 52 : Kempen tamat pada jam 12.00 malam sehari sebelum hari mengundi dan tidak  dibenarkan memancing undi di kawasan yang ditentukan di tempat mengundi.

TUNTUTAN
Wujud badan bebas yang mampu untuk menilai dan memantau sepanjang proses dan perjalanan pilihanraya kampus setiap universiti. Perkara ini bagi memastikan pilihanraya kampus berjalan secara bersih, telus dan berintigriti sepanjang tempoh pilihanraya kampus tanpa ada pihak lain yang boleh memanipulasi pilihanraya kampus untuk kepentingan peribadi. Antara badan cadangan adalah Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (SUHAKAM), Badan Pemantau Pilihanraya Malaysia (MAFREL) dan  Institute for Democracy and Economic Affairs (IDEAS). Hali ini kerana : 

1-Pilihanraya kampus boleh diukur tahap standard ketelusannya.
2-Pilihanraya kampus dapat berjalan secara bersih,telus dan berintegriti tanpa ada pemanipulasian oleh mana-mana pihak tidak bertanggungjawab
3-Menunjukkan nilai politik ahli akademik yang mampu berpilihanraya secara dipantau.

4- Sistem pengundian yang telus 
ISU :
a) Universiti Malaya :
 i - Antara yang pernah berlaku adalah ketika pilihanraya kampus januari 2010 apabila sistem e-undi yang dijalankan di Universiti Malaya berlakunya server down  semasa hari pengundian di enam buah komputer di kolej kediaman kedua belas (Raja Dr Nazrin Shah). Hampir 30 orang pelajar terhalang daripada mengundi dalam tempoh masa setengah jam tergendala.
Dan selepas itu,  satu lagi laporan diterima mengenai kes yang sama  kepada komputer-komputer pengundian di pusat mengundi kolej kediaman keempat dan sekali lagi berlaku di pusat mengundi di fakulti ekonomi dan pentadbiran (FEP). perkara ini yang menyebabkan tertubuhnya gerakan mahasiswa “BANTAH E-Voting”.

ii – Dan pada pilihanraya kampus 2011 juga berlaku masalah yang lebih kurang sama apabila tiga lagi sistem e-undi yang diperkenalkan iaitu e-penamaan, e-bantahan, e-rayuan dan e-undi. Selain itu, terdapat juga kriteria tambahan yang ditambah oleh university yang dimasukkan dalam sistem pilihanraya kampus iaitu bengkel untuk calon. 

Beberapa isu kecil telah berlaku antaranya adalah berkenaan calon yang mendaftar agak lewat tetapi masih dibenarkan untuk mendaftar bengkel dan menyebabkan dia ditolak pencalonan. 

b) Universiti Sains Malaysia : 
i – pada pilihanraya kampus 2011 , masalah yang berlaku berkenaan dengan sistem pilihanraya kampus adalah yang pertama berkenaan tentang Borang calon . Tiada penerangan untuk pengendalian borang calon diberikan oleh Hal Ehwal Pelajar. Yang kedua adalah berkaitan dengan data lengkap keputusan akhir yang tidak dipamerkan kepada semua mahasiswa. Bilangan mahasiswa yang turun mengundi secara keseluruhan, dan bilangan undi rosak tidak dipamerkan.

TUNTUTAN :
Pemurnian dan penambahbaikan sistem pilihanraya kampus dengan campuran dwi sistem elektronik dan manual. Pengundian dilakukan  secara elektronik dan boleh  mengeluarkan salinan kertas undi elektronik  untuk dimasukkan ke dalam peti undi untuk membolehkan kiraan semula dibuat . Hal ini kerana :

1-Kiraan semula boleh dibuat apabila berlaku ketidak puas hatian calon yang bertanding atau terdapat perbezaan kiraan undi yang kecil.
2-Menjamin ketelusan sistem pilihanraya tanpa ada manipulasi sistem oleh pihak-pihak yang tidak bertanggungjawab.
3-Mengelak perkara-perkara tidak terduga yang boleh menjejaskan sistem elektronik 
seperti penggodaman, putus bekalan elektrik, virus dan lain-lain.

5- Kebebasan berkempen

a) Tempoh kempen
i –Universiti Malaya : Bermula dengan pilihanraya kampus tahun 2010  sehingga tahun 2012 tempoh berkempen dipendekkan daripada tujuh hari kepada hanya 3 hari untuk berkempen kepada 15 ribu orang mahasiswa .Masa yang diberikan ini tidak mencukupi dan terlalu pendek apatah lagi calon yang bertanding terikat dengan jadual kuliah pembelajaran. Hari minggu juga turut dikira sebagai hari berkempen ,hal  ini menyusahkan pelajar untuk berkempen terutama untuk berkempen pada pelajar-pelajar di luar kampus. 

ii – Universiti Sains Malaysia : Tempoh hari berkempen tidak tetap dan dilakukan pada   hari minggu.

iii-– Universiti Teknologi Malaysia : Pada pilihanraya kampus februari 2011 lepas terdapat peraturan baru yang dibuat oleh pihak pentadbiran yang menyekat mahasiswa untuk berkempen. Antaranya :
1-speaker corner hanya boleh diadakan di tempat yang dibenarkan oleh pihak urusetia pilihanraya sahaja.
2-Setiap calon hanya terhad berucap 3 kali sahaja semasa berkempen di speaker corner
3-Tidak dibenarkan berkempen secara berkumpulan.

