Bengkel Penerangan GAMIS

Krew Penerangan GAMIS dilatih pengurusan media dan informasi

Kami Bersama-sama Rohingya

Nurul Izzah Anwar menandatangani sepanduk simbolik kebersamaan rakyat Malaysia dalam Isu Rohingya

Satira Politik Semasa GAMIS

Menampilkan seniman-seniman tanah air membacakan puisi satira mengenai isu politik semasa Malaysia

Memimpin Perjuangan

Perjuangan mestilah dipimpin dengan nilai akhlak yang tinggi...

Himpunan Aman Selamatkan Rohingya

Mengumpulkan wakil-wakil parti politik tanah air dan NGO-NGO bagi memperjuangkan nasib umat Islam Rohingya

Bersatu Demi Malaysia

Cadangan logo alternatif dari GAMIS dengan konsep merdeka rakyat, merdeka pemimpin dan bertemakan Bersatu Demi Malaysia. Logo ini adalah respon terhadap logo yang tidak professional dan tema yang tidak patriotik yang dicadangkan kerajaan Malaysia.



Thursday 26 April 2012

50k MAHASISWA AKAN SERTAI BERSIH 3.0


Sejak pengumuman secara rasmi dibuat oleh pihak Gabungan Menuntut Pilihanraya Bersih & Adil (BERSIH) tentang penganjuran himpunan BERSIH 3.0 pada 28 April ini di Dataran Merdeka, bermacam-macam respon dibuat oleh pelbagai pihak. Kini, hanya berbaki kurang 1 hari 20 jam 30 minit untuk acara itu berlansung dan respon-respon itu masih berterusan.

Di pihak Pakatan Rakyat (PR), dari Ketua Pembangkang sehinggalah kepada ahli dan penyokong bawahan, semuanya menyatakan sokongan dan memberi komitmen penuh untuk menjayakan siri ke-3 himpunan seumpama itu sejak ia diadakan buat kali pertama pada tahun 2006.

Sikap Kerajaan Malaysia yang dibuat oleh Kementerian Dalam Negeri (KDN) melalui menterinya Datuk Seri Hishamuddin Tun Hussien, atas semangat ‘menghormati’ Akta Himpunan Amam 2011, memberi reaksi yang sangat berbeza berbanding ketika penganjuran BERSIH 2.0, awal-awal lagi mengumumkan tiada halangan untuk himpunan itu diadakan.

Malangnya, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) tidak bersikap ‘proaktif’ sebagaimana KDN dalam mendepani permohonan daripada pihak BERSIH. Barangkali juga KDN dan DBKL sedang bermain wayang. Ketegasan BERSIH untuk tetap berhimpun di Dataran Merdeka menyebabkan BERSIH dan penyokongnya dilabel sebagai degil dan didakwa cuba mendoktrin rakyat Malaysia untuk tidak menghormati perlembagaan negara serta tidak menghargai keamanan yang sedang dinikmati kini.

Media (TV3, Utusan Malaysia) pula mengambil posisi terpenting untuk mempengaruhi persepsi seluruh rakyat Malaysia. Kenyataan penuh dan ‘bersuara’ oleh beberapa orang menteri, agamawan, ilmuan dan rakyat disiarkan setiap hari untuk memberitahu rakyat Malaysia bahawa himpunan BERSIH 3.0 adalah haram, akan mengancam keselamatan negara, mengganggu kehidupan warga ibu kota, doktrin sesat pembangkang dan tidak rasional. Tidak lain tujuannya melainkan untuk menjatuhkan political mileage lawan politik kerajaan atau sekurang-kurangnya mengurangkan sokongan dan kehadiran rakyat ke BERSIH 3.0.

Mahasiswa selaku kunci penting dalam pembinaan dan pembangunan masa depan Malaysia juga pasti punyai pendirian. Mahasiswa Generasi Y adalah mahasiswa yang berfikir dengan akal, berbicara dengan fakta, mendengar dengan cakna dan memerhati dengan bijaksana pasti akan berekspresi secara rasional.

Penilaiannya adalah bukan soal BN atau PR, kerajaan atau pembangkang. Tetapi asas pertimbangan mahasiswa adalah kebenaran dan keadilan, lebih-lebih lagi dalam soal proses pemilihan kepimpinan negara yang menjadi penentu kepada substance pembinaan dan pembangunan negara pada masa hadapan. Jika silap langkah, padah! Jika betul, bertuah!

