Monday 23 April 2012

Malam Satira Politik 2012


Seni mesti dilihat dalam kerangka yang lebih luas. Memandang seni sebagai satu medium hiburan sahaja merupakan satu kesilapan yang cukup besar. Seni merupakan senjata ampuh untuk membangkitkan semangat pejuang dan juga melemahkan semangat musuh.

Perjuangan Jose Rizal dengan menjadikan karya-karya beliau sebagai senjata untuk membangkitkan massa. Seperti novel sulung beliau, Noli me tangere. Novel ini secara terang-terangan mengecam kezaliman penjajahan Sepanyol dan merupakan satira tajam yang menceritakan kebobrokan golongan peribumi yang korup dan menjual negara kepada penjajah yang kuku besi. Pada tahun 1891, sebuah lagi novel beliau, iaitu El filibusterismo diterbikan.

Tak ketinggalan tokoh pemikir dan filasuf agung, Muhammad Iqbal yang banyak menghasilkan karya-karya yang sarat dengan pesanan untuk ummah. Antara karya beliau yang menjadi rujukan The Reconstruction of Religious Thought in Islam, Asrar i-khudi, Payam-i-Mashriq dan lain-lain.

Seperti yang direkodkan dalam sirah nabawiyah, kebiasaan Rasulullah SAW menghadapi peperangan dengan kelengkapan senjata yang tidak mencukupi, tetapi berlainan dalam bidang syair, Islam mempunyai ramai tokoh syair yang hebat. Di antara mereka ialah Hasan Bin Tsabit, Kaab Bin Malik dan Abdullah Bin Rawwahah. Syair-syair yang dilaungkan, sinis terhadap orang yang belot dalam peperangan, syair juga mengajak orang Quraisy untuk berpaling dari kesesatan dan kembali kepada Allah dan Rasul-Nya

Atas kesedaran pentingnya seni dalam agenda perubahan massa, Gabungan Mahasiswa Islam SeMalaysia (Gamis) dengan kerjasama Inspirasi Anak Muda Malaysia (Inspirasi) mengambil langkah baru dengan menganjurkan Malam Satira Politik pada 26 April 2012. Bermula pada jam 8 malam bertempat di Dataran Kemerdekaan, Shah Alam, Selangor.

Satira Politik merupakan satu inisiatif dari pihak Gamis dalam usaha untuk menyedarkan masyarakat tentang kepincangan yang berlaku dalam politik negara. Gamis membawa pendekatan satira politik sebagai satu metod yang baru dalam menyampaikan agenda yang diperjuangkan oleh Gamis iaitu ingin melihat masa depan Malaysia yang cemerlang. Idea ini diinspirasikan dari kumpulan satira politik di Myammar yang menentang regim zalim dan membela pejuang keadilan.

Antara persembahan yang bakal disajikan ialah penyampaian puisi oleh Dinsman (Presiden Paksi), nyanyian oleh Amin Iskandar (Aktivis dan Kolumnis), pidato dan penyampaian puisi oleh Aiman Athirah Al-Jundi (Ketua Penerangan Dewan Muslimat Pas Pusat), pameran kartun satira dan banyak lagi. Maklumat lanjut boleh layari http://www.mygamis.com.

Wan Mohamad Rasyadan Wan Hussin
Pengarah,
Malam Satira Politik 2012

0 comments:

Post a Comment