Bengkel Penerangan GAMIS

Krew Penerangan GAMIS dilatih pengurusan media dan informasi

Kami Bersama-sama Rohingya

Nurul Izzah Anwar menandatangani sepanduk simbolik kebersamaan rakyat Malaysia dalam Isu Rohingya

Satira Politik Semasa GAMIS

Menampilkan seniman-seniman tanah air membacakan puisi satira mengenai isu politik semasa Malaysia

Memimpin Perjuangan

Perjuangan mestilah dipimpin dengan nilai akhlak yang tinggi...

Himpunan Aman Selamatkan Rohingya

Mengumpulkan wakil-wakil parti politik tanah air dan NGO-NGO bagi memperjuangkan nasib umat Islam Rohingya

Bersatu Demi Malaysia

Cadangan logo alternatif dari GAMIS dengan konsep merdeka rakyat, merdeka pemimpin dan bertemakan Bersatu Demi Malaysia. Logo ini adalah respon terhadap logo yang tidak professional dan tema yang tidak patriotik yang dicadangkan kerajaan Malaysia.



Monday 30 July 2012

Sumbangan Untuk Saudara Rohingya

Hati umat Islam kembali luka, selepas isu kekejaman terhadap rakyat Syria, kini masyarakat Islam Rohingya menjadi mangsa kekejaman. 


Bukan sekadar harta benda dimusnahkan, malah mereka dibunuh dengan begitu kejam. Peristiwa tersebut menggambarkan proses 'pembersihan' etnik yang sangat dahsyat berlaku ke atas saudara kita Rohingya.


Seperti yang telah dimaklumkan sebelum ini, pihak Gabungan Mahasiswa Islam SeMalaysia (Gamis) yang diwakili oleh Akram Ikrami Taib Azamudden, Presiden Gamis telah menghadiri persidangan meja bulat "Rethinking Student Movement Reform".


Persidangan tersebut yang juga dihadiri oleh Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia dan Haluan-Siswa telah sepakat untuk memperjuangkan isu-isu umat Islam sama ada di peringkat nasional mahupun antarabangsa, yang terdekat isu Rohingya.


GAMIS menyeru semua umat Islam khususnya mahasiswa untuk bersama memperjuangkan nasib umat Islam di seluruh dunia yang ditindas. Tambahan pula pada bulan Ramadhan, usaha ini perlu dipergiatkan sesuai dengan tema bulan perjuangan.


Di samping itu, golongan mahasiswa perlu menjadi agen penyebaran maklumat, baik maklumat berbentuk digital, cetak ataupun lisan. 


Justerus, GAMIS menyeru kepada semua masyarakat untuk menghulurkan bantuan bagi membantu masyarakat Islam Rohingya. 




Berikut adalah badan yang membuat kutipan


MAPIM -


Akaun Sekretariat Himpunan Ulama Rantau Asia (MAPIM)
BIMB bernombor 12047010037282

Sunday 29 July 2012

Kenyataan Rasmi Isu Syria

SYRIA PERLUKAN KITA


Minggu lalu sahaja sekitar 800 orang rakyat Syria telah terkorban menjadikan angka korban rakyat negara itu kini telah mencecah lebih 14000 orang. Peristiwa hitam yang telah berlangsung selama 16 bulan itu sehingga kini menyaksikan pembantaian berterusan regim Bashar al-Asaad terhadap rakyatnya sendiri. Bermacam-macam usaha telah dilakukan oleh pelbagai pihak untuk mengakhirkan krisis yang sedang berlangsung itu, namun ia tidak berlaku sebagaimana yang dirancangkan.

Hasrat rakyat Syria adalah supaya kesengsaraan mereka dapat ditamatkan sama ada denganpenyelesaian secara rundingan atau kemenangan segera tentera pembebasan rakyat Syria.

Setelah 6 Perkara Pelan Keamanan Majlis Keselamatan PBB gagal dilaksanakan, terkini, persidangan di Geneva (30 Jun – 1 Julai), ‘Confrence of Islamic Ummah Supporting Syrian People’ di Istanbul (2 – 3 Julai) dan mesyuarat ‘Friends for Syria’ di Paris (7 Julai) secara umumnya telah menyatakan sokongan penuh terhadap aspirasi rakyat Syria dan mengecam tindakan kejam Bashar al-Asaad terhadap rakyatnya serta mahu ia dihentikan segera. Pelbagai pihak lain juga sedang rancak mengusahakan bantuan kemanusiaan.

