Rakyat pada hari ini mempunyai selera politik yang berbeza
berbanding dahulu. Mereka lebih cenderung menilai agenda yang ditawarkan oleh
parti-parti politik dan seterunya memilih parti yang mampu memberi perkhidmatan
yang terbaik kepada mereka.
Mereka bukan lagi taasub kepada satu parti politik, hasilnya,
setiap parti politik berusaha keras merencanakan agenda yang dibawa bagi
memastikan persepsi positif pengundi sentiasa konsisten terhadap mereka.
Political will (keazaman politik) bagi sesebuah parti
politik menjadi satu perkara yang penting bagi rakyat menilai kesungguhan parti
politik membawa agenda yang telah direncanakan iaitu bukan sekadar omongan
kosong, ia perlu direalisasikan.
Salah satu usaha yang mesti diambil perhatian bagi memenuhi
tuntutan budaya politik baru ini ialah dengan menyuburkan dialog dan debat
intelektual secara terbuka tanpa ada manipulasi dari pihak tertentu dari sudut maklumat.
Ini sangat penting bagi memastikan rakyat mendapat sumber maklumat yang segar
dan telus.
Bukanlah Budaya Baru
Dialog dan debat intelektual bukanlah sesuatu yang baru di dunia.
Mungkin diMalaysia ia
agak kurang popular, kerana adanya sikap ketidak terbukaan parti politik dalam
menganjurkan dialog dan debat intelektual, dan juga ketelusan media arus
perdana dalam menyiarkan debat dan dialog tersebut.
Jika kita menyoroti sejarah, bagaimana kisah nabi Musa a.s. ketika
berhadapan dengan puluhan ribu ahli sihir yang dikumpulkan oleh Firaun untuk
mengalahkan baginda. Walaupun dari sudut keadilan boleh dipertikaikan kerana
puluhan ribu ahli sihir melawan seorang nabi, akan tetapi perkara yang menarik
ialah pertandingan ini secara terbuka dengan kehadiran pembesar negara dan
rakyat jelata dari seluruh Mesir. Penonton dapat menilai secara langsung pihak
yang benar dan pihak yang batil.
Kita juga masih ingat bagaimana John McCain berhadapan dengan
Obama dalam Final US Presidential Debate. Ketenangan yang dibawa
oleh Obama dan cemasnya McCain telah memberikan satu klu kepada pengundi,
siapakah yang sebenarnya layak dipilih sebagai presiden di samping keyakinan
Obama dalam menyampaikan agenda yang mahu dibawa untuk membangunkan Amerika.
Perlu Disuburkan
Harga petrol yang dijadikan isu perdebatan antara Dato’ Seri Anwar
Ibrahim dengan Datuk Ahmad Shabery Cheek cukup memberi impak yang besar kepada
rakyat. Dengan jelas dan telus rakyat dapat menyaksikan bagaimana hujah yang
dilontarkan oleh pemimpin dari pemerintah dan juga pembangkang dalam membela
nasib rakyat.
Kesediaan Pas dalam berdialog dengan mana-mana komponena BN
menunjukkan kematangan politik yang wujud dalam Pas. Menurut Datuk Husam Musa, Naib Presiden Pas sesi dialog yang
bertujuan untuk mencari jalan penyelesaian masalah tertentu adalah digalakkan
dan ia tidak perlu dilakukan secara tertutup.
Tidak kurang hebat juga dengan ajakan debat satu sama satu secara terbuka oleh Datuk
Seri Raja Nong Chik Zainal Abidin, Menteri Pembangunan Wilayah dan Pembangunan
Bandar kepada anggota parlimen pembangkang berhubung isu penggunaan dana
Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) bagi membiayai skim perumahan kos rendah.
Debat politik anjuran Himpunan Mahasiswa United Kingdom dan
Ireland (UKEC) membabitkan Khairy Jamaluddin Abu Bakar, Ketua Pemuda UMNO dan
Rafizi Ramli, Pengarah Strategik Parti Keadilan Rakyat (PKR) menyerlahkan
kematangan mereka berhujah dan mengetepikan sentimen peribadi dan kepartian.
Mereka berhujah dan mencabar minda mengenai Wawasan 2020 dan benarkah Malaysia
berada di landasan betul untuk mencapai taraf negara maju yang tinggal 8 tahun
lagi. Sayang sekali debat tersebut dianjurkan di luar Malaysia.
Budaya ini juga mesti disuburkan di dalam kampus, ketepikan dahulu
isu AUKU yang sempit. Kita ketengahkan agenda memperkayakan minda mahasiswa.
Pihak pentadbiran sewajarnya memberi galakan kepada mahasiswa menganjurkan
dialog dan debat intelektual bukannya menyekat secara membuta-tuli. Apa
salahnya kita tokoh-tokoh politik seperti Datuk Mustapha Mohamed, Datuk Seri
Shahrizat Abdul Jalil, Salahuddin Ayub, Saifuddin Nasution Ismail dan Anthony
Loke Siew Fook diundang berdialog di pusat pengajian tinggi? Jawapannya tentu sekali
tidak salah, kerana pentadbiran pusat pengajian tinggi sepatutnya tidak ada
kepentingan dalam politik.
Harapan Anak Muda
Oleh sebab itu, Gabungan Mahasiswa Islam SeMalaysia (GAMIS)
melalui Majlis Politik Nasional (MPN) pernah menawarkan diri sebagai penganjur
debat terbuka antara Dato Seri Najib Tun Razak dengan Dato Seri Anwar Ibrahim.
Dialog dan debat intelektual salah satu pemangkin kepada
pendidikan politik. Sasaran yang ingin dicapai dalam pendidikan politik ialah
wujudnya wa’yu siyasi (kesedaran politik) dalam setiap diri
individu. Kita juga mengharapkan media arus perdana selaku medium pengantar
maklumat memainkan peranan secara telus dan adil tanpa ada manipulasi dari
sudut maklumat.
GAMIS sangat optimis sekiranya budaya ini disuburkan, di Malaysia
akan wujudnya parti politik yang mempunyai keazaman politik yang tinggi dan
rakyat tersedia dengan pendidikan politik yang baik, dikukuhkan dengan sistem
pilihanraya yang telus dan adil. Seterusnya melahirkan politik baru Malaysia.
GAMIS Inspirasi Anak Muda!
Wan Mohamad Rasyadan Wan Hussin
Ketua Penerangan GAMIS
0 comments:
Post a Comment