Kenyataan Rasmi
Gabungan Mahasiswa Islam Se-Malaysia (GAMIS) menyeru seluruh mahasiswa
Malaysia untuk bersama-sama menyokong Duduk & Bantah BERSIH 3.0. GAMIS
menyatakan sokongan penuh terhadap 8 tuntutan Bersih untuk mendesak kerajaan
melakukan reformasi menyeluruh ke atas sistem pilihanraya di Malaysia. GAMIS
mewajibkan seluruh ahlinya untuk bersama-sama hadir di Dataran Merdeka pada 28
April ini.
GAMIS pada hari tersebut akan bersama-sama 84 NGO yang lain dan seluruh rakyat
Malaysia di 41 buah bandaraya dan 14 negara akan berhimpun secara serentak
untuk menyatakan solidariti bagi menutut pilihanraya yang lebih adil dan
bersih.
Mahasiswa Mesti Turun
GAMIS melalui Presidennya, saudara Akram Ikrami Taib Azamuddeen, menyatakan
mahasiswa selaku golongan terpelajar dan terdidik wajar bersama-sama BERSIH 3.0
sebagai menunjukkan solidariti dan kesungguhan untuk menolak sebarang
ketidakadilan dan kepincangan dalam pelaksanaan pilihanraya di Malaysia.
Menurutnya lagi, walaupun 2 siri Himpunan BERSIH telah dibuat sebelum ini,
kelihatan SPR dan Kerajaan Malaysia gagal menunjukkan komitmen untuk melakukan
penambahbaikkan. Walaupun jawatankuasa khas ditubuhkan, 8 tuntutan yang
antaranya membersihkan daftar pemilih dan akses media yang bebas dan adil belum
ditepati seperti yang diharapkan. Tuntutan untuk menghapuskan rasuah dan
politik kotor berkaitan dengan kesalahan pilihan raya juga tidak disentuh
langsung oleh PSC.
Hadir dengan Kefahaman
Pengerusi Sigma, saudari Rohayu Rusli mengharapkan seluruh mahasiswa turun
dengan kefahaman terhadap apa yang diperjuangkan oleh BERSIH 3.0. Katanya, “Kita tidak mahu mahasiswa dikatakan sebagai
‘golongan yang didoktrin’ dalam sebarang isu yang kita perjuangkan. Kita mesti
hadir dengan kefahaman terhadap apa yang diperjuangkan oleh BERSIH 3.0. Saya menyeru
seluruh mahasiswa untuk menyertai demonstrasi tersebut dengan berakhlak.”
“Kita sedar bahawa pengamalan
sistem demokrasi di Malaysia menjadikan pilihanraya sebagai wadah memilih
pemimpin. Kita berpegang terhadap apa yang digariskan dalam Islam untuk memilih
pemimpin yang adil, berintegriti dan punya kompetensi untuk memimpin negara.
Sistem yang tidak telus bakal memberi kesan pada pemerintahan negara pada masa
akan datang”, demikian kata saudari Farhana Omar , Timb. Ketua
Penerangan GAMIS.
Pada 9 Julai tahun lepas, laungan gerakan BERSIH 2.0 untuk reformasi
pilihan raya menarik lebih 150,000 rakyat Malaysia ke Kuala Lumpur sekalipun
kerajaan mengharamkan dan mengenakan tindakan keras ke atas penggerak BERSIH
2.0 dan juga mahasiswa.
Global Bersih adalah respon rakyat Malaysia yang tinggal di luar negara ke
atas peristiwa bersejarah di dalam aktivisme masyarakat sivil tahun lepas,
apabila rakyat Malaysia di luar negara berhimpun di 32 bandaraya dengan nama
BERSIH 2.0.
Yang menggerakkan BERSIH 3.0 adalah peningkatan kuasa rakyat Malaysia di
dalam dan di luar negara bagi menuntut pilihan raya bebas dan adil, terjamin
oleh sistem pilihan raya yang demokratik, bebas korupsi dan sistem pilihan raya
yang telus.
BERSIH 3.0 dijangka menarik ribuan mahasiswa untuk turut sama menyertai
himpunan itu pada 28 April ini, jam 2 petang, di Dataran Merdeka.
GAMIS menyatakan sokongan padu kepada BERSIH 3.0, dan siap sedia memobilasi
ahli untuk bersama-sama menjayakan DUDUK & BANTAH BERSIH 3.0.
Dikeluarkan oleh,
PENERANGAN GAMIS
GAMIS Inspirasi Anak Muda.
0 comments:
Post a Comment