Friday 13 April 2012

Bidang Kuasa Mahkamah Syariah: Sisi Pandang Mahasiswa


Mengikut Akta Mahkamah Syariah 1965, dapat kita melihat bahawa bidang kuasa Mahkamah Syariah di negara ini masih kecil dan terhad. Hal ini kerana, kebanyakan isu-isu yang timbul, masih tertakluk di bawah bidang kuasa Mahkamah Sivil. Mahkamah Syariah hanya berkuasa untuk membicarakan kes-kes Mal seperti kekeluargaan, perkahwinan, perceraian, pembahagian harta pusaka, murtad dan juga kes jenayah sosial seperti berjudi, minum arak dan khalwat. 

Ini memperlihatkan kepada umum betapa luasnya bidang kuasa Mahkamah Sivil kerana ianya mempunyai hak untuk membicarakan semua kes selain daripada yang telah diperincikan ke atas Mahkamah Syariah. Malah, sebelum Perlembagaan Persekutuan dipinda pada tahun 1988, Mahkamah Sivil sebenarnya telah banyak mencampuri bidangkuasa yang telah ditetapkan bagi Mahkamah Syariah. Tindakan sedemikian adalah sesuatu yang tidak patut malah dilihat tidak konsisten dan mengelirukan masyarakat yang beragama Islam di negara ini. 


Selepas beberapa kontroversi yang wujud kesan daripada campur tangan Mahkamah Sivil keatas Mahkamah Syariah, pindaan dibuat dengan memasukkan Fasal 1A kedalam Perkara 121 pada tahun 1988. Dengan wujudnya fasal baru ini, ternyata bidangkuasa kedua-dua mahkamah menjadi lebih jelas dan kedua-duanya dapat memainkan peranan dengan baik. 

Ternyata setelah itu, jika wujud ura-ura campur tangan daripada Mahkamah Sivil keatas Mahkamah Syariah, pakar perundangan negara akan segera mengingatkan tentang pemisahan bidang kuasa kedua-dua mahkamah seperti yang termaktub dalam Fasal 1A Perkara 121 Perlembagaan Persekutuan.  

Secara lazimnya, apabila bidang kuasa Mahkamah Syariah hanya tertakluk kepada kes-kes seperti yang dibicarakan diatas, sudah pasti denda dan hukuman yang dikenakan juga adalah setimpal dengan bidang kuasa yang terhad itu. Umum mengetahui, denda dan hukuman yang dikenakan adalah sangat sinonim dengan angka 356. Apakah maksud disebalik angka 356 ini? 3 itu adalah bagi hukuman denda yang tidak melebihi 3 tahun penjara, 5 itu adalah bagi denda yang tidak melebihi RM 5,000 dan 6 itu adalah bagi hukuman rotan tidak melebihi 6 sebatan. Ini bermakna, untuk kesalahan-kesalahan yang termaktub di dalam bidang kuasa Mahkamah Syariah, angka 356 itu adalah denda dan hukuman yang paling maksimum yang boleh dijatuhkan oleh Mahkamah Syariah terhadap pesalah-pesalahnya yang sudah pasti beragama Islam.  

Manakala, jika dilihat bidang kuasa yang diperuntukkan kepada Mahkamah Sivil  sangat meluas malahan denda yang dikenakan juga melangkaui angka 3 tahun penjara, denda tidak melebihi RM 5,000 dan rotan tidak melebihi 6 sebatan.  

Ironinya disini, jika setelah 31 tahun merdeka, pemimpin Malaysia dan pakar perundangan negara dapat melihat dengan jelas akan kepentingan pemisahan bidang kuasa Mahkamah Syariah dengan memperuntukkan Fasal 1A kedalam Perkara 121 Perlembagaan Persekutuan. Maka mengapa setelah hampir 55 tahun Malaysia bebas mengurus sendiri ini, kita masih belum mampu mempertingkatkan kualiti denda dan hukuman 356 tersebut. Implikasinya kepada masyarakat atau khususnya kepada pesalah-pesalah yang melakukan kesalahan dibawah bidang kuasa Mahkamah Syariah ini adalah sangat kurang memberi makna kepada jati diri mereka sebagai seorang yang menganut agama Islam. Ini berlaku apabila denda dan hukuman yang diperuntukkan dipandang ringan oleh mereka, berbanding denda dan hukuman yang diperuntukkan oleh Mahkamah Sivil. Kerajaan pada hari ini perlu melakukan sesuatu yang sewajarnya, bagi mendidik jiwa masyarakat Islam di negara ini agar undang-undang Islam itu tidak di pandang remeh oleh mereka. 

