Sunday 12 August 2012

Rohingya: "We Kill Them Because They Are Muslims!"


KUALA LUMPUR: "Kami membunuh mereka (Rohingya) tidak lain tidak bukan kerana mereka orang Islam," demikian wakil Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM) Cikgu Azmi Abdul Hamid memetik kata-kata salah seorang pemimpin Buddha Myanmar sebagai asbab utama penghapusan etnik Rohingya hari ini.

Dalam pidato beliau sempena Himpunan Keamanan Umat Islam Rohingya anjuran GAMIS baru-baru ini, beliau menyifatkan Arakan sebagai Under Siege yang diistilahkan beliau sebagai dikepung dari luar dan dalam dari menerima apa-apa bantuan dan perlindungan.

"Jikalau hari ini Gaza diserang habis-habisan (oleh Zionis) dari luar, maka hari ini Arakan diserang habis-habisan dari dalam. Rohingya will be wiped out completely!" tegas beliau dalam pidatonya di hadapan mahasiswa-mahasiswi yang hadir.


"Semenjak Muslim Rohingya ditindas berpuluh-puluh tahun yang lalu, mereka tidak dapat makan apa-apa kecuali terpaksa makan batang pisang. Hari ini mereka ditindas lebih teruk, mereka hanya makan getah! Mereka ini hidup pun tidak, mati pun tidak," ujar beliau.

Beliau turut sama melahirkan rasa kekecewaan terhadap pemimpin-pemimpin kerajaan Malaysia yang tidak sedikit pun mengambil inisiatif untuk membantu penduduk Rohingya walaupun Malaysia merupakan negara jiran. Beliau memaklumkan telah menghantar surat desakan kepada Perdana Menteri Malaysia, Timbalan Perdana Menteri, Menteri Luar Negeri dan Menteri Pertahanan agar diambil tindakan terhadap kekejaman yang berlaku namun sedikit pun tiada respon yang positif.

"Baru-baru ini YB Kamarudin Jaafar (Ahli Parlimen PAS) mengusulkan (isu kekejaman Rohingya) di Parlimen, ditolak oleh Tan Sri Pandikar Amin mengatakan usul tidak relevan," tambah beliau menambah rasa kekecewaannya terhadap sikap remeh segelintir kerajaan terhadap sensitiviti umat Islam.

Beliau memberi jaminan akan tetap melancarkan Flotilla Bantuan Kemanusiaan ke Myanmar untuk disalurkan kepada penduduk Rohingya tidak lama lagi, dengan memaklumkan penglibatan lebih 70 wakil antarabangsa dari seluruh dunia dan lebih 50 NGO serta turut akan menawarkan 5 tempat kepada mahasiswa untuk bersama-sama ekspidisi keamanan tersebut. Pidato beliau disambut dengan laungan takbir yang kuat dari hadirin.

__________________________

Penerangan GAMIS

0 comments:

Post a Comment