Wednesday 21 November 2012

Serangan Terhadap Gaza : Mahasiswa & Anak Muda Demo Besar-besaran

Mahasiswa dan anak muda sedia untuk mobilasi besar-besaran sebagai tanda solidariti kepada rakyat Gaza dan bantahan kepada Zionis Israel. Ini berikutan serangan Zionis Israel terhadap semenanjung Gaza bermula Khamis lalu (14 November) dan berterusan sehingga kini. Serangan Zionis Israel yang kononnya di atas nama mempertahankan negara itu jelas kejam, tidak berperikemanusiaan dan melanggar hak asasi manusia untuk bebas dari sebarang ketakutan.

Sehingga kini korban serangan semakin meningkat dan mencecah lebih seratus termasuk kanak-kanak dan wanita. Dengan ini Zionis Israel adalah penjenayah perang apabila menyerang tanpa sebab yang kukuh dan mensasarkan hospital dan golongan awam seperti kanak-kanak dan wanita untuk diserang. Sayangnya sehingga kini masih tiada kecaman dari kuasa besar dunia seperti Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) bahkan mempertahankan tindakan terkutuk ini dengan alasan Zionis Israel mempertahankan keselamatan negara. Justeru hari ini (21 November) Gabungan Mahasiswa Islam Se-Malaysia dan Solidariti Mahasiswa Malaysia (SMM) telah melakukan bantahan di Wisma United Nation serta menghantar memorandum bagi menyatakan pendirian kepada PBB untuk tegas dan tidak bias dalam menangani isu serangan terhadap Gaza.


Apa yang lebih kita kesalkan ialah bagaimana sikap Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) yang sehingga kini masih lagi membisu dan tidak melakukan apa-apa respon yang cepat dan tepat dalam menghadapi kemelut di Semenanjung Gaza. Seharusnya OIC perlu lebih proaktif dan prihatin apatah lagi ia melibatkan negara umat Islam. Mahasiswa dan anak muda mendesak supaya OIC mengadakan persidangan tergempar dengan segera dan menghasilkan resolusi yang tegas dalam menangani isu serangan Zionis Israel terhadap Gaza.

Justeru, GAMIS, SMM dan bersama beberapa kumpulan mahasiswa dan anak muda akan mengadakan himpunan besar-besaran di Hadapan Masjid Tabung Haji dan kemudiannya berarak ke Kedutaan Rasmi Arab Saudi di Malaysia pada Jumaat ini, 23 November. Perarakan bermula sesudah sahaja solat Jumaat sekitar jam 2 petang. Ini sebagai protes dan desakan kita kepada OIC dan negara pengerusinya iaitu Arab Saudi supaya berpendirian tegas dalam membantu rakyat Palestin khususnya di Gaza yang dizalimi saban hari. Himpunan tersebut memilih tema pakaian hitam sebagai tanda berkabung kepada rakyat Gaza yang dibunuh, dibom dan dizalimi. Koordinator penganjur meletakkan sasaran 2000 ribu orang untuk hadir dan bersolidariti pada himpunan nanti.

Untuk itu saya menyeru seluruh mahasiswa dan anak muda untuk sama-sama bersolidariti dalam himpunan "Solidariti Mahasiswa dan Anak Muda Untuk Gaza" tanpa mengira perbezaan kaum dan batas agama kerana isu ini melibatkan isu sejagat dan hak asasi manusia. Kita sangat mengalu-alukan mana-mana pertubuhan, NGO, persatuan mahasiswa dan anak muda untuk bersama dalam himpunan Jumaat nanti.

Disokong oleh:
Solidariti Mahasiswa Malaysia (SMM)
Legasi Mahasiswa Progresif (LMP)
Aksi Mahasiswa Peduli (AKSI)
Demi Mahasiswa Kuis (DMK)
Sister In Movement (SIM)
Sinergi Gerakan Mahasiswi (SIGMA)
Pro-Mahasiswa Nasional (PRO-MN)
Majlis Perwakilan Mahasiswa Nasional (MPMN)
Persatuan Mahasiswa Islam UM (PMIUM)
Persatuan Mahasiswa Islam UPM (PMIUPM)
Maaruf Club UIAM
Ikatan Studi Islam UKM (ISIUKM) 

Syis Abdul Kadir
Naib Presiden Strategik & Mobilasi Massa GAMIS
Presiden Persatuan Mahasiswa Islam Universiti Malaya (PMIUM)
Jawatankuasa Koordinator Himpunan Solidariti Mahasiswa & Anak Muda Untuk Gaza
013-9391428



0 comments:

Post a Comment