Thursday 15 November 2012

GAMIS : Jangan Ketepikan Mahasiswa!


Sepanjang minggu ini berlangsungnya Muktamar PAS ke 58 yang menjadi acara tradisi setiap tahun bagi membahaskan usul yang menjadi perkara dasar dalam parti. Begitu juga Perhimpunan Agung UMNO yang akan bermula 27 November nanti. Muktamar PAS dan Perhimpunan Agung UMNO kali ini dijangka menjadi satu perbincangan yang hangat antara perwakilan dalam membincangkan strategi dan pembawaan PAS menjelang PRU-13 dan pasca PRU-13.

Kami di peringkat Gabungan Mahasiswa Islam Se-Malaysia (GAMIS) melihat sesi Muktamar PAS ataupun Mesyuarat Agung UMNO  ini adalah sebagai satu peluang bagi mana-mana parti untuk membincangkan dengan lebih terperinci akan tawaran parti masing-masing kepada mahasiswa yang menjadi akar kepada gerakan anak muda.

GAMIS menuntut supaya PAS serta mana-mana parti yang bakal bertanding dalam PRU 13 kali ini mengeluarkan tawaran masing-masing bagi membolehkan setiap mahasiswa membuat perbandingan sejurus menilai serta menentukan parti manakah yang menjadi pilihan terbaik.  

Saudara Muhamad Azan Safar, Presiden GAMIS ketika dihubungi memberi satu penegasan kepada semua parti politik agar membuat satu perbincangan serius berkaitan kepentingan mahasiswa  serta anak muda, justeru mengeluarkan tawaran manifesto kepada mahasiswa menjelang PRU13 akan datang.

“Adalah menjadi satu keperluan kepada mana-mana parti politik  agar membincangkan dengan serius berhubung kepetingan mahasiswa. Saya amat berharap agar setiap parti politik ini mengeluarkan tawaran yang khusus kepada mahasiswa untuk dinilai mana yang terbaik,” Jelas Muhamad Azan Safar.

Selain itu, GAMIS juga mengharapkan agar tawaran-tawaran buat mahasiswa yang dikeluarkan setiap parti politik menjadi kayu ukur parti mana yang lebih bijak dalam mengambil cakna soal mahasiswa dan anak muda. Parti politik yang mengeluarkan manifesto khusus buat mahasiswa ini dilihat parti yang berani dan kompeten untuk meraih undi mahasiswa dalam pilihanraya yang akan datang.

“Kami mencabar samada PAS mahupun UMNO bincangkan agenda mahasiswa di dalam perhimpunan mereka secara serius dan mana-mana tawaran yang dikira baik buat mahasiswa, kita akan sokong!” Tegas Ahmad Afif Zulkipli, Pengerusi Majlis Politik Nasional GAMIS.

















Muhamad Azan Safar,
Presiden GAMIS


0 comments:

Post a Comment