Saya yakin dan percaya, serta memberi jaminan bahawa tidak kurang 50,000 mahasiswa dan anak muda akan menyertai himpunan BERSIH 3.0 pada hari Sabtu ini.

Saya yang benar,
EIKHWAN ALI
Pengerusi,
Inspirasi Anak Muda Malaysia (INSPIRASI)
___

Saudara EIKHWAN ALI juga adalah Naib Presiden Gabungan Mahasiswa Islam Se-Malaysia (GAMIS). Oleh itu, pendirian yang dinyatakan oleh beliau juga adalah mewakili pendirian GAMIS. Tulisan beliau boleh dibaca di : engineermemali.blogspot.com

Wednesday 25 April 2012

GAMIS SERU MAHASISWA TURUN BERSIH 3.0


Kenyataan Rasmi

Gabungan Mahasiswa Islam Se-Malaysia (GAMIS) menyeru seluruh mahasiswa Malaysia untuk bersama-sama menyokong Duduk & Bantah BERSIH 3.0. GAMIS menyatakan sokongan penuh terhadap 8 tuntutan Bersih untuk mendesak kerajaan melakukan reformasi menyeluruh ke atas sistem pilihanraya di Malaysia. GAMIS mewajibkan seluruh ahlinya untuk bersama-sama hadir di Dataran Merdeka pada 28 April ini.

GAMIS pada hari tersebut akan bersama-sama 84 NGO yang lain dan seluruh rakyat Malaysia di 41 buah bandaraya dan 14 negara akan berhimpun secara serentak untuk menyatakan solidariti bagi menutut pilihanraya yang lebih adil dan bersih.


Mahasiswa Mesti Turun

GAMIS melalui Presidennya, saudara Akram Ikrami Taib Azamuddeen, menyatakan mahasiswa selaku golongan terpelajar dan terdidik wajar bersama-sama BERSIH 3.0 sebagai menunjukkan solidariti dan kesungguhan untuk menolak sebarang ketidakadilan dan kepincangan dalam pelaksanaan pilihanraya di Malaysia.

Menurutnya lagi, walaupun 2 siri Himpunan BERSIH telah dibuat sebelum ini, kelihatan SPR dan Kerajaan Malaysia gagal menunjukkan komitmen untuk melakukan penambahbaikkan. Walaupun jawatankuasa khas ditubuhkan, 8 tuntutan yang antaranya membersihkan daftar pemilih dan akses media yang bebas dan adil belum ditepati seperti yang diharapkan. Tuntutan untuk menghapuskan rasuah dan politik kotor berkaitan dengan kesalahan pilihan raya juga tidak disentuh langsung oleh PSC.

Hadir dengan Kefahaman

Pengerusi Sigma, saudari Rohayu Rusli mengharapkan seluruh mahasiswa turun dengan kefahaman terhadap apa yang diperjuangkan oleh BERSIH 3.0. Katanya, “Kita tidak mahu mahasiswa dikatakan sebagai ‘golongan yang didoktrin’ dalam sebarang isu yang kita perjuangkan. Kita mesti hadir dengan kefahaman terhadap apa yang diperjuangkan oleh BERSIH 3.0. Saya menyeru seluruh mahasiswa untuk menyertai demonstrasi tersebut dengan berakhlak.”

“Kita sedar bahawa pengamalan sistem demokrasi di Malaysia menjadikan pilihanraya sebagai wadah memilih pemimpin. Kita berpegang terhadap apa yang digariskan dalam Islam untuk memilih pemimpin yang adil, berintegriti dan punya kompetensi untuk memimpin negara. Sistem yang tidak telus bakal memberi kesan pada pemerintahan negara pada masa akan datang”, demikian kata saudari Farhana Omar , Timb. Ketua Penerangan GAMIS.

Pada 9 Julai tahun lepas, laungan gerakan BERSIH 2.0 untuk reformasi pilihan raya menarik lebih 150,000 rakyat Malaysia ke Kuala Lumpur sekalipun kerajaan mengharamkan dan mengenakan tindakan keras ke atas penggerak BERSIH 2.0 dan juga mahasiswa.

Global Bersih adalah respon rakyat Malaysia yang tinggal di luar negara ke atas peristiwa bersejarah di dalam aktivisme masyarakat sivil tahun lepas, apabila rakyat Malaysia di luar negara berhimpun di 32 bandaraya dengan nama BERSIH 2.0.

