Wednesday 8 August 2012

Lawatan Kerja Wakil GAMIS ke Mesir


Kaherah (April 2012) : Kunjungan Gabungan Mahasiswa Islam SeMalaysia (GAMIS) ke Bumi ‘Anbiya Mesir selama seminggu telah dijalankan dengan jayanya pada 21 hingga 27 April lalu. Delegasi itu juga adalah bertitik tolak daripada lawatan rasmi serta penyampaian sumbangan kewangan daripada Yang Berhormat Dr. Hajah Halimah Ali, selaku Exco Kerajaan Negeri Selangor kepada Badan Kebajikan Anak Selangor Mesir (BKASM). GAMIS telah diwakili oleh Presiden iaitu saudara Akram Ikrami Bin Taib Azamudden yang juga Pengerusi Majlis Permuafakatan Mahasiswa Selangor (MPMS) suatu badan yang diwujudkan di bawah portfolio Jawatankuasa Pendidikan Tinggi Kerajaan Negeri Selangor.  Sepanjang keberadaan di sana, delegasi dibantu oleh pihak pimpinan BKASM serta Pegawai Hal Ehwal Pelajar Selangor Mesir.

Bersama Pimpinan Badan Kebajikan Anak Selangor Mesir
(BKSAM)
Pertemuan pertama diadakan dengan seluruh barisan kepimpinan BKASM di Musolla Darul Ehsan, Rumah Selangor. Pelbagai perkara dan permasalahan yang dikongsikan bersama dalam pertemuan tersebut khususnya berkaitan kebajikan dan akademik mahasiswa. GAMIS dan MPMS mengambil kesempatan tersebut dengan mewujudkan perhubungan serta jaringan diantara anak Selangor Mesir dengan kerajaan negeri Selangor. Saudara Akram Ikrami juga sempat memberikan kuliah subuh di musolla tersebut dengan dihadiri semua penghuni rumah Selangor.



Kehangatan suasana revolusi “arab spring” khusunya di Mesir telah membuka ruang yang cukup baik untuk gerakan Ikhwanul Muslimin (IM) melalui Parti Kesejahteraan  dan Keadilan (FJP) dalam Pilihanraya membentuk Kerajaan baru Mesir. Delegasi tersebut juga telah membuat pertemuaan rasmi dengan Naib Mursyidul Am 2 Syeikh Jumu’ah di Pejabat Agung Ikhwanul Muslimin , Jabal Mukattom. Walaupun tidak dapat bertemu dengan Syeikh Muhammad Badi’ ,Mursyidul Am IM, Ramah mesra selama hampir satu jam itu telah dimanfaatkan dengan perkongsian isu semasa dunia dan kata-kata nasihat daripada tokoh pemimpin gerakan berpengaruh itu. 

Antara amanat penting yang ditinggalkan oleh Syeikh Jumu’ah kepada mahasiswa dan anak muda ialah;
1) Menjaga perhubungan dengan Allah SWT.
2) Menjadi mahasiswa yang cemerlang dalam akademik kerana kita tidak mahu membina sebuah negara dikalangan mereka yang gagal.
3) Mengukuhkan ukhwah sesama umat Islam.
4) Meletakkan asas dan memperkasa persoalan tarbiyah.

Naib Mursyidul Am Ikhwanul Muslimin (tengah)
Syeikh Jumu'ah

Perkongsian berkenaan dengan isu semasa mahasiswa Malaysia serta perkongsian idea bersama  Persatuan Pelajar-pelajar Perubatan Malaysia-Mesir (PERUBATAN) di Sayyidah Zainab juga berlangsung dengan baik. GAMIS juga diminta untuk turut sama meneliti permasalahan yang berlaku kepada pelajar perubatan di Mesir antaranya berkenaan lambakan palajar-pelajar yang menjadi mangsa agensi – agensi yang menguruskan penghantaran serta kemasukan pelajar ke Mesir.



Saudara Akram Ikrami juga turut berkelapangan bersama mahasiswa- mahasiswa anak Kelantan dalam sesi Kuliah Subuh di Wisma Kelantan Darul Naim. Di samping itu, turut dimanfaatkan sepenuhnya  perkongsian mesra bersama pimpinan anak Kelantan serta melawati rumah penginapan pelajar Kelantan yang masih baru siap hasil sumbangan Kerajaan Negeri Kelantan.

