Saturday 11 August 2012

Arakan "Gaza Kedua"





KUALA LUMPUR, Jumaat – Gabungan Mahasiswa Islam Se-Malaysia (GAMIS) menganjurkan Himpunan Keamanan Umat Islam Rohingya di Dewan Kelab Sultan Sulaiman, Kampung Baru semalam dengan menjemput wakil-wakil parti politik tanah air, NGO-NGO serta wakil Persatuan Rohingya Sedunia.

Himpunan aman tersebut menampilkan pidato-pidato khas oleh Naib Presiden PKR YB Nurul Izzah Anwar, Exco Dewan Pemuda PAS Pusat Kamaruzzaman Muhammad, Professor dari Institut Pemikiran Rantau Asia Barat Dr. Kamaruzzaman Yusuf, Presiden Union of World Rohingya Organization Rashid Roslan dan Setiausaha Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM), Mohd Azmi Abdul Hamid.

Himpunan yang dihadiri lebih 200 mahasiswa dari pelbagai kampus di seluruh pelusuk tanah air kelmarin sebulat suara mengecam dan mengutuk sekeras-kerasnya tindakan keganasan yang dilakukan terhadap umat Islam di Rohingya serta mendesak pihak kerajaan dan organisasi antarabangsa PBB, ASEAN dan OIC agar segera bertindak menghentikan pergolakan yang berlaku di negara Myanmar.

Bercakap dalam pidato perasmian, Akram Ikrami Taib Azamuddin selaku Presiden GAMIS, mahasiswa akan terus konsisten memperjuangkan nasib mangsa kekejaman di Myanmar dan memberi penerangan kepada masyarakat serta mendesak pihak-pihak bertanggungjawab agar segera bertindak bagi menghentikan kekejaman yang berterusan.

Turut sama Exco Pemuda PAS, Kamaruzzaman Muhammad dalam pidato beliau mengemukakan tiga desakan di peringkat PAS iaitu supaya diberi hak kerakyatan kepada etnik Rohingya, ditubuhkan institusi umat Islam di Myanmar bagi membenarkan bantuan ke bumi Arakan, serta diambil tindakan oleh ASEAN terhadap pihak Arakan yang terus menerus melakukan kekejaman.

Tidak terkecuali pidato oleh YB Nurul Izzah Anwar yang melahirkan rasa kekecewaan beliau terhadap pihak kerajaan Malaysia khususnya Menteri Luar Negeri yang mengambil sikap membisu dalam isu yang melibatkan pembunuhan lebih 300,000 umat Islam tidak berdosa di negara jiran.

“Ke mana hilangnya Tun Dr. Mahathir yang dahulunya mengemukakan cadangan idea untuk menggabungkan Myanmar ke dalam ASEAN?” ujar beliau dalam pidatonya.

Pidato kemuncak oleh Setiausaha MAPIM Mohd Azmi Abdul Hamid menegaskan betapa situasi kekejaman terhadap umat Islam Rohingya telah berterusan lebih 60 tahun tanpa apa-apa tindakan agresif terhadap penjenayah-penjenayah terbabit oleh mana-mana organisasi besar di seluruh dunia. Beliau menyifatkan Myanmar sebagai “Gaza ke-2” dengan menjelaskan bahawa Arakan sebagai “Under Siege” yakni disekat perhubungan dari luar dan dalam untuk saluran bantuan kemanusiaan.

“Kami akan melancarkan Flotilla ke-2 dalam masa terdekat, yang akan diwakili oleh masyarakat dari seluruh pelusuk dunia, wakil-wakil NGO, mahasiswa dan parti-parti politik,” tegas beliau dalam pidatonya yang disambut dengan laungan takbir dari hadirin.

Majlis bermula dengan solat tarawikh dan solat hajat berjamaah yang disertai dengan bacaan qunut nazilah yang diimami oleh Rashid Roslan, Presiden Union of World Rohingya Organization. Wakil UMNO dan ILMU tidak dapat hadir bersama-sama dalam majlis kelmarin. Himpunan aman berakhir dengan tandatangan wakil-wakil jemputan pada sepanduk putih sebagai simbolik solidariti bantahan dan kesatuan dalam memperjuangkan isu kekejaman terhadap umat Islam Rohingya.






0 comments:

Post a Comment