Yang menggerakkan BERSIH 3.0 adalah peningkatan kuasa rakyat Malaysia di dalam dan di luar negara bagi menuntut pilihan raya bebas dan adil, terjamin oleh sistem pilihan raya yang demokratik, bebas korupsi dan sistem pilihan raya yang telus.

BERSIH 3.0 dijangka menarik ribuan mahasiswa untuk turut sama menyertai himpunan itu pada 28 April ini, jam 2 petang, di Dataran Merdeka.

GAMIS menyatakan sokongan padu kepada BERSIH 3.0, dan siap sedia memobilasi ahli untuk bersama-sama menjayakan DUDUK & BANTAH BERSIH 3.0.

Dikeluarkan oleh,
PENERANGAN GAMIS
GAMIS Inspirasi Anak Muda.


BERSIH 3.0 Beranilah kerana BENAR


Ketika artikel ini ditulis Global Bersih telah menyatakan hasrat mereka untuk meneruskan Duduk & Bantah BERSIH 3.0 di Dataran Merdeka pada 28 April 2012. Masa menunjukkan berbaki lebih kurang 3 hari 16 jam 37 minit sebelum berlakunya “Gelombang Ketiga Rakyat “ ini.

Tidak ketinggalan juga Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) yang ingin membuat perhimpunan yang boleh dikatakan sebagai ‘mengalih gelombang Bersih’ juga pada tarikh yang sama di Dataran Merbok. Maknanya, akan berlangsung pesta demokrasi yang tidak pernah disaksikan sebelum ini.Ini hanya pendapat peribadi saya. Sebelum tulisan ini diteruskan, saya ingin menyatakan saya tidak akan menyelar mana-mana pihak yang tidak mahu bersama-sama atau mengikuti himpunan tersebut. Ini hak mereka sebagai seorang rakyat Malaysia untuk memilih turut serta atau tidak. Walaubagaimanapun saya benar-benar menghormati dan mendukung hak mereka yang ingin bersama-sama untuk berhimpun dengan aman, selaras dengan peruntukan Perlembagaan Persekutuan.

Perkara 10(1)(b) Perlembagaan Persekutuan memperuntukkan bahawa semua rakyat Malaysia mempunyai hak untuk berhimpun dengan aman dan tanpa senjata. Ini selaras dengan Pengisytiharan Hak Asasi Manusia Sejagat (UDHR) yang memperuntukkan bahawa setiap orang mempunyai hak untuk berhimpun dengan aman dan untuk berpersatuan. Hak untuk berhimpun dengan aman adalah hak asasi yang dijamin Perlembagaan dan juga merupakan suatu kebebasan politik dan sivil.

Bersih 3.0,mahupun Perkasa, mereka semua mempunyai hak yang sama rata untuk berhimpun dengan aman. Perlembagaan Persekutuan tidak membezakan di antara tujuan atau merit mana-mana perhimpunan awam. Seseorang itu mempunyai hak untuk berhimpun sama ada ia untuk mendesak pemansuhan PPSMI, menyeru kebebasan badan kehakiman, menentang keganasan Zionis terhadap penduduk Palestin sejak sekian lama,memperjuang akademik freedom,  mendukung apa yang sering dikatakan sebagai ‘hak Melayu’ ataupun untuk membantah ketidakteraturan yang kononnya berlaku di dalam pemilihan dalaman sebuah parti politik. Apa yang penting hadirlah dengan kefahaman yang jelas,tidak ikut-ikutan,dan sokonglah mereka yang memperjuangkan kebenaran dan keadilan.

Oleh itu, hak tetap merupakan hak yang tidak boleh dinafikan. Persoalan mengubah corak fikir rakyat Malaysia agar lebih terbuka dan berani menyatakan hak bukanlah suatu usaha mudah. Saya begitu mengimpikan suasana demokrasi yang sebenar di bumi bertuah ini. Di dalam Islam juga menyatakan konsep HURRIYYAH yang membahaskan konsep kebebasan dalam Islam termasuk kebebasan bersuara.Bahkan Rasulullah saw juga bersabda”Berkatalah benar walau ianya pahit.”Ya,pokok persoalannya KATAKANLAH SESUATU YANG BENAR. Bersuaralah untuk anda,untuk keluarga anda,untuk masyarakat anda.