Presiden menyampaikan ucapan

Program “Night Of Change” (NOC) sempena musim peperiksaan anjuran Pelajar Perubatan Cawangan Mansurah (PCM) juga telah menjemput saudara Akram Ikrami dan YB Dr.Halimah Ali untuk menyampaikan ceramah dalam majlis tersebut. Dalam majlis yang dihadiri oleh 250 orang pelajar perubatan daripada 3 cawangan itu, saudara Akram telah diminta menyentuh berkenaan tajuk “ Muslim Front Liner”. Antara yang ditekankan dalam ucapan 30 minit itu, adalah tentang tanggungjawab serta amanah yang dipikul oleh pelajar perubatan dalam membawa gelaran Doktor perubatan yang didasari fikrah Islamiah. Selain itu, turut dibawa juga aspek kepimpinan Islam yang menjadi tonggak pembinaan serta pengukuhan sebuah tamadun Islam seterusnya mnyelesaikan segala permasalahan dunia hari ini. Yb Dr halimah juga telah memberikan motivasi yang cukup berkesan disamping perkongsian pengalaman menarik bertepatan dengan beliau yang juga berlatar belakangkan bidang perubatan.  

Presiden GAMIS juga tidak melepaskan peluang mengadakan perbincangan santai bersama barisan Badan Pengurus Persekutuan Melayu Republik Arab Mesir (PMRAM) yang diadakan di Pejabat PMRAM di Masakin Osman, Hayyu Sabi’e. Hadir bersama dalam pertemuan tersebut ialah Presiden PMRAM sendiri saudara Abdul Aziz bin Ali dan beberapa orang Badan Pengurus PMRAM yang lain. Pertemuan yang berlangsung hampir 2 jam itu telah digunakan sebaiknya dengan perkongsian situasi semasa mahasiswa Malaysia dan cadangan tambah baik daripada pihak PMRAM.  

Selain itu, PMRAM juga turut melahirkan beberapa perkara untuk turut diambil jasa baik GAMIS berkenaan masalah serta pencabulan hak mahasiswa di sana:


1) Permasalahan berkenaan Imtihan Qabul (ujian kelayakan) bagi kemasukan ke Universiti Al-Azhar.
2) Pemusatan pelajar – pelajar di hanya satu muhafazah (daerah) iaitu kaherah berbanding sebelum ini di serata muhafazah di Mesir.
3) Isu pencabulan hak keatas tanah seluas 2212 meter persegi Asrama Rumah Melayu (ARMA) sejak 20  tahun lalu.
4) Lambakan agensi-agensi yang tidak bertanggungjawab dalam menguruskan penghantaran pelajar-pelajar ke Mesir khusunya pelajar perubatan.

Presiden PMRAM menyampaikan cenderamata kenangan
Segala permasalahan yang timbul itu juga turut dibangkitkan dalam pertemuan sejam bersama pihak Kedutaan Malaysia Mesir dengan Duta Malaysia sendiri terlibat di dalam perbincangn tersebut. Turut hadir dalam pertemuan itu juga adalah pegawai Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) dan pegawai lain yang dihantar bertugas di sana. Pelbagai perkara yang dilontarkan dijelaskan oleh Duta dan Pegawai-pegawai yang terlibat. Turut diberikan juga cadangan –cadangan penyelesaian yang diambil perhatian oleh pihak Kedutaan.


Selain itu, Presiden GAMIS juga sempat menziarahi pimpinan Dewan Perwakilan Mahasiswa (DPM) cawangan Shoubra serta berpeluang menyampaikan kuliah subuh di Markaz DPM Shoubra dengan dihadiri hampir 60 orang mahasiswa yang mengikuti bidang pengajian Qiraat dan Tahfiz. Turut dibincangkan juga soal perubahan serta pembekuan mu’adalah (MOU) diantara Institut Pengajian Tinggi (IPT) di Malaysia dengan Universiti Al-Azhar cawangan Shoubra yang memeberi kesan pengurangan pelajar ke sana.

Majlis Motivasi dan penyerahan sumbangan dana oleh YB Dr Halimah Ali juga turut diadakan di Dataran Haiyul Asyir kepada BKSAM dengan dihadiri hampir 300 orang mahasiswa dari pelbagai negeri. Saudara Akram Ikrami turut sama diberikan ruang untuk menyapaikan ucapan serta perkongsian di dalam majlis tersebut dengan diakhiri simbolik penyerahan dana oleh Yb Dr Halimah sendiri.

GAMIS komited untuk membantu PMRAM dalam membawa segala permasalahan yang dihadapi oleh mahasiswa Malaysia di Mesir kepada pihak yang berwajib di Malaysia khusunya Kementerian Pengajian Tinggi supaya ianya dapat diselesaikan sebaik mungkin. Ini bagi menjamin kebajikan serta hak mahasiswa disana dipelihara. 


2 comments: