Wednesday 25 April 2012

BERSIH 3.0 Beranilah kerana BENAR


Ketika artikel ini ditulis Global Bersih telah menyatakan hasrat mereka untuk meneruskan Duduk & Bantah BERSIH 3.0 di Dataran Merdeka pada 28 April 2012. Masa menunjukkan berbaki lebih kurang 3 hari 16 jam 37 minit sebelum berlakunya “Gelombang Ketiga Rakyat “ ini.

Tidak ketinggalan juga Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) yang ingin membuat perhimpunan yang boleh dikatakan sebagai ‘mengalih gelombang Bersih’ juga pada tarikh yang sama di Dataran Merbok. Maknanya, akan berlangsung pesta demokrasi yang tidak pernah disaksikan sebelum ini.Ini hanya pendapat peribadi saya. Sebelum tulisan ini diteruskan, saya ingin menyatakan saya tidak akan menyelar mana-mana pihak yang tidak mahu bersama-sama atau mengikuti himpunan tersebut. Ini hak mereka sebagai seorang rakyat Malaysia untuk memilih turut serta atau tidak. Walaubagaimanapun saya benar-benar menghormati dan mendukung hak mereka yang ingin bersama-sama untuk berhimpun dengan aman, selaras dengan peruntukan Perlembagaan Persekutuan.

Perkara 10(1)(b) Perlembagaan Persekutuan memperuntukkan bahawa semua rakyat Malaysia mempunyai hak untuk berhimpun dengan aman dan tanpa senjata. Ini selaras dengan Pengisytiharan Hak Asasi Manusia Sejagat (UDHR) yang memperuntukkan bahawa setiap orang mempunyai hak untuk berhimpun dengan aman dan untuk berpersatuan. Hak untuk berhimpun dengan aman adalah hak asasi yang dijamin Perlembagaan dan juga merupakan suatu kebebasan politik dan sivil.

Bersih 3.0,mahupun Perkasa, mereka semua mempunyai hak yang sama rata untuk berhimpun dengan aman. Perlembagaan Persekutuan tidak membezakan di antara tujuan atau merit mana-mana perhimpunan awam. Seseorang itu mempunyai hak untuk berhimpun sama ada ia untuk mendesak pemansuhan PPSMI, menyeru kebebasan badan kehakiman, menentang keganasan Zionis terhadap penduduk Palestin sejak sekian lama,memperjuang akademik freedom,  mendukung apa yang sering dikatakan sebagai ‘hak Melayu’ ataupun untuk membantah ketidakteraturan yang kononnya berlaku di dalam pemilihan dalaman sebuah parti politik. Apa yang penting hadirlah dengan kefahaman yang jelas,tidak ikut-ikutan,dan sokonglah mereka yang memperjuangkan kebenaran dan keadilan.

Oleh itu, hak tetap merupakan hak yang tidak boleh dinafikan. Persoalan mengubah corak fikir rakyat Malaysia agar lebih terbuka dan berani menyatakan hak bukanlah suatu usaha mudah. Saya begitu mengimpikan suasana demokrasi yang sebenar di bumi bertuah ini. Di dalam Islam juga menyatakan konsep HURRIYYAH yang membahaskan konsep kebebasan dalam Islam termasuk kebebasan bersuara.Bahkan Rasulullah saw juga bersabda”Berkatalah benar walau ianya pahit.”Ya,pokok persoalannya KATAKANLAH SESUATU YANG BENAR. Bersuaralah untuk anda,untuk keluarga anda,untuk masyarakat anda.

Benar, hak berhimpun ini bukanlah mutlak. Hak ini wujud selagi perhimpunan itu aman. Perkara 10(2)(b) Perlembagaan Persekutuan juga memperuntukkan bahawa Parlimen boleh mengenakan “apa-apa sekatan yang didapatinya perlu atau suai manfaat demi kepentingan keselamatan Persekutuan atau mana-mana bahagiannya atau ketenteraman awam”.

Hal ini bermaksud Parlimen boleh menggubal undang-undang yang menyekat hak berhimpun bagi kepentingan keselamatan negara atau ketenteraman awam. Sekatan terhadap hak ini di atas apa-apa tujuan lain adalah tidak berperlembagaan.

Di sini, pihak polis harus memainkan peranan mereka. Pendekatan mereka terhadap pesta demokrasi ini harus berbeza dengan cara mereka sebelum ini. Tidak perlu membazir masa dan wang untuk menghalang perhimpunan yang akan berlaku.

Tindakan menangkap berbentuk pencegahan (“pre-emptive”) untuk satu kesalahan yang belum lagi berlaku jelas menyalahi prinsip asas perundangan jenayah dan hak asasi manusia. Adakah kenyataan ini bermaksud pihak polis ingin menghalalkan penggunaan Akta Keselamatan Dalam Negeri bagi menangkap orang yang tidak bersalah? Tindakan penangkapan seperti ini tidak syak lagi adalah satu salah guna kuasa (“abuse”) yang sangat jelas oleh pihak eksekutif dan sekutunya.

Selaku penjaga kepentingan awam, “GUARDIAN OF PUBLIC INTEREST” kenyataan untuk mengambil tindakan termasuk membuat tangkapan pencegahan dilihat sebagai satu UGUTAN yang tidak wajar dikeluarkan. Tidak ada gunanya mengenakan sekatan jalan raya, menahan orang yang berbaju warna itu dan ini dan membuat tangkapan sewenang-wenangnya kerana hak berhimpun ini terang-terangan tidak wajar dihalang. Peranan polis seharusnya untuk memudahkan demonstrasi yang akan diadakan. Tidak perlu menembak cecair ataupun gas pemedih mata., tidak perlu menghuraikan perhimpunan, tunggu dan lihat, pastikan semuanya aman. sekiranya berlaku kekacauan dan kemudharatan, ketika inilah Seksyen 27 Akta Polis 1967 terpakai untuk mengawal dan menjaga ketenteraman sewaktu perhimpunan berlangsung dan bukannya digunakan untuk MENGHALANG hak rakyat dari BERHIMPUN.

GAMIS mengharapkan pihak polis menjalankan amanah & tanggungjawab dengan saksama serta mematuhi prinsip keadilan sebagai penguatkuasa Undang-undang yang  mematuhi kuasa yang diperuntukkan di bawah Seksyen 20(1), Bahagian VII Akta Polis 1967 agar kepercayaan rakyat kepada institusi kepolisan dapat dikembalikan.

GAMIS juga menyeru para demontsran untuk menunjukkan akhlak dan peribadi yang tinggi  nilai agama dan moral serta menjunjung kedaulatan undang-undang. Semoga tanggal 28 April 2012 menjadi tarikh keramat kebangkitan rakyat.

Sudah tiba masanya kita sedar bahawa demokrasi itu bukan sentiasa tersusun dan rapi, bukan sentiasa rutin dan berjadual, bukan sentiasa mudah dan senang. Tetapi demokrasi itulah yang menjadi paksi negara kita dan menjadi darah daging kita. Dengan kesedaran ini, GAMIS menyeru kepada seluruh mahasiwa,anak muda & rakyat Malaysia untuk sama-sama turun menyatakan hak pada 28 April ini. Ini adalah demonstrasi aman, disertai oleh mereka yang cintakan,memahami dan mahukan keamanan serta mahukan ketulen demokrasi berdiri di bumi Malaysia ini.

Berkata benarlah!

Nur Farhana Omar
Timb. Pengerusi INSPIRASI
Timb. Penerangan GAMIS


0 comments:

Post a Comment