Benar, hak berhimpun ini bukanlah mutlak. Hak ini wujud selagi perhimpunan itu aman. Perkara 10(2)(b) Perlembagaan Persekutuan juga memperuntukkan bahawa Parlimen boleh mengenakan “apa-apa sekatan yang didapatinya perlu atau suai manfaat demi kepentingan keselamatan Persekutuan atau mana-mana bahagiannya atau ketenteraman awam”.

Hal ini bermaksud Parlimen boleh menggubal undang-undang yang menyekat hak berhimpun bagi kepentingan keselamatan negara atau ketenteraman awam. Sekatan terhadap hak ini di atas apa-apa tujuan lain adalah tidak berperlembagaan.

Di sini, pihak polis harus memainkan peranan mereka. Pendekatan mereka terhadap pesta demokrasi ini harus berbeza dengan cara mereka sebelum ini. Tidak perlu membazir masa dan wang untuk menghalang perhimpunan yang akan berlaku.

Tindakan menangkap berbentuk pencegahan (“pre-emptive”) untuk satu kesalahan yang belum lagi berlaku jelas menyalahi prinsip asas perundangan jenayah dan hak asasi manusia. Adakah kenyataan ini bermaksud pihak polis ingin menghalalkan penggunaan Akta Keselamatan Dalam Negeri bagi menangkap orang yang tidak bersalah? Tindakan penangkapan seperti ini tidak syak lagi adalah satu salah guna kuasa (“abuse”) yang sangat jelas oleh pihak eksekutif dan sekutunya.

Selaku penjaga kepentingan awam, “GUARDIAN OF PUBLIC INTEREST” kenyataan untuk mengambil tindakan termasuk membuat tangkapan pencegahan dilihat sebagai satu UGUTAN yang tidak wajar dikeluarkan. Tidak ada gunanya mengenakan sekatan jalan raya, menahan orang yang berbaju warna itu dan ini dan membuat tangkapan sewenang-wenangnya kerana hak berhimpun ini terang-terangan tidak wajar dihalang. Peranan polis seharusnya untuk memudahkan demonstrasi yang akan diadakan. Tidak perlu menembak cecair ataupun gas pemedih mata., tidak perlu menghuraikan perhimpunan, tunggu dan lihat, pastikan semuanya aman. sekiranya berlaku kekacauan dan kemudharatan, ketika inilah Seksyen 27 Akta Polis 1967 terpakai untuk mengawal dan menjaga ketenteraman sewaktu perhimpunan berlangsung dan bukannya digunakan untuk MENGHALANG hak rakyat dari BERHIMPUN.

GAMIS mengharapkan pihak polis menjalankan amanah & tanggungjawab dengan saksama serta mematuhi prinsip keadilan sebagai penguatkuasa Undang-undang yang  mematuhi kuasa yang diperuntukkan di bawah Seksyen 20(1), Bahagian VII Akta Polis 1967 agar kepercayaan rakyat kepada institusi kepolisan dapat dikembalikan.

GAMIS juga menyeru para demontsran untuk menunjukkan akhlak dan peribadi yang tinggi  nilai agama dan moral serta menjunjung kedaulatan undang-undang. Semoga tanggal 28 April 2012 menjadi tarikh keramat kebangkitan rakyat.

Sudah tiba masanya kita sedar bahawa demokrasi itu bukan sentiasa tersusun dan rapi, bukan sentiasa rutin dan berjadual, bukan sentiasa mudah dan senang. Tetapi demokrasi itulah yang menjadi paksi negara kita dan menjadi darah daging kita. Dengan kesedaran ini, GAMIS menyeru kepada seluruh mahasiwa,anak muda & rakyat Malaysia untuk sama-sama turun menyatakan hak pada 28 April ini. Ini adalah demonstrasi aman, disertai oleh mereka yang cintakan,memahami dan mahukan keamanan serta mahukan ketulen demokrasi berdiri di bumi Malaysia ini.

Berkata benarlah!

Nur Farhana Omar
Timb. Pengerusi INSPIRASI
Timb. Penerangan GAMIS


Monday 23 April 2012

Malam Satira Politik 2012


Seni mesti dilihat dalam kerangka yang lebih luas. Memandang seni sebagai satu medium hiburan sahaja merupakan satu kesilapan yang cukup besar. Seni merupakan senjata ampuh untuk membangkitkan semangat pejuang dan juga melemahkan semangat musuh.

