Friday 13 April 2012

Mansuh PTPTN : Gamis Sedia Anjur Sidang Meja Bulat


KUALA LUMPUR, 2 April: Gabungan Mahasiswa Islam Se-Malaysia (Gamis) bersedia menganjurkan sidang meja bulat mempertemukan wakil BN, Pakatan Rakyat dan NGO bagi membincangkan isu pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN).

Presidennya, Akram Ikrami Taib Azamudden(gambar) berkata, sidang meja bulat itu diyakini mampu mencari penyelesaian terhadap beban yang terpaksa ditanggung mahasiswa yang menggunakan pembiayaan PTPTN.

"Melihat kepada respon yang amat positif, Gamis bertindak proaktif sedia menjadi penganjur sidang meja bulat isu pembiayaan pengajian mahasiswa khususnya dalam konteks semasa iaitu PTPTN sekiranya dipersetujui oleh pihak berkenaan.


"Gamis juga mempelawa tokoh akademik, Aspirasi, Mesyuarat Perundingan Pelajar Kebangsaan (MPPK), Aman Kampus dan parti komponen BN, PR turut serta dalam sidang meja bulat bagi membincangkan kaedah terbaik untuk membantu pembiayaan pengajian mahasiswa khususnya," katanya dalam satu kenyataan.

Sebelum ini Gamis turut menggesa Pakatan Rakyat (PR) dan Barisan Nasional (BN) mengadakan perbincangan serius berhubung isu pembiayaan pengajian Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN).

Pakatan Rakyat konsisten dengan pendirian mereka untuk menghapuskan PTPTN jika mengusai Putrajaya dan akan mencari mekanisma untuk memberikan pendidikan percuma kepada pelajar dari peringkat rendah hingga ke peringkat Universiti.

Gamis juga dalam memperjuangkan isu kebajikan pembiayaan pengajian mahasiswa telah melancarkan Deklarasi Inspirasi Anak Muda Malaysia (Inspirasi) pada 25 mac lalu. Inspirasi disepakati bersama 13 front mahasiswa seluruh negara.

"Gamis amat yakin dengan penganjuran sidang meja bulat tersebut, akan mencapai satu solusi dalam isu ini. Ia juga menampakkan keterbukaan dan kematangan parti politik dan pihak lain dalam membincangkan dan menyelesaikan masalah negara.

"Dan yang lebih utama, bagaimana negara dapat menyediakan pendidikan percuma kepada rakyat dan batalkan PTPTN," katanya.

0 comments:

Post a Comment