Sunday 16 September 2012

MAHASISWA IKRAR TOLAK MANIPULASI


KUALA LUMPUR, 16 September – Lebih 800 mahasiswa dari seluruh pelusuk Malaysia berhimpun dan berarak di jalan menuju ke Dataran Merdeka bagi menunjukkan solidariti mahasiswa terhadap pilihanraya kampus yang bersih dan telus di samping menunjukkan bantahan terhadap campur tangan pihak kerajaan dalam isu pilihanraya kampus.

Himpunan ini dianjurkan secara bersama oleh Gabungan Mahasiswa Islam SeMalaysia (GAMIS), Solidariti Mahasiswa Malaysia (SMM), Pro-Mahasiswa Nasional (Pro-MN), Majlis Perwakilan Pelajar Nasional (MPPN), Inspirasi Anak Muda Malaysia (Inspirasi), Aksi Mahasiswa Peduli, DEMA, Legasi Mahasiswa Progresif dan front-front lain.

Perarakan bermula pada pukul 2.30 petang di perkarangan Masjid Jamek, seterusnya berarak melalui Jalan Tun Perak, merentasi Jalan Raja Laut dan berhenti di perkarangan Kompleks Sogo. Di Sogo, beberapa pimpinan mahasiswa dari pelbagai front menyampaikan pidato antaranya Pengerusi Pro Mahasiswa Nasional, Edikoup Lakip Sediyanto, Pengerusi SMM, Safwan Anang Talib, Presiden GAMIS, Akram Ikrami, Pengerusi SIGMA, Rohayu Rusli dan beberapa pimpinan mahasiswa lain.

Safwan Anang dalam ucapan beliau menegaskan walaupun memorandum bantahan telah dihantar kepada Kementerian Pengajian Tinggi dan Hal Ehwal Pelajar di beberapa kampus, namun tuntutan-tuntutan yang dihantar tidak langsung diendahkan bahkan dibakul sampahkan.

Dalam masa yang sama, Naib Presiden GAMIS Eikhwan Ali memberi amaran kepada Perdana Menteri Malaysia, Dato’ Seri Najib Abdul Razak supaya jangan menyakiti hati rakyat jika tidak mampu memuaskan hati rakyat atau jika tidak, kerajaan sendiri akan ditumbangkan oleh rakyat.

“Kita tidak beriman kepada demokrasi, kita tidak beriman kepada pengundian (tidak), tetapi kita beriman kepada keadilan yang dibawa oleh Islam. Apa sahaja agama, apa sahaja kaum, Islam meletakkan keadilan untuk semua,” ujar Presiden GAMIS, Akram Ikrami juga dalam ucapan beliau.

Perarakan diteruskan pada pukul 3.30 petang menuju ke Dataran Merdeka melalui Jalan Tuanku Abdul Rahman. Di Dataran Merdeka, pihak polis menyekat laluan masuk ke dataran dan meminta supaya perhimpunan disuraikan secepat mungkin.

Himpunan berakhir pada pukul 4 petang dengan laungan ikrar dan lagu Negaraku oleh peserta himpunan yang hadir. Antara kandungan ikrar mahasiswa ialah memperjuangkan hak keadilan dan kebebasan kepada seluruh lapisan masyarakat di universiti, menolak sebarang tindakan memanipulasi mahasiswa, dan mengutamakan kebajikan mahasiswa.

(lagi gambar)
























1 comments: