Tuesday 26 February 2013

SIGMA SOKONG HARAPAN DATIN SERI ROSMAH MANSOR



SIGMA SOKONG HARAPAN DATIN SERI ROSMAH MANSOR :  “ ISTERI WAKIL RAKYAT PERLU LENGKAPI ILMU “






Sinergi Gerakan Mahasiswi [ SIGMA ] GAMIS  mengucapkan tahniah kepada Datin Seri Rosmah Mansor selaku Yang Dipertua Badan Amal dan Kebajikan Tenaga Isteri – Isteri Menteri dan Timbalan Menteri [ BAKTI ] diatas usaha penganjuran Wacana Akademia : Peranan Isteri Pemimpin Negara Dalam Masyarakat Kontemporari Malaysia : Cabaran Serta Isu – Isu Semasa pada 26 Februari 2013, semalam.




Kupasan wacana itu antara lain membincangkan sekitar peranan isteri pemimpin sebagai rakan kongsi pembinaan negara Malaysia zaman ini di samping menyeru semua isteri wakil rakyat untuk mendidik rakyat Malaysia dengan pengetahuan dan maklumat terkini.




SIGMA dalam pada itu berbesar hati menyampaikan harapan kepada semua suri wakil rakyat dan isteri – isteri pemimpin negara Malaysia  agar menjadikan kisah Permaisuri kepada Khalifah Bani Abasiyah, Harun Ar – Rasyid iaitu Siti Zubaidah binti Jaafar sebagai “ role model “ terbaik dalam membantu suami menggalas amanah mentadbir negara Malaysia.









Terusan ‘Ain Zubaidah menjadi bukti legasi kebajikan isteri ketua negara kerajaan Bani Abasiyah ini. Beliau melabur dana wang peribadi yang besar bagi menampung perbelanjaan membina terusan ini untuk kemudahan dan kebajikan jemaah haji di Mina dan Arafah ketika itu.




Keprihatinan beliau terhadap jerih susah payah rakyat jelata di bawah kepimpinan suami beliau telah mencetuskan idea pembinaan terusan ini. Sikap cakna keperluan rakyat dan  ‘ walk the talk ‘  Siti Zubaidah ini sesuai diambil iktibar bagi memacu langkah penglibatan isteri – isteri wakil rakyat di Malaysia ini.




SIGMA juga menyokong harapan Dame Emmanuella Abimbola Fashola, isteri Gabenor Negara Lagos dalam kenyataan beliau ketika pelancaran Persidangan Wanita Antarabangsa kali ke 55 pada 28 Disember 2012 tahun lepas berkata  :


“ Wanita sebagai homebuilders perlu menonjol dengan moral yang baik dan sikap positif akan membantu dalam membentuk semula masyarakat bagi transformasi yang dikehendaki “




Justeru, SIGMA berharap agar semua isteri – isteri wakil rakyat dan suri - suri pendamping kepimpinan negara Malaysia ini dapat terus prihatin merasai denyut nadi susah senang rakyat  Malaysia selain turun berkhidmat memenuhi hak – hak rakyat jelata dengan adil dan saksama dan bukan bersaing sesama sendiri mengejar glamour dan kemasyhuran dunia.





- SERVE THE NATION -



SIGMA GAMIS 2012/2013

" Merintis Ketrampilan Holistik Wanita Muda Malaysia "








0 comments:

Post a Comment