Friday 20 July 2012

Demi Kemuliaan Ramadhan


Demi Kemuliaan Ramadhan

As-Sunnah mendidik kita agar mempersiapkan diri menghadapi ramadhan iaitu sekurang-kurangnya dua bulan sebelum Ramadhan. Ini dapat dihayati melalui doa yang sering dibaca oleh nabi SAW

“Ya Allah, berkatilah kami pada bulan Rejab dan Sya’ban dan sampaikanlah kami pada bulan Ramadhan”

Islam bukan agama untuk urusan rasmi seperti yang digambarkan oleh Hujjatul Islam Imam al-Ghazali terhadap golongan al-Mutarasimun: iaitu golongan yang mengamalkan agama yang bersifat rasmi sahaja tanpa penghayatan mendalam.

Menghayati Islam sepenuh jiwa kita mampu menterjemahkan maksud Ramadhan iaitu kepanasan. Atau secara lebih mendalam ialah orang yang berpuasa akan diampunkan dosa dan disucikannya.

Hapuskan Segala Kezaliman

Demi kemuliaan Ramadhan, kami menyeru agar semua berganding bahu untuk menghapuskan segala kezaliman yang berlaku. Baik dari sudut politik, ekonomi mahupun sosial.

Hak-hak rakyat perlu dijaga dengan penuh amanah. Kerana setiap yang dipertanggungjawabkan akan dipersoalkan nanti

Kami mendesak pihak kerajaan supaya melepaskan tahanan isu ISA. Dalam masa yang sama isu-isu lama yang tidak diadili dengan baik, perlu dirujuk semula contohnya isu Memali dan sebagainya

Isu Memali bukan sekadar isu agama, tetapi ia merangkumi isu keadilan dan kemanusiaan, yang sehingga kini tiada bukti yang boleh menjatuhkan kesalahan terhadap mereka (Almarhum Ustaz Ibrahim)

Jauhi Fitnah dan Mencela

Dr Mahjah Ghalib iaitu Profesor di Universiti Al-Azhar memberi saranan kepada umat Islam sebelum menghadapi Ramadhan agar menjaga lidah dari keceluparan.

Apa gunanya puasa sekadar menahan mulut dari memakan makanan, tetapi dalam masa yang sama mulut itu juga menghampurkan fitnah sesuka hati

Sewajarnya media massa perlu dipergiatkan untuk merebut ganjaran pahala sempena Ramadhan bukannya menjadi bebanan yang cukup menyeksakan di akhirat kelak

Kendurkan Api Kemarahan dan Kebenciaan

Sama ada parti Barisan Nasional mahupun Pakatan Rakyat, cuba cari ruang perbincangan sebelum melakukan apa-apa tindakan yang agak agresif.

Dr Ezzat Atiyyah, Profesor Universiti Al-Azhar, menyuruh kita membiasakan diri menahan kemarahan sebelum bermulanya Ramadhan, agar semasa Ramadhan kita mendapat bonus kerana mampu mengawal diri daripada marah.

Tidak bermaksud di sini supaya kita mendiamkan diri walaupun teruk dizalimi, tetapi yang dimaksudkan ialah kita cuba mencari kaedah pendamaian terlebih dahulu.

Pihak Barisan Nasional selaku parti yang memerintah, seharusnya membuka seluas-luasnya ruang dialog atau perdebatan bukannya mencari dalih dengan mengatakan debat bukan budaya kita.

Demi Kemuliaan Ramadhan

Elakkan daripada melakukan perkara yang boleh merosakkan amalan kita semasa bulan Ramadhan. Rebutlah peluang yang ditawarkan oleh Allah semasa Ramadhan. Kualiti Ramadhan boleh dipertingkatkan dengan menghayati Ramadhan dalam kehidupan kita secara holistik.


Selamat Menyambut Ramadhan Al-Mubarak dari Pimpinan Gamis Pusat

0 comments:

Post a Comment