Sunday 12 August 2012

Divide & Rule Penyumbang Kekejaman Rakhine


KUALA LUMPUR: Dasar pecah & perintah atau istilah baratnya divide & rule yang berlaku sekian lama yang diperkenalkan oleh penjajah Inggeris bagi memecahkan wilayah umat Islam adalah antara punca utama berlakunya penindasan kejam terhadap umat Islam Rohingya di Arakan sehingga ke hari ini.

Demikian pidato yang disampaikan oleh Professor Dr. Kamaruzzaman bin Yusof, pensyarah di Institut Kajian Rantau Asia Barat di hadapan lebih 200 mahasiswa-mahasiswi semasa Himpunan Keamanan Selamatkan Umat Islam Rohingya yang dianjurkan GAMIS baru-baru ini.

Beliau dalam pidatonya memperincikan latar belakang sejarah bagaimana berlakunya pergaduhan yang dicetuskan oleh etnik Rakhine terhadap etnik muslim Rohingya semenjak hampir 80 tahun yang lalu yang membawa kepada pembunuhan beramai-ramai umat Islam Rohingya di Arakan sehingga ke hari ini.

"Tragedi yang berlaku hari ini (terhadap muslim Rohingya) adalah strategi negara-negara tertentu di dunia ini yang sengaja mencipta polemik untuk menghapus dan mengusir kelompok-kelompok tertentu yang tidak disukai pemerintah negara tersebut, demi kepentingan tertentu mereka," kata beliau.

Dalam pidato beliau menegaskan kepada seluruh mahasiswa yang hadir agar menjadi agen penerangan kepada masyarakat tentang isu sebenar di sebalik kekejaman yang berlaku di Myanmar dengan memanfaatkan media baru yang ada seperti laman sosial Facebook dan Twitter.

Turut sama berucap dalam himpunan tersebut ialah Nurul Izzah Anwar mewakili PKR, Kamaruzzaman Muhammad mewakili PAS, Rashid Roslan sebagai Presiden Union of World Rohingya Organization dan Cikgu Azmi Abdul Hamid mewakili NGO bertindak iaitu Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM). Wakil UMNO dan ILMU tidak tampil hadir dalam himpunan solidariti tersebut.

0 comments:

Post a Comment