Friday 16 March 2012

Artis Rela Berbogel, Industri Perfileman Malaysia Parah

Mutakhir ini, dunia hiburan tanah air dikejutkan dengan kenyataan berani seorang artis berbangsa melayu dan islam yang mengatakan rela untuk berbogel dalam mana-mana filem jika ditawarkan pada masa-masa akan datang. Perkara ini mengundang kontroversi sekaligus menggambarkan industri hiburan tanah air seperti Hollywood yang bebas melakukan apa sahaja aksi untuk meraih keuntungan dalam dunia hiburan. Perkara ini menjadi kebimbangan di peringkat Gabungan Mahasiswa Islam Se-Malaysia (GAMIS) apabila melihat saban hari industri hiburan tanah air semakin longgar dalam menterjemahkan tatasusila kesopanan negara serta memelihara syariat Allah yang diturunkan kepada ummat keseluruhannya. Kebimbangan ini makin meningkat apabila Lembaga Penapisan Filem (LPF) menyatakan untuk memberikan kebebasan kepada pihak pengarah dan penerbit filem pada bulan lepas. Kenyataan berani artis lelaki tersebut menggambarkan bahawa industri hiburan khususnya dalam bidang perfileman semakin berani tanpa mengambil kira soal agama dan adat. Islam tidak pernah menghalang umatnya untuk berhibur sebagai salah satu cara meraikan fitrah yang ada dalam diri manusia. Namun, setiap perkara itu ada batasannya. Kenyataan untuk sedia berbogel menunjukkan Islam bukan lagi prioriti utama dalam menyampaikan hiburan kepada masyarakat, bahkan menutup nilai-nilai moral dan etika yang sentiasa dilaung-laungkan dalam industri hiburan sebelum ini. “Berbogel tidak pernah menggambarkan nilai murni dan beretika. Ini bukan soal professional dalam berhibur, ini soal agama dan maruah diri. Apabila manusia tidak menggunakan akal dan agama dalam membawa nilai kehidupan yang sementara ini, maka benarlah kata Allah bahawa mereka ini lebih teruk daripada al-an’am (haiwan),” Ujar Pengerusi Majlis Dakwah & Kebajikan GAMIS, Saudara Muhammad Farid. Justeru, pihak berwajib perlu memandang serius dalam menangani isu hiburan yang semakin melampau mutakhir ini. LPF perlu kembali berfungsi selari dengan penubuhannya di bawah Seksyen 3 Akta Filem (Penapisan) 1952 (disemak tahun 1971) dengan tujuan menjaga keselamatan negara dan keharmonian kaum serta melindungi kepentingan negara dan rakyat daipada pengaruh buruk dan unsur-unsur negatif. “Dan saya menyeru mana-mana artis yang ingin membuat kenyataan, agar lebih berhati-hati dalam memberi kenyataan dengan mengambil kira soal agama dan maruah diri. Ingatlah bahawa hidup ini bukan milik peribadi kita, ada Tuhan dan agama yang perlu kita patuhi dan taati”, tambahnya lagi.

0 comments:

Post a Comment