Setelah tiga tahun
dilancarkan, Government
Transformation Programme (GTP)
yang diilhamkan oleh YAB Dato’ Seri Najib Tun Razak mula dibentangkan hasilnya
kepada rakyat. Semasa program ‘Jelajah
Janji Ditepati’ di Johor
baru-baru ini, YAB Perdana Menteri telah mengumumkan bahawa pencapaian GTP
berdasarkan 6 National Key
Result Area (NKRA) telah
melebihi target yang disasarkan dalam tempoh yang singkat.
Antara yang dibentangkan
di dalam laporan itu ialah Malaysia
diisytiharkan sebagai negara paling aman di asia tenggara dan juga negara
paling selamat antara 19 buah
negara. Sudah pasti prestasi sebegini menyerlahkan kemajuan cemerlang yang
dicapai di bawah NKRA Mengurangkan Jenayah. Turut dicatatkan, berlaku
pengurangan sebanyak 39.7% Jenayah Jalanan dan 11.1% Jenayah Indeks.
Namun begitu, sehingga ke
saat mayat Dirang yang ditemui rentung dalam sebuah lubang berhampiran
kediamannya pada 8 Mac lalu, angka-angka
ini ternyata tidak mampu melegakan hati rakyat. Saban hari, kes rompakan,
rasuah, ragut, lari dari rumah, pembunuhan, rogol dan buang bayi berselang-seli
menjadi tajuk utama di dada akhbar dan siaran berita di televisyen. Keadaan ini sudah pasti menimbulkan
tanda tanya dan rasa sangsi rakyat terhadap laporan yang telah diuar-uarkan.
Lebih membimbangkan adalah, adakah kami semua selamat untuk menjalani kehidupan
seharian? Ataupun pasti sekali kami juga akan menjadi mangsa, cuma ‘tunggu’
giliran?
Tidak dapat dinafikan
bahawa masalah jenayah ini ada hubungkaitnya dengan keadaan ekonomi sesebuah
negara dan rakyatnya. Antaranya
berpunca daripada tekanan hidup akibat peningkatan kos sara diri dan bebanan
hutang. Secara tidak langsung, ia menjadi punca kepada individu-individu
tertentu untuk melakukan sesuatu tindakan luar jangka yang membahayakan orang
lain.
Lebih
parah lagi apabila rakyat dapat melihat dengan jelas bahawa jenayah-jenayah yang sering
dibawa kepada muka pengadilan hakikatnya lebih tertumpu kepada rakyat bawahan.
Apabila melibatkan orang kenamaan atau berjawatan, semacam ia selesai dalam
diam. Ini membuktikan kegagalan sistem kehakiman dan undang-undang dalam
menangani masalah ini dan barangkali juga ia adalah cara golongan atasan untuk
mengalih perhatian umum terhadap penindasan yang berlaku.
Program atau rancangan hiburan yang tidak dikawal dan
melampau juga telah menyumbang kepada berkembangnya budaya hidup yang
merosakkan seterusnya kemungkinan berlakunya pelbagai jenayah. Sebagai contoh,
penganjuran konsert artis antarabangsa, Girls Generation dari Korea Selatan
baru-baru ini yang terkenal dengan penampilan yang menjolok mata dan tarian
mengghairahkan. Hal ini pasti sekali memberi pengaruh negatif kepada anak-anak
muda khususnya dalam cara pemakaian dan pergaulan mereka.
Di sisi yang lain pula,
berlaku gejala sosial meruncing yang akhirnya menjerumuskan mereka sehingga ke
tahap melakukan penzinaan dan pembuangan serta pembunuhan bayi. Hiburan yang
diketengahkan sepatutnya
mestilah dalam kerangka untuk membina perpaduan dikalangan masyarakat serta
sebagai medium pendidikan dan lebih penting daripada itu mestilah mematuhi
norma masyarakat setempat dan batasan agama.
Tentang keselamatan di
jalan raya juga seharusnya diberi perhatian. Soal infrastruktur atau sikap pengguna, kedua-duanya perlu
diselesaikan bagi menjamin keselamatan pengguna jalan raya. Saman umpama tidak
lagi berkesan sebagai cara untuk menyelesaikan masalah ini. Kerajaan perlu
segera mengambil langkah proaktif dalam hal ini.
Menyedari hakikat ini,
kerajaan perlu menilai kembali usaha yang dijalankan agar hasilnya selepas ini
bukan sahaja sekadar mampu membentangkan angka-angka yang sedap mata memandang
dan telinga mendengar, tetapi mestilah sehingga hilang rasa ragu dan sangsi
serta lahir perasaan
percaya dan yakin rakyat Malaysia bahawa Malaysia benar-benar sebuah negara
yang aman dan selamat.
Apa yang lebih menarik,
mutakhir ini menunjukkan bagaimana respon anak muda terhadap ceramah-ceramah
agama di Youtube khususnya oleh Ustaz Azhar Idrus, mendapat sambutan yang cukup
menghangatkan. Ini membuktikan bahawa anak-anak muda hari ini sudahpun menunjukkan
isyarat dan menyatakan kesediaan
mereka untuk menerima Islam sepenuhnya sebagai cara hidup mereka, termasuklah
dalam pelaksanaan syariat Islam. Tinggal lagi, bagaimana usaha kerajaan untuk
memanfaatkan peluang ini bagi menyediakan 'suasana yang lebih kondusif' pada
masa hadapan ke arah pelaksanaan Undang-undang Jenayah Islam yang pasti dapat menjamin keselamatan
negara dan rakyat Malaysia untuk hidup bahagia di dunia dan selamat di akhirat. Jangan Petik Buah Putik, Jangan
Tunggu Buah Buruk.
Wallahua’lam
Eikhwan Ali
Naib Presiden, GAMIS
Pengerusi, Inspirasi Anak
Muda Malaysia (INSPIRASI)
0 comments:
Post a Comment