Pelbagai spekulasi khususnya berkenaan hubungan regim Bashar al-Asaad dengan Israel dan AS, sebab sokongan Russia terhadap regim tersebut, rasional pendirian Iran dan kemungkinan campur tangan kuasa luar serta kesannya, telah menyebabkan tidak sedikit rakyat Syria sendiri dan umat Islam lainnya masih berkonflik untuk membuat suatu pendirian yang jelas dan tegas terhadap kemelut ini.

Hal ini dinilai oleh pemerhati terhadap sebilangan rakyat negara itu yang semacam berada di persimpangan sama ada untuk menyatakan kesetiaan kepada regim Bashar al-Asaad atau menyokong perjuangan rakyat dek kerana bimbang memikirkan kesan kejatuhan Bashar Al-Asaad akibat kebangkitan yang berlaku dan di sisi yang lain, wujud rasa tragis mengenang kekejaman yang dilakukan oleh regim Bashar al-Asaad.

Spekulasi-spekulasi itu juga telah mengundang pelbagai andaian terhadap apa yang akan berlaku di Syria, antaranya, barat akan menyerang Syria dengan bantuan negara-negara Arab dan Turki, atau kerajaan Syria berjaya mengawal keadaan dan menamatkan kebangkitan rakyat, atau akan berlaku perang saudara yang tidak dapat diramalkan masa depannya.

Apa juga hal sebenarnya tentang spekulasi tersebut, Gabungan Mahasiswa Islam Se-Malaysia (GAMIS) berpendirian bahawa sesebuah kerajaan tiada hak untuk mencabuli keamanan negara dan rakyatnya apatah lagi melakukan seperti apa yang telah berlaku di Syria, dan mengecam sebarang campur tangan kuasa luar terhadap isu dalaman Syria. Oleh itu, GAMIS menyeru semua pihak untuk turut membantah dan terus memberi tekanan supaya regim Bashar al-Asaad segera menamatkan pembunuhan terhadap rakyatnya, serta bersama-sama mengusahakan dan menyokong misi bantuan material dan spiritual untuk rakyat Syria. Syria perlukan kita!

Saya yang benar,
EIKHWAN ALI
Naib Presiden GAMIS
Sumber: http://engineermemali.blogspot.com/2012/07/syria-perlukan-kita.html

Monday 23 July 2012

Persidangan Meja Bulat "Rethinking Student Movement Reform"

Inspirasi Anak Muda (INSPIRASI) menganjurkan persidangan meja bulat "Rethinking student movement reform" pada 22 julai lalu bertempat di masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Shah Alam.

Tujuan persidangan ini untuk:

(1) Menyediakan platform perkongsian dan membina persefahaman dalam kalangan aktivis gerakan mahasiswa terhadap isu-isu penting dalam negara.

(2) Meningkatkan kesedaran penyertaan mahasiswa terhadap agenda pembangunan masa depan Malaysia

(3) Menentukan hala tuju penyelesaian alternatif terhadap sesuatu isu yang berlaku.

Persidangan tersebut membuahkan resolusi yang disepakati oleh semua barisan mahasiswa yang hadir, antaranya:

(1) Menganjurkan kongres gerakan mahasiswa Islam Malaysia bagi menyatukan semua barisan gerakan mahasiswa Islam di Malaysia dan membincangkan isu-isu umat Islam di seluruh dunia.

(2) Bertindak terhadap isu umat Islam seperti di Syria dan Burma secara drastik.

(3) Turut serta menyatakan bantahan terhadap akta zalim ISA dan juga memperjuangkan nasib tahanan ISA.

Persidangan ini tercetus hasil daripada kebangkitan rakyat di seluruh dunia. INSPIRASI yakin bahawa kebangkitan ini perlu diperhalusi dan juga diadun dengan ‘iklim' Malaysia supaya ia mampu diadaptasikan dalam gerakan mahasiswa Islam di Malaysia khususnya.

Persidangan tersebut dihadiri oleh wakil barisan mahasiswa dari Gabungan Mahasiswa Islam SeMalaysia (Gamis), Haluan-Siswa dan Persatuan Kebajikan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM).





