Monday 24 September 2012

Mahasiswa Islam Tolak Politik Fitnah!


GOMBAK, 23 September – Pertubuhan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM) dengan jalinan solidariti Gabungan Mahasiswa Islam SeMalaysia (GAMIS), Kelab Rakan Siswa Islah Malaysia (KARISMA), Ma’ruf Club UIAM dan kumpulan We Unite For Islam (WUFI) semalam sepakat sebulat suara menyokong dan menuntut proses Pilihanraya Kampus (PRK) yang telus dan bersih bersempena dengan PRK yang berlangsung serentak di kebanyakan universiti di seluruh Malaysia 25 September ini.

Perkara tersebut dinyatakan dalam sidang media bersama wartawan malam kelmarin di Pusat Gerakan PKPIM di Greenwood, Gombak dengan diwakili oleh Fazril Salleh, Penolong Setiausaha PKPIM Pusat, Eikhwan Ali, Naib Presiden GAMIS, Amirudin Ismail, Presiden Ma’ruf Club UIAM, Mohd Saiful Mat Amin, Pengerusi WUFI UIAM.

Fazril Saleh dalam kenyataan beliau menegaskan PRK penting sebagai wahana kemasyarakatan dalam konteks alam kampus dalam melahirkan masyarakat yang bertanggungjawab dan beramanah untuk melantik kepimpinan melalui proses demokrasi.

Justeru solidariti pertubuhan mahasiswa Islam kelmarin sebulat suara menolak segala bentuk perancangan, tindakan dan percubaan sama ada oleh pihak Kementerian Pengajian Tinggi (KPT), mahupun pihak universiti dalam usaha memenangkan calon pilihan universiti atau ‘Pro-Universiti’.

“Segala tindakan songsang yang mencabuli prinsip-prinsip asas demokrasi dalam PRK adalah pencabulan terhadap hak mahasiswa dan penghinaan terhadap unversiti,” ujar Eikhwan Ali yang dalam masa yang sama mengecam pihak-pihak terbabit sebagai penderhaka terhadap negara dan bangsa.

Mohd Saiful Mat Amin ketika disoal mengenai kebanyakan calon yang ‘ditaja’ pihak tertentu berlatarbelakangkan islamik, beliau tidak menafikan memang wujudnya situasi tersebut khususnya di kampus UIAM berdasarkan maklumat-maklumat yang diperoleh demi memenangi hati para pengundi kampus yang semakin berminat dengan Islam.

Minggu lalu di UIAM digemparkan dengan penyebaran surat fitnah terhadap perlantikan Timbalan Dekan yang baru bagi Bahagian Hal Ehwal Pelajar UIAM, Datuk Mizan Hitam yang ditandatangani oleh Perdana Menteri Malaysia, Dato’ Seri Najib.

Selain itu, pelajar-pelajar di universiti berkenaan turut menerima beberapa risalah fitnah yang tercetak padanya dikeluarkan oleh WUFI, namun WUFI menafikan sekeras-kerasnya risalah tersebut dikeluarkan oleh pihak mereka.

0 comments:

Post a Comment