Friday 26 October 2012

Rohingya Semakin Tenat


Terkini, sejak 21 Oktober lepas, di kala muslim seluruh dunia di ambang dan sedang meraikan Hari Raya Qurban, muslim Rohingya menjadi mangsa korban tentera Mnyanmar dan penganut radikal Buddha Rakhine. Wanita-wanita dirogol, puluhan terkorban, ribuan rumah hangus, masjid-masjid dibakar, dan ratusan yang lain kini memerlukan rawatan
segera. Tragedi ini menjadikan dalam tempoh sebulan ini sahaja, 650 warga Rohingya telah terkorban, 1200 hilang dan 80000 orang hidup dalam pelarian.

Pembunuhan terancang ke atas muslim Rohingya yang dilakukan di atas basis sentimen perkauman dan agama itu berterusan sehingga kini sementelah lagi Presiden Mnyanmar, Thein Sein mendapat restu dari Amerika Syarikat. Semenjak pulang dari lawatan ke negara itu, Thein Sein bukan sahaja telah membatalkan perjanjian diplomasi kemanusiaan
dengan OIC bahkan telah menganjurkan demonstrasi bagi membantah pendirian dan sikap OIC dan PBB berkenaan isu tersebut.

Lebih malang lagi, ketika kebanyakan negara-negara OIC dan ASEAN serta NGO di peringkat antarabangsa sedang mengumpul dana dan mengusahakan bantuan kemanusiaan untuk membantu warga Rohingya, Thein Sein pula sedang sibuk untuk mendapatkan bantuan ketenteraan dari Amerika Syarikat bagi melenyapkan warga Rohingya dari bumi Burma.

Gabungan Mahasiswa Islam SeMalaysia (GAMIS) melihat isu ini sangat penting untuk diberi perhatian serius oleh semua pihak bagi segera mengatur tindakan yang lebih berkesan untuk menamatkan kekejaman yang sedang berlaku itu. Justeru, GAMIS ;

1. Menyeru kerajaan Malaysia untuk mengambil inisiatif memberi tekanan kepada Mnyanmar supaya menghentikan keganasan ke atas warga Rohingya di Arakan dan segera menghantar misi bantuan.

2. Mendesak Majlis Keselamatan PBB, serta negara-negara OIC, ASEAN dan EU untuk menghantar pasukan pengaman bagi melindungi mangsa keganasan.

3. Menggesa negara jiran Burma, khususnya Bangladesh untuk membuka dan mengiktiraf penempatan untuk pelarian Rohingya.

4. Meminta umat Islam seluruh dunia untuk bersatu-padu membantu warga Rohingya secara material dan spiritual.

GAMIS sangat berharap agar isu ini juga dapat ditamatkan segera dengan pengiktirafan kerakyatan warga Rohingya oleh pemerintah Myanmar. Dengan demikian, keamanan dan kemakmuran dapat dinikmati oleh seluruh
rakyat Myanmar.

GAMIS, Inspirasi Anak Muda!

Mohd Eikhwan bin M. Ali
Naib Presiden 1
Gabungan Mahasiswa Islam SeMalaysia (Gamis)

0 comments:

Post a Comment