Selain itu, isu perbankan Islam juga semakin hangat dibincangkan. Tambahan pula, Malaysia pada hari ini mempelopori bidang ini sehingga negara-negara luar banyak merujuk kepada penasihat syariah dari Malaysia untuk mengembangkan perbankan Islam di negara mereka. Tidak dinafikan ini adalah sesuatu yang amat baik bagi Malaysia amnya dan secara tidak langsung mengangkat martabat Islam dimata dunia. Namun, apa yang berlaku di Malaysia, apabila meluasnya isu perbankan Islam dan wujudnya beberapa masalah, perkara ini tidak dibicarakan di Mahkamah Syariah, tetapi dibicarakan di Mahkamah Sivil disebabkan beberapa faktor. Antaranya ialah isu perbankan Islam yang termaktub dibawah List 1 Ninth Schedule. Di sini Parlimen mempunyai kuasa untuk menggubal undang-undang dan disebabkan itulah isu ini dibawa kepada bidang kuasa Mahkamah Sivil. Berdasarkan contoh kes BIMB vs. Adnan Bin Omar [1994], hakim telah memutuskan bahawa Bank Islam itu adalah satu entiti yang tidak bernyawa yang mempunyai agama sepertimana seorang Islam. Oleh itu, isu Bank Islam tidak boleh dibicarakan di Mahkamah Syariah kerana peruntukan undang-undang yang ada mengehadkan hanya mereka yang beragama Islam tertakluk di bawah bidang kuasa Mahkamah Syariah. Itulah keputusannya jika hakim mentafsir secara literal, sedangkan hakim boleh meneliti isu ini dengan lebih mendalam dengan menggunakan prinsip golden view iaitu dengan melihat siapakah orang disebalik Bank Islam yang mengurus perbankan itu. Sudah semestinya orang yang bertanggungjawab dalam perbankan ini adalah mereka yang beragama Islam. Oleh itu, isu agama bukan lagi satu isu besar untuk menafikan hak Mahkamah Syariah bagi membicarakan isu perbankan Islam.  

Pada asasnya, isu ini sepatutnya dibicarakan di Mahkamah Syariah kerana hakim di Mahkamah Sivil tidak mempunyai ilmu muamalat Islam yang mantap seperti hakim-hakim yang ada di Mahkamah Syariah. Ini kerana, hakim-hakim di Mahkamah Syariah itu sendiri mempunyai asas ilmu syariah yang lebih jitu. Kesannya disini, telah wujud banyak kesalahan dalam keputusan isu perbankan Islam yang dibicarakan di Mahkamah Sivil dan secara tidak langsung, masyarakat juga berasa terkilan dengan keputusan hakim dan sistem yang ada. Kesalahan yang diputuskan oleh hakim di Mahkamah Sivil ini amat membimbangkan banyak pihak, walaupun pada dasarnya mereka ada merujuk kepada penasihat-penasihat syariah sebelum memutuskan sesuatu keputusan. Namun kesalahan itu masih wujud dan malah dilihat tidak sepatutnya berlaku. 

Ya,bukan mudah untuk mengubah sesuatu yang telah lama dipraktiskan. Tetapi selagi mana isu tersebut masih mampu ditangani oleh manusia, ianya adalah sesuatu yang tidak mustahil dengan izin Tuhan.Persoalannya sejauhmana kesungguhan isu ini diteliti dan diambil perhatian? Besar harapan kami INSPIRASI agar isu ini diteliti dan diperjuangkan.  Pemimpin yang budiman sekalian harus meneliti perkara ini dengan bijak kerana ianya menyentuh hak masyarakat, maslahah ummah dan martabat Islam itu sendiri. Konsep perbankan Islam hukumnya adalah harus disisi Islam malah syariah telah menggariskan konsep tersebut dengan begitu cantik sekali di bawah bab muamalat. Pada pandangan saya sepatutnya, aplikasinya juga haruslah berlandaskan syara’ dan diletakkan di bawah bidangkuasa Mahkamah Syariah agar  maqsad syariah itu sendiri dapat dipelihara. 

Nur Farhana Omar, 
Timb. Ketua Penerangan, Gamis
Timb. Pengerusi Inspirasi Anak Muda Malaysia (INSPIRASI)

0 comments:

Post a Comment