Perjuangan Jose Rizal dengan menjadikan karya-karya beliau sebagai senjata untuk membangkitkan massa. Seperti novel sulung beliau, Noli me tangere. Novel ini secara terang-terangan mengecam kezaliman penjajahan Sepanyol dan merupakan satira tajam yang menceritakan kebobrokan golongan peribumi yang korup dan menjual negara kepada penjajah yang kuku besi. Pada tahun 1891, sebuah lagi novel beliau, iaitu El filibusterismo diterbikan.

Tak ketinggalan tokoh pemikir dan filasuf agung, Muhammad Iqbal yang banyak menghasilkan karya-karya yang sarat dengan pesanan untuk ummah. Antara karya beliau yang menjadi rujukan The Reconstruction of Religious Thought in Islam, Asrar i-khudi, Payam-i-Mashriq dan lain-lain.

Seperti yang direkodkan dalam sirah nabawiyah, kebiasaan Rasulullah SAW menghadapi peperangan dengan kelengkapan senjata yang tidak mencukupi, tetapi berlainan dalam bidang syair, Islam mempunyai ramai tokoh syair yang hebat. Di antara mereka ialah Hasan Bin Tsabit, Kaab Bin Malik dan Abdullah Bin Rawwahah. Syair-syair yang dilaungkan, sinis terhadap orang yang belot dalam peperangan, syair juga mengajak orang Quraisy untuk berpaling dari kesesatan dan kembali kepada Allah dan Rasul-Nya

Atas kesedaran pentingnya seni dalam agenda perubahan massa, Gabungan Mahasiswa Islam SeMalaysia (Gamis) dengan kerjasama Inspirasi Anak Muda Malaysia (Inspirasi) mengambil langkah baru dengan menganjurkan Malam Satira Politik pada 26 April 2012. Bermula pada jam 8 malam bertempat di Dataran Kemerdekaan, Shah Alam, Selangor.

Satira Politik merupakan satu inisiatif dari pihak Gamis dalam usaha untuk menyedarkan masyarakat tentang kepincangan yang berlaku dalam politik negara. Gamis membawa pendekatan satira politik sebagai satu metod yang baru dalam menyampaikan agenda yang diperjuangkan oleh Gamis iaitu ingin melihat masa depan Malaysia yang cemerlang. Idea ini diinspirasikan dari kumpulan satira politik di Myammar yang menentang regim zalim dan membela pejuang keadilan.

Antara persembahan yang bakal disajikan ialah penyampaian puisi oleh Dinsman (Presiden Paksi), nyanyian oleh Amin Iskandar (Aktivis dan Kolumnis), pidato dan penyampaian puisi oleh Aiman Athirah Al-Jundi (Ketua Penerangan Dewan Muslimat Pas Pusat), pameran kartun satira dan banyak lagi. Maklumat lanjut boleh layari http://www.mygamis.com.

Wan Mohamad Rasyadan Wan Hussin
Pengarah,
Malam Satira Politik 2012

Friday 13 April 2012

Himpunan Mansuhkan PTPTN 14 April


Isu pemansuhan Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) semakin hangat di perkatakan kini. Ia makin ketara apabila semua pihak termasuk parti politik dan pihak media 'menyambut' isu ini dengan baik.

Kemuncak isu ini mahasiswa tekad akan berhimpun di dataran merdeka pada 14 April 2012, menuntut pendidikan percuma dan mansuhkan PTPTN. Ia sebagai tanda bantahan mahasiswa terhadap penindasan yang berlaku kepada mereka oleh pihak kerajaan berhubung dengan PTPTN.

Gabungan Mahasiswa Islam SeMalaysia (Gamis) telah melancarkan deklarasi Inspirasi Anak Muda Malaysia (Inspirasi), salah satu tuntutan adalah berhubung dengan isu pembiayaan pendidikan rakyat.

Sebelum ini, Gamis telah mengeluarkan kenyataan akhbar melalui Naib Presiden 1 Eikhwan Ali, menggesa pihak Barisan Nasional dan Pakatan Rakyat mengadakan perbincangan khusus berkaitan isu PTPTN.

