Saturday 12 May 2012

Gamis Tuntut Kembalikan Politik Nilai



“Wahai orang-orang yang beriman, janganlah sesuatu puak mencemuh dan merendah-rendahkan puak lelaki yang lain, kerana harus puak yang dicemuhkan itu lebih baik daripada mereka, dan janganlah pula sesuatu puak dari kaum perempuan yang lain, kerana harus puak yang dicemuh itu lebih baik daripada mereka; dan janganlah sesetengah kamu menyatakan keaiban sesetengahnya yang lain, dan janganlah pula kamu panggil memanggil antara satu sama lain dengan gelaran yang buruk, amatlah buruknya sebutan nama fasiq sesudah ia beriman. Dan ingatlah, sesiapa yang tidak bertaubat daripada perbuatan fasiqnya maka merekalah orang-orang yang zalim”.   (Surah al-Hujurat:11) 
      
“Sesiapa yang memanggil orang lain dengan ‘kafir’ atau ‘musuh Allah’ sedang dia tidak begitu, maka tuduhan itu kembali kepadanya (penuduh)”. (Riwayat al-Bukhari dan Muslim).

Larangan memanggil Muslim dengan gelaran yang buruk adalah sangat ditegah di dalam al-Quran. Sebab penurunan ayat 11, Surah al-Hujurat berkisar mengenai sahabat Nabi SAW iaitu Thabit yang memanggil seorang dengan gelaran buruk di zaman jahiliah yang menyebabkan orang itu menjadi malu. Jika memanggil dengan gelaran buruk sudah ditegah, apatah lagi menuduh seseorang Muslim itu sebagai ‘kafir’.

Hadis di atas pula merupakan hadis sahih yang menjadi pedoman dan ikutan kepada umat Islam. Ia juga menjadi kesepakatan ulama’ untuk mengangkat hadis riwayat Imam al-Bukhari dan Imam Muslim sebagai hujah dan tiada keraguan padanya.

NST, 8 Mei 2012 gempar dengan tuduhan ‘bapa kafir’ oleh seorang mantan Ketua Polis Negara terhadap Menteri Besar Kelantan, Tuan Guru Dato Setia Bentara Nik Abdul Aziz Nik Mat. Perkara yang hampir sama berlaku suatu ketika dahulu apabila ada dalam kalangan pemimpin PR pernah memanggil tokoh akademik, Dr.MAZA sebagai ‘bapak setan’. Perkara ini jelas, walau siapa pun dia, dengan pangkat yang tinggi atau rendah, dia perlu menjaga lidah dan sentiasa takut kepada azab Allah.

Justeru, Gabungan Mahasiswa Islam SeMalaysia (GAMIS) berpendirian agar:

1.  Semua pemimpin besar masyarakat seperti pemimpin parti politik, tokoh akademik dan lain-lain WAJIB mengamalkan politik Islam yang sebenar walaupun berbeza pandangan. Pemimpin merupakan cermin kepada keadaan rakyat sebenar. Jika baik keadaan pemimpin, maka baiklah keadaan rakyat. Maka begitu juga sebaliknya. GAMIS tidak mahu politik negara hanya dibanjiri dengan politikus yang tidak beradab dan menjatuhkan kredibiliti mereka sebagai barisan pimpinan negara

2.  GAMIS menuntut untuk mereka yang terlibat dalam hal ini agar bertaubat kepada Allah dan memohon maaf secara terbuka kerana perkara ini jelas telah memalukan nama mereka yang terlibat. Sesungguhnya Allah itu pemaaf. Dia suka memaafkan.

3.   Sesungguhnya manusia itu hina, tetapi diangkat martabat dan kemuliaan oleh Islam. Maka jangan kita hina kembali diri kita dengan hiasan ‘politik jijik dan fitnah’. GAMIS menuntut agar seluruh ahli politik sama ada BN atau PR, badan politik mahupun NGO dapat menjaga akhlak dan etika dalam berpotitik sesuai dengan tuntutan yang diajar oleh agama kita. GAMIS juga menuntut agar dikembalikan politik nilai dan hujah selaras dengan apa yang diketengahkan Tim. Menteri Pengajian Tinggi, Dato' Saifuddin Abdullah dalam penulisan beliau mengenai Menyelami Minda Muda (3M) terhadap mengetengahkan politik nilai dan politik hujah dalam kalangan masyarakat. Wallahua’lam.

"GAMIS, Inspirasi Anak Muda"

Muhammad Hafizan bin Abd. Hamid
Setiausaha Agung,
Gabungan Mahasiswa Islam SeMalaysia (GAMIS)

0 comments:

Post a Comment