TUNTUTAN : 
Tempoh berkempen diberikan kepada calon yang bertanding selama 5 hari kuliah. Hal ini kerana :
1-Masa yang lebih mencukupi untuk calon berkempen kepada seluruh mahasiswa kampus.
2- tidak menyusahkan calon untuk berkempen kepada pelajar-pelajar terutama di luar kampus dan boleh fokus berkempen di dalam kampus.

b) Media bebas:
i - Universiti Tun Hussein Onn Malaysia : -Perkara yang berlaku adalah larangan calon UTHM bagi  menggunakan media laman sosial facebook pada pilihanraya kampus 2011. Kebebasan calon untuk berkempen manggunakan media massa amat terhad dan membelakangi zaman. Calon tidak dibenarkan berkempen menggunakan facebook, twitter, friendster,blog dan media massa lain. 

TUNTUTAN :
Mahasiswa diberikan kebebasan mengunakan apa jenis media dalam berkempen. Hal ini kerana :
1-Membuka seluas-luasnya peluang untuk calon mengekspresikan diri mereka dalam berkempen.
2-Berkempen seiring dengan perkembangan media massa.

c) Lokasi kempen
i - Universiti Malaya : tempat yang diberikan untuk calon mahasiswa berkempen amat terhad dan terpaksa bercampur dengan birokrasi yang tidak sepatutnya timbul. Calon mahasiswa yang diberikan autoriti oleh universiti untuk berkempen disekat untuk berkempen di kolej-kolej kediaman.  Calon terpaksa membuat permohon 2 hari awal untuk mendapat keizinan kolej-kolej kediaman sebelum dibenarkan masuk ke kolej-kolej kediaman sedangkan kolej masih di dalam lingkungan dalam university dan amat bias apabila parti yang berpihak pada university tidak perlu meminta kepada izin kolej kediaman

TUNTUTAN : 
Calon diberikan kebebasan seluas-luasnya untuk berkempen di dalam universiti termasuk kolej kediaman. Hal ini kerana :
1-tidak menghadkan calon mahasiswa untuk berjumpa semua pelajar.
2-Mengelak birokrasi yang boleh merencatkan mahasiswa untuk berkempen.

d) Mekanisma berkempen : Universiti Malaya : Mekanisma atau bahan kempen mahasiswa tidak bebas. Bahan kempen terlalu mengikat calon dan terpaksa mengikut spesifikasi yang tidak bebas. Antaranya ialah bahan kempen yang hanya dihadkan kepada jenis font, saiz fontm kandungan bahan yang tertentu seperti nama calon,fakulti dan gambar sahaja. Segala jenis banner atau poster yang tidak menepati spesifikasi akan ditolak.

TUNTUTAN : 
Calon dibenarkan untuk menggunakan apa sahaja cara dan jenis mekanisma untuk berkempen. Hal ini kerana :
1-Menambah kreativiti mahasiswa dalam berkempen dengan pelbagai jenis bahasa, corak kempen dalam bahan kempen.
2-Memberi corak pilihanraya kampus yang menarik dengan persaingan secara bebas dan sihat.

6 - Peruntukan kepada calon
a) Universiti Malaya : Ramai calon mahasiswa yang bertanding kebiasaanya menggunakan modal sendiri untuk bertanding. Modal dikeluarkan oleh mereka bagi penyediakan dana untuk bahan penerangan, bahan kempen dan lain-lain dalam proses pilihanraya kampus.

b)Universiti Kebangsaan Malaysia : Kebanyakan mahasiswa yang bertanding menggunakan modal sendiri untuk pembiayaan proses penamaan dan kempen dalam pilihanraya kampus

c)Universiti Putra Malaysia : Calon menggunakan duit sendiri dalam proses kempen  setiap pilihanraya kampus.

TUNTUTAN : 
Calon diberikan peruntukan khusus untuk bertanding samada dalam bentuk tunai atau material. Hal ini kerana :

1-Tidak membebankan mahasiswa yang berhutang dan dalam masa yang sama menyiapkan diri untuk bertanding.
2-Memberikan semangat kepada mahasiswa untuk lebih berbakti kepada universiti setelah bertanding.

PENUTUP
Mahasiswa adalah golongan cerdik pandai dan bukan pelajar sekolah. Maka cara didikannya juga adalah dengan cara mahasiswa. Maka dengan ini, Pilihanraya kampus merupakan cerminan kepada pilihanraya umum ke 13 yang akan datang. Demokrasi dan ketelusan dalam pemilihan kepimpinan kampus menjadi pendidikan politik mahasiswa dalam melahirkan bakal  pemimpin negara kelak. Ia perlulah melalui didikan politik dari alam kampus sebelum keluar menjadi pemimpin negara kelak.

Disediakan oleh:
Pro Mahasiswa Nasional