Memandangkan isu ini masih tidak ditangani dengan baik, Gamis akan bersama dalam himpunan 14 April 2012 dan mengajak seluruh rakyat Malaysia turut serta dalam himpunan tersebut.

Akmal Razali,
Pengerusi, 
Majlis Politik Nasional (MPN),
Gabungan Mahasiswa Islam SeMalaysia (GAMIS)

Bidang Kuasa Mahkamah Syariah: Sisi Pandang Mahasiswa


Mengikut Akta Mahkamah Syariah 1965, dapat kita melihat bahawa bidang kuasa Mahkamah Syariah di negara ini masih kecil dan terhad. Hal ini kerana, kebanyakan isu-isu yang timbul, masih tertakluk di bawah bidang kuasa Mahkamah Sivil. Mahkamah Syariah hanya berkuasa untuk membicarakan kes-kes Mal seperti kekeluargaan, perkahwinan, perceraian, pembahagian harta pusaka, murtad dan juga kes jenayah sosial seperti berjudi, minum arak dan khalwat. 

Ini memperlihatkan kepada umum betapa luasnya bidang kuasa Mahkamah Sivil kerana ianya mempunyai hak untuk membicarakan semua kes selain daripada yang telah diperincikan ke atas Mahkamah Syariah. Malah, sebelum Perlembagaan Persekutuan dipinda pada tahun 1988, Mahkamah Sivil sebenarnya telah banyak mencampuri bidangkuasa yang telah ditetapkan bagi Mahkamah Syariah. Tindakan sedemikian adalah sesuatu yang tidak patut malah dilihat tidak konsisten dan mengelirukan masyarakat yang beragama Islam di negara ini. 

GTP: Jangan Petik Buah Putik, Jangan Tunggu Buah Buruk


Setelah tiga tahun dilancarkan, Government Transformation Programme (GTP) yang diilhamkan oleh YAB Dato’ Seri Najib Tun Razak mula dibentangkan hasilnya kepada rakyat. Semasa program ‘Jelajah Janji Ditepati’ di Johor baru-baru ini, YAB Perdana Menteri telah mengumumkan bahawa pencapaian GTP berdasarkan 6 National Key Result Area (NKRA) telah melebihi target yang disasarkan dalam tempoh yang singkat.

Antara yang dibentangkan di dalam laporan itu ialah Malaysia diisytiharkan sebagai negara paling aman di asia tenggara dan juga negara paling selamat antara 19 buah negara. Sudah pasti prestasi sebegini menyerlahkan kemajuan cemerlang yang dicapai di bawah NKRA Mengurangkan Jenayah. Turut dicatatkan, berlaku pengurangan sebanyak 39.7% Jenayah Jalanan dan 11.1% Jenayah Indeks.

PTPTN: Gamis Selar Kenyataan Razali


KOTA BHARU, 12 April, Gabungan Mahasiswa Islam SeMalaysia (Gamis) menyelar tuduhan tak berasas Naib Ketua Pemuda Umno, Datuk Razali Ibrahim yang menuduh perhimpunan mansuhkan PTPTN pada 14 April nanti bukan untuk membantah pinjaman melalui Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN), sebaliknya, perhimpunan itu dirancang pembangkang untuk mengapi-apikan kemarahan mahasiswa menjelang perhimpunan BERSIH 3.0.

Gamis melalui Naib Presiden 1, Eikhwan Ali telah memberi saranan kepada Pakatan Rakyat dan Barisan Nasional supaya mengadakan perbincangan khusus bagaimana untuk menyelesaikan isu PTPTN.


Mansuh PTPTN : Gamis Sedia Anjur Sidang Meja Bulat


KUALA LUMPUR, 2 April: Gabungan Mahasiswa Islam Se-Malaysia (Gamis) bersedia menganjurkan sidang meja bulat mempertemukan wakil BN, Pakatan Rakyat dan NGO bagi membincangkan isu pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN).

Presidennya, Akram Ikrami Taib Azamudden(gambar) berkata, sidang meja bulat itu diyakini mampu mencari penyelesaian terhadap beban yang terpaksa ditanggung mahasiswa yang menggunakan pembiayaan PTPTN.

"Melihat kepada respon yang amat positif, Gamis bertindak proaktif sedia menjadi penganjur sidang meja bulat isu pembiayaan pengajian mahasiswa khususnya dalam konteks semasa iaitu PTPTN sekiranya dipersetujui oleh pihak berkenaan.