Tuesday 14 August 2012

GAMIS Menolak Budaya Duit Raya


Istilah duit raya agak sinonim dengan Hari Raya Eidulfitri. Kanak-kanak adalah golongan yang sangat gembira apabila mendapat duit raya. Tapi bagi orang dewasa, jangan terperangkap dengan ‘duit raya’.

Segelintir manusia mengambil kesempatan dengan menghulurkan ‘duit raya’ iaitu rasuah untuk mencapai hasrat mereka. Tambahan pula tarikh pilihanraya umum khabarnya akan diumum selepas Hari Raya Eidulfitri.

Rasuah di Malaysia Membimbangkan

Menurut laporan dari Transparency International pada 2005 bahawa Malaysia telah jatuh 16 anak tangga dalam tempoh 10 tahun ini, iaitu dari tempat ke-23 pada tahun 1995 ke tempat 39 pada tahun 2004.


Manakala, pada tahun 2011, Malaysia berada di tangga 60 dengan nilai 4.3 berbanding pada tahun 2007 di tangga 43 dengan nilai 5.1. Malaysia telah mengalami kemerosotan dari sudut integriti sejak tahun 2005 sehingga sekarang.

Ini amat memalukan jika dibandingkan dengan negara jiran iaitu Singapura, pada tahun 2011 berada di tangga ke-5 dengan nilai 9.2, manakala pada tahun 2007, berada di tangga ke-4 dengan nilai 9.3.  Tambahan pula Singapura merupakan negara yang "lebih muda" berbanding Malaysia.


Agenda transformasi yang dilancarkan oleh kerajaan seakan-akan tidak memberi kesan kepada negara, kerana kadar peningkatan rasuah di Malaysia meningkat 46% dalam masa tiga tahun kebelakang berdasarkan kajian daripada Global Corruption Barometer 2012.

Sektor Politik yang Parah

Awas buat ahli politik, sama ada dari pihak kerajaan mahupun pembangkang. Anda harus sedar bahawa sektor politik adalah sektor terburuk dalam kes rasuah.

Perkara ini dinyatakan oleh Transparency International Global Corruption Barometer 2010, parti politik merupakan sektor yang tertinggi kes rasuah dengan nilai 4.0 daripada keseluruhan 5.0 mata.

Benarlah apa yang dikatakan oleh Ketua Pesuruhjaya, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia, Abu Kassim Mohamed, "Rasuah dalam politik adalah ibu kepada semua rasuah".

Sewajarnya ahli politik rasa malu dengan isu rasuah yang berlaku dalam parti politik kerana kebiasaannya ahli politik dikaitkan dengan pemimpin. Bagaimana seorang pemimpin ingin mentadbir negara sedangkan diri terpalit dengan skandal rasuah yang parah.

Membersihkan Negara dari Rasuah

Proses untuk membersihkan negara dari rasuah perlu bermula dari peringkat kanak/remaja dengan penerapan unsur akauntabiliti dan integriti dalam kurikulum pelajaran.  Dengan adanya sikap akauntabiliti dan integriti akan menjadikan rakyat Malaysia yang sentiasa beramanah.

Pihak Gabungan Mahasiswa Islam SeMalaysia (Gamis) bertegas dengan mana-mana parti politik supaya ‘menyaring’ calon pilihanraya bagi setiap parti politik. Individu yang pernah terlibat dengan skandal rasuah mesti dikeluarkan daripada calon untuk bertanding. Ini bukan soal kepentingan parti, tetapi kepentingan negara


GAMIS, Inspirasi Anak Muda!.

______________________________________________

Wan Mohamad Rasyadan Wan Hussin
Ketua Penerangan Gamis

0 comments:

Post a Comment