Thursday 27 September 2012

Bajet 2013: Mahasiswa Kecewa Prestasi Bajet 2012


Bajet 2012 yang telah diumumkan oleh Perdana Menteri pada September 2011 yang lalu dengan menunjukkan jumlah perbelanjaan yang disasarkan ialah RM232.8 Billion dengan anggaran pendapatan sebanyak RM 190 Billion. Ia merupakan bajet defisit selama 13 tahun berturut-turut bermula tahun 1998. Sungguhpun nilai defesit tahunan berkurangan kepada 4.7% berbanding tahun 2011, namun kesan daripada sikap dan amalan berhutang ini telah menjadi barah kepada mahasiswa khususnya dalam soal pinjaman pengajian.

Sebanyak RM 50.1 bilion ringgit iaitu hanya 21.6% daripada keseluruhan bajet diperuntukan untuk Pendidikan dan Pembangunan Modal Insan. Daripada jumlah itu, 37.2 bilion ringgit diperuntukkan kepada Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) manakala 12.9 bilion peruntukan yang diberikan kepada Kementerian Pengajian Tinggi. Bagi sebuah Negara membangun, fokus sepatutnya adalah ditelitikan kepada sektor pendidikan setidaknya 30% daripada jumlah keseluruhan bajet disalurkan kepada sektor yang berimpak tinggi ini. Ini sangat penting dalam memastikan pelaburan kerajaan dalam sektor ini memberikan pulangan yang positif dalam segenap aspek sesuai untuk institusi pengajian sebagai asas kepada pembangunan negara.

Dalam kemelut ekonomi yang semakin pulih dan suasana rencam negara membangun, Malaysia seharusnya memberikan fokus utama dalam melahirkan modal insan yang mampu menjana pendapatan negara pada masa akan datang. Namun malangnya, kelompok mahasiswa terus dibebankan dengan masalah hutang dan kos sara hidup yang tinggi ditambah pula dengan yuran pengajian yang mencanak naik. Kos sara hidup di Lembah Klang contohnya meningkat hampir 5% dengan kenaikan harga barang dan kegagalan kerajaan menyediakan solusi terbaik untuk menyelesaikan masalah tersebut. Hasil daripada ketempangan dalam fokus pembangunan modal insan inilah lahirnya kelompok remaja yang menjadi samseng serta keruntuhan nilai akhlak dan moral yang berlaku dalam negara yang menjadi pemain utama dalam siaran berita nasional hari ini.

Pendidikan di dalam negara seharusnya tidak diperniagakan kerana ia adalah tanggungjawab asasi sebuah kerajaan dengan memberikan pendidikan percuma kepada rakyat mereka bermula prasekolah hingga pengajian tinggi. Ini dibuktikan dengan kemampuan negara–negara membangun yang lain sperti Turki, Finland dan beberapa buah negara yang setaraf dengan kemampuan Malaysia. Kerajaan mesti berusaha kearah pelaksanaan pendidikan percuma berbanding peruntukan yang besar kepada sektor–sektor yang merugikan apatah lagi meruntuhkan pembinaan jati diri mahasiswa.

Malang sekali bagi mahasiswa yang dibebankan dengan pinjaman PTPTN yang sentiasa menghambat mereka, ia menunjukkan tidak nampak ruang yang cerah untuk mereka memenuhi peluang pekerjaan yang disediakan. Ditambah pula dengan dasar baru kerajaan yang diumumkan Perdana Menteri iaitu menaikkan had umur persaraan daripada 58 tahun kepada 60 tahun memberikan impak yang besar kepada graduan saban tahun. Ini belum lagi dikira akan kebanjiran warga asing yang mengisi tempat kerja yang sepatutnya dipenuhi oleh anak watan.

Terdapat juga kesusahan beberapa buah IPTA dan IPTS yang tidak mencukupi kelengkapan fasiliti yang sempurna hingga masih banyak universiti yang menyewa rumah kedai sebagai tempat pembelajaran dan pengajaran mereka. Mereka seolah-olah menjadi pelajar 'tabung uji' dalam keadaan universiti yang tidak bersedia untuk memenuhi keperluan asasi dalam pembelajaran. Tidak ditambah lagi dengan pertumbuhan cawangan-cawangan universiti di kawasan yang tidak strategik serta dilihat lebih kepada memenuhi pembangunan di kawasan menteri – menteri.

Mahasiswa kecewa dengan polisi dan dasar yang digunakan kerana tidak mampu memberikan impak yang besar kepada pembangunan negara pada masa akan datang. Generasi baru mesti melakukan sesuatu khususnya mengharapkan Bajet 2013 yang akan dibentangkan nanti digunakan bukan hanya untuk menjadi ‘gula-gula’ pilihanraya, tetapi menjadi pelaburan penting demi kemajuan negara pada masa hadapan.

GAMIS, Inspirasi Anak Muda!

Akram Ikrami Bin Taib Azamudden
Presiden
GabunganMahasiswa Islam SeMalaysia (GAMIS)        
            

0 comments:

Post a Comment