Saturday 22 December 2012

PTPTN: Lawan kena tangkap,tak lawan bayar hutang.

Rentetan daripada isu ‘Occupy Dataran’ pada April 2012 bagi menuntut pemberian PTPTN secara percuma, seorang daripada peserta ‘Occupy Dataran’ tersebut, saudara Omar Muhammad Azmi telah ditahan dan dikenakan hukuman penjara selama sebulan dan denda sebanyak RM1000 atas alasan mengganggu tugas pihak Dewan Bandaraya Kuala Lumpur yang ingin menyuraikan keadaan.
Di pihak GAMIS, kami menolak sebarang provokasi yang dilakukan sama ada oleh orang awam atau pihak berkuasa dalam peristiwa ‘Occupy Dataran’. Namun, GAMIS melihat, perkara yang harus diberi tumpuan utama adalah berkenaan tujuan ‘Occupy Dataran’ itu dilakukan, bukan semata-mata melihat kepada isu penahanan saudara Omar.
Perkumpulan siswa di Dataran Merdeka pada April 2012 yang lalu mempamerkan suatu semangat untuk menuntut hak bagi menikmati pendidikan percuma. Walaupun slogan yang dilaungkan adalah tuntutan pemansuhan Pinjaman Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN), namun, isu yang harus diberi perhatian adalah berkenaan pendidikan percuma dan usaha untuk meningkatkan kualiti mahasiswa.
Melihat kepada rentetan isu, GAMIS melihat, mahasiswa ini merupakan mangsa kepada seluruh keadaan. Ketika mana mahu menyambung pelajaran, mahasiswa terpaksa meminjam untuk membayar yuran pengajian yang mahal. Dengan peningkatan kos sara hidup, pinjaman PTPTN tidak lagi mampu menampung perbelanjaan harian mereka. Pinjaman PTPTN yang hanya mampu digunakan untuk bayaran yuran pengajian dipersoalkan sedangkan untuk kos sara hidup, mereka terpaksa mencari alternatif kewangan yang lain. Keadaan ini menjadi lebih parah apabila mahasiswa harus membayar pinjaman PTPTN bersekali dengan cas tambahan yang membebankan mereka. Maka, perkara inilah yang meledakkan kemarahan mereka, lantas, bertindak secara agresif dengan mengadakan perkumpulan yang disebut sebagai ‘Occupy Dataran’.
Penahanan saudara Omar juga mempamerkan perlekehan terhadap penuntutan hak mahasiswa yang harus dipandang serius oleh pihak kerajaan.Penahanan ini membuktikan bahawa kerajaan tidak serius untuk melihat permasalahan yang berlaku dalam institusi pendidikan tinggi. Sekali lagi, mahasiswa menjadi mangsa kerana menuntut hak mereka yang telah dikorupsikan dek kerana sistem pengajian sedia ada mula diperdagangkan, bahkan tidak lagi berhasrat untuk melahirkan manusia yang mengerti soal adab dan disiplin dalam pencarian ilmu.
Pada akhirnya, GAMIS berpendirian, perkara sebenar yang harus dipandang oleh pihak kerajaan adalah berkenaan isu pendidikan percuma di peringkat pengajian tinggi. Permasalahan sebenar harus diperhalusi, dan setiap tindakan mahasiswa yang berlaku pada hari ini adalah sebagai suatu respons kepada kebejatan masalah yang berlaku dalam institusi. Oleh kerana itulah, GAMIS mendesak pihak kerajaan untuk menyelami isu ini secara lebih mendalam. Sekiranya isu ini tidak dapat diselesaikan, perkara ini menggambarkan betapa parahnya institusi pengajian tinggi yang dipengaruhi oleh campur tangan politik dalam pentadbiran. Satu persoalan, adakah harus dipersalahkan kepada manusia yang menjadi kesan pada sebuah struktur pentadbiran?

Saya yang benar,
Muhamad Azan Safar
Presiden Gabungan Mahasiswa Islam Se-Malaysia (GAMIS)

0 comments:

Post a Comment