MOHD EIKHWAN M ALI 
Pengerusi INSPIRASI
Naib Presiden Gamis




capaian isu:
http://www.keadilandaily.com/mahasiswa-sepakat-bantah-isa/


http://bm.harakahdaily.net/index.php/berita-utama/11861-mahasiswa-islam-bantah-isa-bela-nasib-mangsanya


http://www.malaysiakini.com/letters/204361

Friday 20 July 2012

Demi Kemuliaan Ramadhan


Demi Kemuliaan Ramadhan

As-Sunnah mendidik kita agar mempersiapkan diri menghadapi ramadhan iaitu sekurang-kurangnya dua bulan sebelum Ramadhan. Ini dapat dihayati melalui doa yang sering dibaca oleh nabi SAW

“Ya Allah, berkatilah kami pada bulan Rejab dan Sya’ban dan sampaikanlah kami pada bulan Ramadhan”

Islam bukan agama untuk urusan rasmi seperti yang digambarkan oleh Hujjatul Islam Imam al-Ghazali terhadap golongan al-Mutarasimun: iaitu golongan yang mengamalkan agama yang bersifat rasmi sahaja tanpa penghayatan mendalam.

Menghayati Islam sepenuh jiwa kita mampu menterjemahkan maksud Ramadhan iaitu kepanasan. Atau secara lebih mendalam ialah orang yang berpuasa akan diampunkan dosa dan disucikannya.

Hapuskan Segala Kezaliman

Demi kemuliaan Ramadhan, kami menyeru agar semua berganding bahu untuk menghapuskan segala kezaliman yang berlaku. Baik dari sudut politik, ekonomi mahupun sosial.

Hak-hak rakyat perlu dijaga dengan penuh amanah. Kerana setiap yang dipertanggungjawabkan akan dipersoalkan nanti

Kami mendesak pihak kerajaan supaya melepaskan tahanan isu ISA. Dalam masa yang sama isu-isu lama yang tidak diadili dengan baik, perlu dirujuk semula contohnya isu Memali dan sebagainya

Isu Memali bukan sekadar isu agama, tetapi ia merangkumi isu keadilan dan kemanusiaan, yang sehingga kini tiada bukti yang boleh menjatuhkan kesalahan terhadap mereka (Almarhum Ustaz Ibrahim)

Jauhi Fitnah dan Mencela

Dr Mahjah Ghalib iaitu Profesor di Universiti Al-Azhar memberi saranan kepada umat Islam sebelum menghadapi Ramadhan agar menjaga lidah dari keceluparan.

Apa gunanya puasa sekadar menahan mulut dari memakan makanan, tetapi dalam masa yang sama mulut itu juga menghampurkan fitnah sesuka hati

Sewajarnya media massa perlu dipergiatkan untuk merebut ganjaran pahala sempena Ramadhan bukannya menjadi bebanan yang cukup menyeksakan di akhirat kelak

Kendurkan Api Kemarahan dan Kebenciaan

Sama ada parti Barisan Nasional mahupun Pakatan Rakyat, cuba cari ruang perbincangan sebelum melakukan apa-apa tindakan yang agak agresif.

Dr Ezzat Atiyyah, Profesor Universiti Al-Azhar, menyuruh kita membiasakan diri menahan kemarahan sebelum bermulanya Ramadhan, agar semasa Ramadhan kita mendapat bonus kerana mampu mengawal diri daripada marah.

Tidak bermaksud di sini supaya kita mendiamkan diri walaupun teruk dizalimi, tetapi yang dimaksudkan ialah kita cuba mencari kaedah pendamaian terlebih dahulu.

Pihak Barisan Nasional selaku parti yang memerintah, seharusnya membuka seluas-luasnya ruang dialog atau perdebatan bukannya mencari dalih dengan mengatakan debat bukan budaya kita.

Demi Kemuliaan Ramadhan

Elakkan daripada melakukan perkara yang boleh merosakkan amalan kita semasa bulan Ramadhan. Rebutlah peluang yang ditawarkan oleh Allah semasa Ramadhan. Kualiti Ramadhan boleh dipertingkatkan dengan menghayati Ramadhan dalam kehidupan kita secara holistik.


Selamat Menyambut Ramadhan Al-Mubarak dari Pimpinan Gamis Pusat